Celoteh 150 : Mengapa Banyak Mengkritik Sesama Muslim?

8 0 0
                                    

Sebahagian orang mempersoalkan mengapa saya begitu banyak mengkritik sesama umat Islam, khususnya aswajaean, ašᶜarian dan lain-lain? Mengapa saya kurang memberikan perhatian dalam melawan aliran yang jauh lebih sesat seperti liberal, pengikut fals...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sebahagian orang mempersoalkan mengapa saya begitu banyak mengkritik sesama umat Islam, khususnya aswajaean, ašᶜarian dan lain-lain? Mengapa saya kurang memberikan perhatian dalam melawan aliran yang jauh lebih sesat seperti liberal, pengikut falsafah yang menyimpang, antihadis dan juga golongan yang menjadi seteru kepada Islam?

Sebenarnya, kalau pun saya tidak menyibukkan diri untuk memenuhi tuntutan mereka, maka beberapa daripada golongan mereka sendiri telah pun terkehedapan, menyerlah dan berkepakaran dalam bahagian tersebut sekalipun mereka adalah pentaksub yang nyata terhadap tradisi tempatan dan beberapa tokoh ilmuwan yang berpihak kepadanya.

Malah, isu yang berkaitan dengan anti-Islam sebagai khusus, ia akan mendapat sambutan dan penglibatan dalam pelbagai pihak dalam mempertahankannya dan mendepaninya tanpa mengira mana-mana aliran dalam agama ini.

Mereka ada jawapan yang terbaik untuk menjelaskan kekeliruan golongan yang menyimpang itu dan mematahkan sangkalan terhadap Islam. Ia dimanfaatkan tanpa mengira individu atau kelompok dalam sesuatu aliran dalam agama ini.

Adakalanya jawapan mereka sudah cukup padu, jitu dan tuntas sehingga tidak perlu seseorang mengeluarkan artikel sendiri bagi merespons isu yang ditimbulkan. Cukup dengan menukilkan penulisan daripada mereka dan menjadikannya sebagai panduan dalam wacana dalam isu yang dibangkitkan dan dipertikaikan.

Sekalipun begitu, kalau saya ingin memperkenalkan Islam kepada masyarakat, apakah saya akan memperkenalkan manhaj sepertimana manhaj mereka yang bercelaru, caca merba, punah ranah dan penuh dengan kontradiksi?

Inilah isu utama yang saya hadapi sehingga saya perlu bertungkus lumus dan memperbanyakkan kritikan terhadap manhaj mereka ini kerana mereka adalah paling dominan dan paling berpengaruh dalam masyarakat.

Tidak ada guna memperkenalkan keagungan dan kemuliaan Islam jika manhaj yang dibawa adalah seperti ini. Bagaimana ingin dibanggakan dengan seseorang tidak boleh mempersoalkan Ibn *Arobiyy al-Ḥātimiyy dan tokoh sufi yang diangkat sebagai wali Allah, tetapi tidak ada masalah dalam mengkritik Ibn Taymiyyah dan menyalahi ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy dalam beberapa permasalahan?

Apa guna mengajak orang bukan Islam kepada perbincangan kritis, tetapi sesama umat Islam, cukup tunduk dan taklid terhadap apa yang menjadi ketetapan mazhab dan apa yang telah difatwakan oleh seseorang atau sekelompok ilmuwan serta dilarang sama sekali mempersoalkannya, apatah lagi menyalahinya dan mengkritiknya?

Atas sebab itulah mengkritik mereka adalah seumpama kerana mereka melakukan kesalahan manhaj yang merupakan cabang kesalahan dari golongan liberal, pengikut falsafah dan lain-lain. Lebih teruk lagi adalah kesalahan mereka sama kaprah dengan golongan yang sesat, tetapi ia dibaluti dengan alasan bahawa ia sekadar isu ranting, isu piscisan dan isu remeh yang patut ditoleransi atau tidak perlu menyibukkannya.

Mereka tidak sedar bahawa kesilapan itu sebenarnya diamalkan juga oleh golongan yang mereka kritik dan golongan yang dianggap telah sesat yang telah hampir keluar daripada Islam. Bahkan, barangkali lebih teruk lagi.

