Celoteh 54 : Komentar Kalian Yang Membina Meningkatkan Mutu Penulisan Saya

5 0 0
                                    

Saya begitu mengalu-alukan komentar kalian yang membina untuk penulisan saya demi melestarikan mutu penulisan saya. Tidak terhad tentang pengejaan atau isu-isu teknikal, tetapi kepada kandungan penghujahan dan keabsahan pandangan tersebut. Ada beberapa sebab saya begitu mengalu-alukan komentar yang membina.

Pertama, kadangkala saya menulis mengikut rentak saya, tetapi kadangkala saya juga alpa, mengabaikan bagaimana tahap yang sebetulnya dalam berinteraksi dengan pembaca yang ingin saya terangkan padanya. Kadangkala, mungkin ia mudah difahami menurut saya, tetapi ia rumit untuk orang lain sehingga saya perlu mengolah semula cara penjelasan.

Kadangkala, terlalu pendek bagi sebahagian orang, tetapi bagi saya ia cukup padat untuk menjelaskannya atau kerana ia adalah ringkasan atau intisari dari judul penulisan yang lain sehingga saya perlu tambah lagi beberapa ayat bagi mengisi kelompongan tersebut. Kadangkala, mungkin terlalu panjang bagi sebahagian orang, tetapi bagi saya, ia sememangnya perlu dijelaskan dengan cara demikian sehingga saya perlu mempertimbangkan untuk pengolahan semula.

Komentar kalian barangkali akan membantu saya melihat bahagian yang kurang yang mungkin saya tidak menyedarinya atau tidak mengambil kira.

Kedua, adakalanya bertambah pengetahuan saya tentang sesuatu perkara dengan izin Allah dan segala puji bagi-Nya atas limpah kurnia tersebut. Pertambahan itu sama ada pertambahan maklumat seperti nukilan atau idea yang baharu atau bahagian yang dikenalpasti kelompongannya. Namun, disebabkan kesibukan saya, selalunya saya tidak sempat melakukan suntingan semula terhadap isi-isinya dalam penulisan sehingga kadangkala saya terabai akibat badai kesibukan.

Sebahagian penulisan saya juga ada yang telah bertahan bertahun-tahun lamanya tanpa disunting atau disemak semula secara kerap, namun tidak disedari kesilapan dan kekurangannya. Boleh jadi komentar kalian akan membuahkan peringatan kepada saya untuk menggesa melakukan suntingan terhadap penulisan tersebut secepat yang boleh supaya para pembaca yang lain tidak terlepas atau terabai dengan pertambahan yang baharu daripada saya.

Ketiga, kemungkinan juga ada pandangan saya tentang sesuatu perkara telah saya tarik balik -semoga Allah mengampunkan saya atas kesilapan saya- atau ia agak keterlaluan sehingga ia memerlukan penyuntingan, tetapi saya tidak berkesempatan untuk menyemak semula penulisan tersebut.

Malah, barangkali saya telah melakukan kontradiksi antara satu penulisan saya dengan penulisan saya yang lain tanpa saya sedar -semoga Allah menghindarkan saya daripada musibah ini-. Atas sebab inilah saya mengalu-alukan komentar kalian supaya saya dapat memperbetulkannya.

Sebab itulah saya selalu berpesan agar tidak mengikut bulat-bulat penulisan saya tanpa mencari kelompongannya terlebih dahulu sehinggalah kalian berpuas hati apabila ia adalah benar. Bentangkan komentar dan kritikan jika ada. Mudah-mudahan ia memberi faedah kepada saya dan juga mutu penulisan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/646605657425018880/celoteh-peribadi-54-komentar-kalian-yang-membina

com/post/646605657425018880/celoteh-peribadi-54-komentar-kalian-yang-membina

Ops! Esta imagem não segue as nossas directrizes de conteúdo. Para continuares a publicar, por favor, remova-a ou carrega uma imagem diferente.
Celoteh Peribadi Amir KazumaOnde as histórias ganham vida. Descobre agora