Celoteh 112 : Hujah Dan Kebenaran, Bukan Penampilan Dan Pakaian

5 0 0
                                    

Antara yang menyenangkan perasaan saya dalam perbincangan bersama rakan-rakan erotikawan yang berilmu adalah kita sama sekali tidak menjadikan penampilan atau pemakaian seseorang sebagai pemberat utama dalam menerima kebenaran.

Kita akan meraikan sesiapa sahaja dari yang berjubah dan berserban sehingga yang biasa atau pakaian yang mencolok mata. Kita tidak akan mendiskriminasikan sesiapa sahaja yang menyampaikan kebenaran dan mengutarakan penghujahan yang sesuai dengan prinsip ilmu.

Pun begitu, bukanlah sampai kami alpa dengan kepentingan untuk menghormati kod etika pemakaian di sesuatu tempat, menjaga kehormatan sesuatu majlis dan yang berkaitan dengan kesopanan. Cuma, kami tidak menjadikan penampilan dan pemakaian adalah satu-satunya atau yang paling utama dalam penerimaan kebenaran. Kami sama sekali tidak akan menolak nasihat atau mengabaikan penghujahan hanya kerana dia tidak berpenampilan sepertimana agamawan atau kebiasaan yang dikira sopan.

Jika seseorang memberi nasihat atau menyampaikan teguran pada sesuatu yang berfakta, kami akan mengambil kira nasihat atau teguran meskipun dia datang kepada kami tanpa berbaju. Jika seseorang mengupas dan menganalisis berasaskan penghujahan ilmiah, kami memandang tinggi pandangannya meskipun dia duduk dengan berseluar pendek.

Sebab utama kami boleh bersikap sebegini adalah kerana kami menyedari bahawa apabila seseorang itu diketahui sebagai erotikawan dan menyukai melayani erotika, kebanyakan orang akan membencinya.

Malah, jika dia ingin menyertai kuliah atau kelas atau pengajaran agama pun, mereka akan dihalau dan dicemuh. Apa lagi kalau ingin mengutarakan pandangan, ia seumpama tidak bernilai di mata masyarakat. Mereka ini dipandang jijik oleh masyarakat sekeliling.

Oleh sebab kami ingin mengambil mutiara dan manfaat daripada orang yang dihalau masyarakat, kami akan menerima mereka tanpa diskriminasi serta memberikan layanan yang adil dan seberhaknya. Sebab itulah, kita tidak mementingkan soal pemakaian atau isu-isu yang tiada kena mengena dengan topik, isi, kandungan dan subjek, lebih-lebih lagi yang remeh kerana kami seumpama orang yang menggali emas dalam calitan lumpur yang mana orang ramai akan membuangnya sedemikian.

Cuma, dalam dakwah saya secara khusus, saya menegaskan dengan hujah bahawa erotisisme ini bukanlah kejahatan dan bukanlah elemen yang dikeji dalam agama. Hanya sahaja perlu disiplin, kawalan dan set minda yang lurus.

Dakwah saya adalah merapati dan mengajak mereka untuk dekat, malah memiliki rasa sentimen yang mendalam terhadap agama walaupun menjadi erotikawan. Saya akan mengajak mereka sama-sama menjadi kritis dalam isu agama dan mendalami ilmu agama supaya bertambah keyakinan makna kehidupan dan pengamalan agama meskipun membawa jiwa erotisisme.

Apabila sampai masanya mereka ada kemampuan untuk independen dan berdikari, sudah tentu mereka akan membawa diri mereka untuk berfikir secara kendiri, mengkaji sendiri dan meneroka permasalahan secara bebas.

Sudah pasti mereka ini akan ada pandangan, perspektif, pendapat dan justifikasi dalam sesuatu perkara yang ingin kita ambil perhatian, mendengar, menghadam dan menerima. Atas sebab itulah, kita akan menerima apa yang ada di sisi mereka tanpa mendiskriminasi dengan memainkan isu penampilan.

Kami selalu sahaja merasa hampa terhadap sebahagian orang yang terlalu menekankan pemakaian atau penampilan dalam penerimaan kebenaran. Kadangkala, penulisan yang dimuatkan dengan pelbagai bukti dan hujah pun dibakulsampahkan hanya kerana ia datang daripada orang yang tidak menzahirkan penampilan ulama.

Tidakkah dia terfikir kalau orang buta datang kepadanya untuk mendengar dan mencari kebenaran, adakah dia akan peduli siapa yang bertudung, siapa yang berjubah dan apa sahaja pakaian seseorang? Dia akan melihat siapa yang bercakap menurut fakta dan hujah ilmiah.

Bahkan, mereka sendiri pun tidak akan menerima hadis palsu atau penyampaian yang merepek daripada penceramah penglipur lara yang kepalanya dililit dengan serban dan badannya disarungi jubah yang yang menampakkan aura ulama. Mengapa perlu sibuk lagi tentang pemakaian seseorang? Cukuplah melihat isi penyampaiannya.

Bukanlah saya ingin katakan bahawa penampilan atau pemakaian tidak penting, tetapi tidakkah kita mahu beringat terhadap sabda Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

وَلَكِنَّ الْكِبْرَ : مَنْ بَطِرَ الْحَقَّ وَغَمَطَ النَّاسَ " .

"Tetapi, kesombongan adalah mereka yang menolak kebenaran dan meremehkan manusia". [Sunan Abū Dāwud, kitāb al-Libas, no. 3571].

Bayangakan kalau kita menolak kebenaran daripada seseorang yang tidak menampilkan penampilan yang kita mahu, lalu kita pun meremehkannya, mencelanya dan membakulsampahkan penyampaiannya. Tidakkah kita ada rasa kegerunan pada kesombongan?

Kalau pun yang menegur itu salah, itu adalah dosa padanya. Namun, diri kita pula akan bertanggungjawab dalam penerimaan kebenaran yang telah disampaikan pada kita. Jika kita mengingkarinya, lalu meremehkannya, cukuplah itu termasuk dari kalangan orang yang sombong.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/663145541066194944/celoteh-peribadi-112-hujah-dan-kebenaran-bukan

com/post/663145541066194944/celoteh-peribadi-112-hujah-dan-kebenaran-bukan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now