Misalnya adalah mereka menganggap bahawa falsafah neoplatonisme dalam martabat kewujudan sebagai falsafah asing dan termasuk dalam falsafah yang menyimpang. Akan tetapi, dalam masa yang sama, mereka menerima martabat tujuh atau martabat kewujudan yang intinya adalah serupa dengan falsafah tersebut, cuma berbeza bungkusan pada luaran.

Yang lebih teruk lagi adalah tidak ada siapa boleh mempersoalkan keabsahannya kerana ia kononnya adalah ilmu tasawwuf tahap tinggi yang telah diterima oleh para sufi yang diangkat sebagai wali Allah atau jika ingin diselamatkan pun, ia dianggap sebagai hanya cabang akidah yang tidak perlu dipolemikkan.

Kalau begini, tidak ada guna mengkritik falsafah yang sesat secara komprehensif kalau akhirnya asas pegangannya juga adalah dengan model yang sama dengan mereka, tetapi berbeza bentuk dengan jenama Islam.

Ia seolah-olah berkata kepada masyarakat: "Bisnes kami bukan sepertimana pemasaran berbilang aras!". Namun, apabila diteliti, model bisnesnya tidak tumpah berbeza dengan apa yang mereka mendakwa bahawa mereka menafikan persamaannya.

Lantaran itu, pembersihan dan pembaharuan dalam sesama komuniti muslim adalah diperlukan supaya kita juga tidak bergusti dengan golongan lain dalam lumpur najis yang sama untuk menentukan siapa yang paling bersih. Tidak ada guna membongkar kebejatan falsafah dan melondehkan tembelang sebahagian kelompok yang sesat, tetapi dalam masa yang kita masih meniti di atas garisan yang sama, tetapi berbeza warna dan jenama.

Usaha pengislahan untuk seluruh manusia tidak dapat dijayakan selagimana pengislahan dalam komuniti muslim tidak direalisasikan atau kita juga sama-sama teruk dengan orang yang sekeliling dalam kalangan bukan muslim sama ada pada sudut pemikiran atau sosial.

Kita mungkin hebat dalam mengkritik dan mempertahankan apa yang menjadi pegangan Islam. Namun, itu semua akan menjadi indah khabar daripada rupa sahaja jika manhaj yang diamalkan tidak konsisten, berkecamuk dan tidak teratur, tetapi dengan rupa yang kritis, intelektual dan ketajaman.

Sekarang, fahamlah mengapa adanya kritikan terhadap sesama muslim kerana sebahagian masalahnya adalah cukup serius lagi melata sehingga perlu dikehadapankan dalam pentas wacana umum yang tidak boleh disembunyikan lagi di balik tabir. Kesilapannya setara kaprahnya dengan golongan sesat dan yang asing daripada Islam.

Saya bukanlah mengambil ringan untuk kritikan golongan sesat yang nyata jauh lebih berbahaya berbanding apa yang menjadi manhaj rata-rata umat Islam. Saya telah pun menghasilkan beberapa penulisan untuk merespons dan menjawab syubhat mereka serta mengkritik metodologi mereka.

Akan tetapi, pertembungan terhadap sebahagian daripada umat Islam ini akan menjadi lebih rumit apabila mereka ini gemar berselindung di sebalik imam, syeikh dan ulama demi menjustifikasikan apa sahaja yang dia bertekad terhadapnya sekalipun salah dan tempang.

Mereka tidak mengaku bahawa mereka taksub, tetapi mereka berkata bahawa mereka mengikuti para ulama yang berpedomankan al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, bukan seperti itu yang didakwakan.

Atas sebab itulah, konfrontasi terhadap mereka ini lebih ruwet kerana mereka enggan untuk mengikuti hujah ilmiah. Selagimana tidak ada nama ulama yang mereka redhai dalam pembentangan hujah kita, selagi itulah apa jua pendapat kita tidak diambil kira atau ditoleransi meski betapa konkritnya penghujahan ini.

Bahkan, sikap kita dalam memilih pendapat yang berbeza daripada mereka dan mengkritik pandangan mereka dianggap telah celupar terhadap ulama, tidak hormat dengan kewibawaannya dan mencela pilihannya!

Perkara ini tidak sepertimana kita berhadapan dengan golongan sesat yang lain atau golongan bukan Muslim. Amatilah perbezaannya dan fahamilah mengapa kita adakalanya kita menajamkan kritikan kita terhadap sebahagian muslim!

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/680945070532362240/celoteh-peribadi-150-mengapa-banyak-mengkritik

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now