Celoteh 87

8 0 0
                                    

Hakikat Tersembunyi Dari Gertakan Larangan Pembacaan Kitab Tanpa Penguasaan Sembilan Ilmu Alat

Tidak boleh baca kitab jika tidak menguasai sembilan ilmu alat? Sedemikianlah kata-kata sebahagian graduan pondok yang kerapkali menggertak semua orang untuk belajar secara berguru dengan bersanad dan mencela mana-mana orang yang tidak ada latar belakang untuk ini. Malah, dengan kata-kata ini, mereka akan memandang lekeh terhadap mana-mana orang yang dikenali tidak menguasai sembilan ilmu alat yang menyelisihinya atau imam-imam mereka 

Saya menyambut baik seruan untuk seseorang memperbanyakkan penguasaan ilmu sebanyak yang mampu agar kita menjadi seorang muslim yang berilmu dan terpandu dengan bekalan yang saling melengkapi sepanjang perjalanan, seterusnya menjadi hamba Allah yang beramal dengan amalan yang terbaik dengan pemahaman yang jitu dan ikutan kepada sunnah secara tepat.

Akan tetapi, apa maknanya kalau akhirnya menuduh mujassim terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang tidak pernah dituduh sedemikian setelah seribu tahun kewafatannya? Lebih-lebih lagi seseorang itu mendakwa yang dia mengerti manhaj salaf dan mengagungkan salaf. Lalu, dengan menendang keluar ad-Dārimiyy daripada imam rujukan salaf dari ahli sunnah ini adalah tanda pemahamannya tentang salaf?

Yang menghairankan adalah mereka yang menuduh ini selalu sahaja menyeru kepada pengajian bersanad supaya lurus kefahamannya. Sekarang, sanad dari mana yang membenarkan mereka untuk memburukkan imam salaf ini? Inikah kefahaman yang lurus dari pembelajaran bersanad? Saya tidak menafikan adanya kepentingan untuk pengajian bersanad, tetapi ia berbeza dengan apa yang mereka canangkan.

Kalau pun mereka tidak menuduhnya sedemikian, mereka meredhainya orang yang mengotorkan nama baik dan kredibilitinya dalam penghujahan akidah! Kalaulah an-Nawawiyy dan Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy disingkirkan daripada ahli sunnah, pasti mereka mengamuk yang bumi pun boleh terbelah menanggung berang mereka. Namun, mereka senyap sahaja apabila ad-Dārimiyy dicemuh habis-habisan oleh golongan yang ekstrim!

Saya mahu mereka yang mahir sembilan ilmu alat tersebut untuk mewacanakan dan membedah kitab penulisan ad-Dārimiyy kalau benar ilmu alat tersebut membantu mereka agar tidak tersasar kefahamannya. Buktikan yang sembilan alat tersebut menepati dengan ilmuwan agung dalam permata zaman salaf.

Saya bukan untuk merendahkan kemampuan seseorang yang telah terbukti penguasaannya jika mereka tidak mewacanakan kitab tersebut. Cuma, saya mengecam di sebalik tekanan yang dimomokkan dan seruan yang diperluaskan untuk menguasai sembilan ilmu alat.

Hakikatnya, mereka ingin memperlekehkan orang yang tidak sependapat dengannya. Mereka ingin menyindir orang yang mengkritiknya, berbeza pandangannya dan menolak pandangannya atau tokoh ikutannya sebagai orang yang jahil yang tidak menguasai ilmu alat secara banyak. Inilah sebenarnya motif di sebalik kenyataan ini.

Walhal, sepandai-pandai mereka pun, mereka menuduh buruk terhadap imam agung yang mereka sendiri tidak akan mengaku bahawa mereka melangkaui kemampuan ilmunya atau mengangkat gurunya setara dengan kedudukannya dari segi kewibawaan ilmunya. Beginikah sembilan ilmu alat yang dipelajari untuk berinteraksi dengan karya ilmuwan salaf?

Tunjukkan bahawa sembilan ilmu alat tersebut itu sebenarnya berselari dengan apa yang diperjuangkan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy, sekaligus menepati para pemuka salaf yang lain seperti *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal melalui kitabnya «as-Sunnah» dan Abū Bakr al-H̱ollāl melalui kitabnya «as-Sunnah».

Mereka berang jika ada sesiapa yang menyelisihi, bahkan menyanggah imam mereka, walhal mereka sendiri menjadi penyumbang kepada calitan kotor terhadap ad-Dārimiyy. Malah, mereka juga redha terhadap mereka yang meruntuhkan kredibilitinya. Bahkan, mereka ini membisu dan seolah-olah tidak tahu jika kedengaran ad-Dārimiyy dicabul kehormatannya, tetapi mereka ini menjadi singa yang mengaum lantang ketika an-Nawawiyy dan Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dicemarkan kemuliaannya.

Inikah faedah sembilan ilmu alat yang mereka pelajari? Jujur sahajalah sebenarnya ia slogan mengandungi tujuan yang jelek ketika berhadapan dengan pengkritik dan penyanggah. Jujur sahajalah yang mereka sebenarnya tidak mahu berhujah secara ilmiah dan mahu memandang lekeh terhadap penyanggah mereka.

Saya sebenarnya tidak mahu pun membangkitkan isu Abū Sa*īd ad-Dārimiyy atau apa-apa sahaja isu yang lain semata-mata untuk menyanggah kenyataan tersebut. Hakikatnya, ia adalah ungkapan yang mengandungi kehendak yang batil.

Saya membangkitkan isu ini semata-mata untuk memperlihatkan sisi kerancuan mereka yang sebenarnya berlawanan dengan apa yang mereka memomok-momokkan kepada orang ramai dan realitinya ia mengandungi motif nista untuk menghadapi lawan.

Pertikaian saya bukan pada seseorang mampu menghadam apa yang diperjuangkan ad-Dārimiyy dan mempertahankannya daripada ditohmah atau sememangnya tidak masuk campur langsung. Malah, saya sama sekali tidak menyinggung mereka yang menggalakkan kepada penguasaan pelbagai cabang ilmu, apatah lagi mempertikaikan secara semberono terhadap mereka yang memiliki kemahiran tersebut.

Yang menjadi pertikaian saya adalah golongan yang kononnya melaungkan kepada kenyataan besar dan mengeksploitasi kenyataan itu untuk memperlekehkan orang yang berbeza pandangan, tetapi dalam masa yang sama menuduh buruk terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang disepakati kredibilitinya dan tidak dipertikaikan kedudukannya setelah seribu tahun kewafatannya.

Apakah ini dapatan sembilan ilmu alat? Inikah cara mereka dalam mengakui keagungan salaf? Atau sebenarnya ada masalah pada mereka?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/657661427178520576/celoteh-peribadi-87-hakikat-tersembunyi-dari

com/post/657661427178520576/celoteh-peribadi-87-hakikat-tersembunyi-dari

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now