Celoteh 35 : Wajah Para Pengkritik Saya

12 0 0
                                    

Dalam kritikan terhadap saya, kebanyakannya tertumpu kepada pandangan saya yang tidak didahului oleh sesiapa pun dan pandangan yang paling terpencil yang saya pertahankan. Saya mengalu-alukan segala kritikan yang membina, sihat, berbudaya lagi ilmiah. Kritikan kalian juga sebenarnya boleh jadi penambahbaikan penulisan saya.

Saya juga kadangkala menyemak penulisan saya dari semasa ke semasa untuk mencari kelompongan jika ada. Jika ada yang salah, saya akan usaha perbetulkannya sepantas yang mungkin. Jika masih ada penjelasan yang belum cukup, saya tambah. Mungkin orang lain lebih nampak sesuatu yang saya tidak nampak.

Cuma, saya paling benci kritikan dari manhaj yang hipokrit dan bercelaru yang selalunya datang dari aswajaean. Apabila adanya kritikan saya terhadap ulama atau tokoh-tokoh mereka, terutamanya apabila pandangan saya tidak didahului oleh sesiapa pun, saya diherdik bermacam-macam dan dicemuh habis-habisan.

Tuduhan tidak hormat ulama atau membakulsampahkan pendapat ulama atau membelakangkan ulama terhadap saya sudah biasa sangat dan sudah menjadi mantera yang diulang-ulang meski saya bawa penjelasan, pembentangan dan kupasan daripada al-Quran dan hadis pun masih tetap diingkari. Apa sahaja dalil yang dibawa dan diterangkan pun tetap ditutup mata dengan kad ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, kesan Kontras dan ₍Ad Hominem₎.

Yang anehnya, mereka ini juga membela tuduhan mujassim terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang tidak pernah dituduh sedemikian sepanjang seribu tahun setelah kewafatannya. Malah, terus menjaja dengan kalimah yang buruk ke sana ke sini untuk mencemarkan nama ahli hadis yang terbilang.

Sekarang, mereka menepuk air di dulang, lalu terpercik ke muka sendiri! Kalau mereka mendakwa mereka tidak setuju dengan tuduhan tersebut, mereka buat-buat buta terhadap orang yang terus mempromosikan tuduhan itu. Namun, menjadi bising apabila saya yang berpandangan yang tidak didahului sesiapa.

Mana penghormatan ulama yang mereka selalu menempikkan kalimah itu ke sana ke sini? Mana sanad pengajian mereka? Siapa guru mereka? Alahai! Pertanyaan ini yang bertujuan untuk melakukan ₍Ad Hominem₎ terhadap saya atau menyorokkan kekeringan idea untuk menjawab pembentangan hujah saya sebenarnya memakan diri mereka.

Yang anehnya lagi apabila saya mengambil dan membela pandangan aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekumpulan dengannya yang mengharuskan lancap sepertimana yang dinukilkan Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam «Iẖtilāf al-Fuqohā^» serta pandangan al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy yang mengharuskan melihat bayangan berupa badan pada air dan cermin walaupun bersyahwat, tiba-tiba mereka ini menyerang saya secukup-cukupnya seolah-olah mereka tidak kenal siapa aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim, al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy.

Seolah-olah ketiga-tiga ini seperti rendahan hingusan dari kalangan pencela-pencela ini. Seakan-akan ketiga-tiga ini mengeluarkan fatwa dengan hawa nafsunya sehingga orang yang mengambil pandangan mereka dikira pengikut hawa nafsu.

Mana modal hormat ulama yang selalu mereka laungkan? Mana adab mereka terhadap ahli ilmu yang mereka selalu canang-canangkan? Dicampak ke belakang mereka sebegitu sahaja sebab isu lancap dan lihatan aurat. Saya akan katakan kepada mereka sepertimana yang mereka katakan kepada saya.

Adakah kalian lebih hebat daripada aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim, al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy? Apa kelayakan ilmu kalian untuk mengkritik, malah mencela pandangan ini? Siapa guru kalian? Apa sanad pengajian kalian pada kitab ini? Kalian ikut pemahaman sendiri? Nah! Sekarang mereka menjilat ludah mereka sendiri.

Kemudian, mereka sendiri menjilat ludah mereka lagi dengan berkata bahawa ikutan kita perlu bertepatan dengan pemahaman naṣ-naṣ agama yang sebenar. Padahal, itulah yang saya tegaskan ketika mereka tidak henti-henti berlidah puaka terhadap saya.

Sekarang tiba-tiba mereka mahu menjadi ulama untuk membahaskan al-Quran dan hadis secara terus? Sekarang tiba-tiba mereka mahu menjadi orang yang mendahulukan dalil al-Quran dan hadis berbanding tokoh? Jika saya menegaskan prinsip ini, kalian bukan main mengungkapkan nista terhadap saya. Sekarang, kalian ingin memakai pakaian yang kalian sendiri menghinakannya?

Walhal, jika kalian cuba membentangkan perbahasan dalil al-Quran dan hadis demi mempertahankan pandangan yang majoriti, saya juga melakukan sedemikian untuk menepis bahawa ahli ilmu yang berpandangan minoriti ini tidak berfatwa dengan omongan kosong.

Saya juga sedang memberi khidmat kepada legasi ilmu yang mereka wariskan supaya pandangan mereka ini tidak direndah-rendahkan dan tidak dihalang untuk dihina oleh orang yang terkemudian. Salahkah saya membela ahli ilmu daripada dihina sepertimana yang kalian sedang lakukan apabila saya menukil dan mempertahankan pandangan ini?

Sebab itulah, saya lebih menyenangi perbahasan ilmu dengan para salafi. Meski saya juga ada berbeza pandangan dengan pandangan arus perdana salafi, jarang sekali untuk menemukan hipokrit sebegini. Ya, sememangnya mereka juga rasa tersinggung apabila tokoh mereka dikritik, akan tetapi, itu langsung tidak memalingkan prinsip mereka untuk melihat penghujahan dalil.

Setiap kali ada perbalahan, masing-masing terus objektif untuk melihat sandaran daripada al-Quran dan hadis serta kaedah ilmu. Tidak ada mantera yang diratib-ratibkan aswajaean yang sememangnya bertujuan untuk ₍Ad Hominem₎ atau berdalih.

Sebab itu apabila adanya kritikan, saya lebih mendahulukan kritikan salafi daripada aswajaean. Jelaslah bahawa bagaimana manhaj boleh mempengaruhi sikap dan budaya ilmu. Jika berada di manhaj membawa kepada permainan falasi dan bias, itulah tanda-tanda manhaj ilmu yang bercelaru. Jika berada di manhaj yang sentiasa bersikap objektif dan mementingkan keilmuan berbanding sentimen, maka inilah manhaj yang sebenar.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633885520307601408/celoteh-peribadi-35-wajah-para-pengkritik-saya

com/post/633885520307601408/celoteh-peribadi-35-wajah-para-pengkritik-saya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now