Celoteh 62 : Patutkah Diri Sendiri Menceritakan Dan Membiografikan Diri Sendiri?

12 0 0
                                    

Mungkin ada yang tertanya bahawa adakah sememangnya elok menuliskan cerita tentang diri dalam satu penulisan khusus yang dipaparkan secara terbuka, khususnya menyentuh tentang kelebihan diri dan sebagainya? Ini kerana selalunya yang menceritakan dan membiografikan tentang seseorang adalah hasil tangan orang lain, bukan diri sendiri.

Sebenarnya, apa yang saya lakukan adalah bukanlah yang baru melakukan ini. Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «al-Baḥr al-*Amīq Fī Marwiyyāt Ibn aṣ-Ṣddīq» memuatkan biografi dirinya yang panjang , bahkan memasukkan pujian para ulama ke atas dirinya atas keluasan penelaahannya dan kelebihannya.

Adiknya; *Abdullah pernah menulis biografi dirinya dalam satu judul khas yang bertajuk «Sabīl at-Tawfīq Fī Tarjamah *Abdullah Ibn Aṣ-Ṣiddīq». Penulisan ini bukan hanya menceritakan maklumat asas tentang dirinya, tetapi juga memuatkan kelebihan yang dianugerahkan padanya seperti penguasaan ilmu, pujian ulama terhadapnya dan perolehan beberapa mubaššarōt.

Malah; adiknya; *Abdul *Azīz juga menghasilkan karya yang sama dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī». Karya ini juga menyentuh lebih banyak perolehan tentang dirinya dan menyebut lebih banyak kelebihan yang dianugerahkan padanya berbanding apa yang dikongsikan abangnya.

Sebegitu juga yang dilakukan oleh muridnya; *Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy dalam «Ḏikriyāt Min Ḥayātī» yang metod penulisannya adalah seumpama dengan gurunya, Aḥmad al-Ġumāriyy.

*Abdul *Azīz al-Ġumāriyy dalam muqaddimah karya «Ta*rīf al-Mu^tasī» menyebutkan bahawa dia juga bukan orang yang pertama menghasilkan karya seperti itu. Ia juga pernah dilakukan oleh Abū al-Fatḥ al-Mizziyy. Kemudian, ia juga diteruskan anak muridnya; Ibn Ṭūlūn yang berjudul «al-Fulk lal-Mašḥūn Fī Aḥwāl Ibn Ṭūlūn». Dia juga menyebutkan bahawa itu juga dilakukan oleh datuk sebelah neneknya; Abū al-*Abbās Aḥmad bin *Ajībah.

Malah, dia juga mengutip pembentangan Ibn Ṭūlūn bahawa penceritaan biografi diri sendiri dalam karya sendiri sudah pun didahuluinya. Namun, ia bukanlah dalam satu buku yang khas sepertimana contoh yang disebutkan, tetapi dalam karya berbentuk sisipan. Antaranya adalah as-Suyūṭiyy menceritakan tentang dirinya dalam karyanya yang berjudul «Ṭobaqōt an-Nuḥāh». Ini juga dilakukan oleh Yāqūt al-Ḥamawiyy dalam «Mu*jam al-Udabā^», al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam «at-Tārīẖ», at-Taqiyy al-Fāsiyy dalam «Tārīẖ Makkah» dan Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dalam «Quḍōh Miṣr» dan Yūsuf *Abdul Hādī dalam «Manāqib al-Imām Aḥmad Ibn Ḥanbal».

Kemudian, *Abdul *Azīz menambahkan bahawa as-Suyūṭiyy juga melakukan yang sama dalam «Ḥusn al-Muḥāḍoroh Fī Aẖbār al-Miṣr Wa al-Qōhiroh». Demikian juga abangnya, Abū al-Fayḍ Aḥmad dalam «Subḥah al-*Aqīq Bi Ḏikr Aẖbār Sīdī Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq».

Kemudian, dia membawa kesimplan daripada Abū al-Ḥasan *Aliyy al-Yūsiyy dalam «al-Muḥaḍorōt» bahawa telah menjadi adat bagi orang yang menulis tentang dirinya. Lalu, dia menyatakan beberapa kelebihan daripada pengenalan seperti ini. Antaranya adalah mengenali mazhabnya dan meneladaninya. Dia juga menukilkan daripada *Abdul Qōdir at-Tamīmiyy dalam «al-Jawāhir al-Muḍiyyah Fī Ṭobaqōt al-Ḥanafiyyah» beberapa kelebihan dalam penghasilan biografi ulama.

Ini juga antara yang dikupas oleh *Abdullah at-Talīdiyy dalam karya tersebut dengan membawakan beberapa keterangan pendirian salaf dan pengamalan mereka dalam menzahirkan kesyukuran nikmat kepada Allah.

Malah, abangnya, Aḥmad al-Ġumāriyy dalam muqaddimah «al-Baḥr al-*Amīq» membentangkan dalil untuk menjustifikasikan pujian ke atas dirinya, bahkan dia sampai mengatakan ia adalah wajib!

Apa yang mereka lakukan adalah kerana menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah melalui penceritaan diri yang berkenaan dengan nikmat, kurnia dan anugerah yang diagihkan dari kepemurahan-Nya. Ini kerana salah satu cara menzahirkan kesyukuran adalah menyebutkan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada seseorang tanpa berlebih-lebihan dan tanpa mengurangi serta tidak membawa kepada riyak.

Maka, apa yang saya lakukan adalah meneladani mereka dalam cara mensyukuri nikmat yang Dia kurniakan kepada saya meskipun sedikit di sisi pengetahuan saya. Saya akui secara jujur bahawa saya bukanlah orang yang layak diangkat tinggi sepertimana tokoh-tokoh yang telah disebutkan nama dan saya mungkin sahaja tidak ada kelebihan yang besar dan banyak sepertimana yang mereka peroleh.

Saya bukanlah sesiapa di mata mereka dan juga orang ramai. Jika dibariskan saya dengan mereka, pasti orang ramai lebih tertumpu untuk menuju kepada mereka berbanding saya. Malah, saya sendiri juga akan menyuruh orang lain untuk menuju tokoh yang lain dan saya pun akan ambil manfaat daripada para ilmuwan yang terbilang.

Saya juga ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur, di samping mengharapkan keampunan daripada-Nya. Saya mungkin tidak ada banyak amalan yang mampu dipersembahkan sebagai pemberat yang membanggakan dan saya juga barangkali bukanlah orang yang terbaik dalam memberi khidmat kepada agama. Sekurang-kurangnya, saya berharap apa yang saya lakukan ini sedikit sebanyak mampu menjadi modal amalan yang bermakna buat diri saya dan manfaat kepada orang lain yang ingin mengenali saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650483538760810496/celoteh-peribadi-62-patutkah-diri-sendiri

com/post/650483538760810496/celoteh-peribadi-62-patutkah-diri-sendiri

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now