Celoteh 83 : Isu Yang Berkaitan Dengan Sijil PhD

7 0 0
                                    

Saya tidak faham mengapa perlu memperlekehkan pencapaian orang lain dalam merangkul sijil PhD. Seakan-akan sijil ini diperoleh dengan mudah. Sekurang-kurangnya ia boleh bukti pembelajaran bagi seseorang. Samalah seperti seseorang memiliki sijil dari pengajian mana-mana institusi.

Ya. Sijil itu sendiri tidak semestinya menggambarkan tahap pencapaian ilmu seseorang. Boleh jadi yang sekadar memiliki ijazah memiliki kewibawaan yang jauh daripada PhD. Dan sememangnya boleh jadi yang tiada sijil jauh lebih terbilang daripada ayang ada sijil. Cuma, sekurang-kurangnya ia boleh menggambarkan aras keilmuan secara kasar dalam sesuatu bidang.

Bukankah ada nilai persepsi yang berbeza pada orang yang sekadar menamatkan pembelajarannya di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan mereka yang memiliki PhD sepertimana orang yang mempelajari ilmu dengan guru selama empat tahun sahaja dengan yang selama dua puluh tahun?

Cuma, sememangnya betul yang kita perlu semak dengan lebih teliti supaya lebih jelas pencapaian kemampuannya secara realitinya. Sijil mungkin sekadar menampilkan luaran, tetapi sekurang-kurangnya ada beberapa nilai.

Saya yakin semua yang memiliki PhD sepakat bahawa ilmu tidak habis hanya dengan PhD sahaja. Malah, mereka juga akui bahawa mereka perlu merendah diri kerana ramai sahaja jaguhan di luar sana baik pendahulu mereka atau yang sezaman dengan mereka yang jauh lebih terbilang daripada mereka. Ini adalah prinsip yang saya yakin disedari dan ditanamkan dalam sanubari mereka ketika memegang sijil tersebut.

Saya tidak fikir isu sijil ini perlu dijadikan asas serangan melainkan ada permusuhan di sebaliknya. Yang hairannya adalah kalau teman sealiran mereka memiliki PhD, pasti mereka akan diangkat dan dijadikan kebanggaan.

Malah, kalau ada sesiapa yang mempertikaikannya, isu sijil PhD digunakan sebagai membanding-bandingkan antara satu sama lain yang bertujuan untuk merendahkan dan memperlekehkan orang lain serta menyahkreditkan hujah dari pihak lawan. Seakan-akan yang tiada PhD tidak layak menyanggahi orang yang memiliki PhD disebabkan perbezaan darjat keilmuan.

Akan tetapi, kalau seterunya memiliki PhD, alasan yang mereka menggunakannya tadi ketika tokoh mereka dikritik terus dicampak. Mereka sudah tidak peduli lagi kalau yang tiada PhD menyinggung yang ada PhD. Bagi mereka, PhD bukan segala-galanya dan pelbagai alasan yang lain yang menyatakan bahawa PhD yang ada pada lawan mereka atau secara umumnya tidak ada apa-apa makna langsung.

Kalaulah alasan sama tersebut digunakan pihak lawan, pasti mereka memperolok-olokkannya dan mempermainkannya. Sekarang, alasan itu halal digunakan untuk mereka menghinjak seteru mereka? Sudah menjadi hiporkitkah mereka ini?

Menurut mereka, kononnya PhD melahirkan orang yang tidak beradab dengan para ulama dan merasa angkuh dengan kebolehannya yang terhad. Sedangkan mereka sendiri bersangka buruk terhadap sesama muslim dalam kemampuan ilmu!

Mereka bukan sahaja meremehkan orang yang memiliki PhD yang kononnya itu masih setitis air di lautan, malah mereka sendiri juga angkuh ketika membantai seterunya seakan-akan dia terlalu inferior untuknya. Inikah tawaduk dan adab yang diajarkan dalam kuliah mereka?

Perolehan sijil adalah hak masing-masing. Cuma, jangan menjadikan ia sebagai sandaran secara keseluruhan dalam kebolehan ilmu seseorang walaupun ia boleh menjadikan rujukan nilai keilmuan secara kasar. Apatah lagi menjadikannya ia sebagai isu pertikaian.

Saya pernah menyaksikan peristiwa yang mana terdapat seorang ustaz yang suka sahaja menghentam dan mencela seterunya yang ada PhD dengan pelbagai hamburan nista dan sememangnya bertujuan memperlekehkannya. Kemudian, suatu hari, tersebarnya berita bahawa dia gagal dalam ujian kemasukan peringkat Sarjana dan para penentangnya menjadikan ia sebagai modal ejekan dan pengaiban terhadapnya.

Pengajaran dari peristiwa yang saya peroleh adalah kalau kita selalu meremehkan orang lain, suatu hari nanti mungkin Allah londehkan kekurangan dan aib kita pada orang ramai. Kemudian, barulah kita tahu realiti secara pahit tentang sukarnya pencapaian sijil PhD itu atau aras tinggi dalam sesuatu ilmu. Kemudian, kita juga akan tahu secara pahit bahawa kadangkala tokoh yang kita anggap berkemahiran pun akan tewas dalam beberapa bahagian.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/656466908046114816/celoteh-peribadi-83-isu-yang-berkaitan-dengan

com/post/656466908046114816/celoteh-peribadi-83-isu-yang-berkaitan-dengan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now