Celoteh 93

5 0 0
                                    

Pergulatan Saya Dengan Sebahagian Orang Tentang Pengalaman Zikir Yang Warid

Jubah, kopiah dan serban sibuk nak diangkat dan dibesar-besarkan. Sanggup bermati-matian mempertahankan bahawa ia sunnah yang patut dihidupkan dan dibudayakan. Cuba kalau ada seseorang menyatakan bahawa jubah, kopiah dan serban hanya sekadar pemakaian tradisi sahaja, bukan sunnah, pasti kita akan melihat adanya pemberontakan yang kuat dari mereka ini.

Akan tetapi, zikir selepas solat, sebelum tidur, pagi dan petang yang warid dari Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- langsung tidak mahu diutamakan dan dibudayakan. Jarang sekali mereka mengajarkan dan menyampaikannya. Jika ada pun, ia tidak menjadi penekanan yang serius agar ia menjadi tradisi dan pengamalan setempat.

Apabila diperkenalkan, mesti ada perasaan tidak senang daripada mereka. Kita bertanya: "Mengapa tidak mahu amal zikir yang warid dari Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- ?". Mereka hanya mampu tersengih terkelu. Namun, di jantung mereka bergelora perasaan tidak nyaman dan menelan kepahitan. Langsung tidak ada kemahuan untuk mengamalkannya, apa lagi adanya kecintaan untuk melaziminya.

Apabila didengarkan imam mengamalkan zikir selepas solat dari Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- , kalau langit boleh pecah kerana rasa tersentak mereka, pasti berderai-derai hancur kerana perasaan yang terhambur ketika mendengarnya sepertimana terhamburnya kemarahan mereka apabila dinafikan pemakaian baginda itu sekadar budaya, bukan sunnah.

Paling pelik sekali adalah apabila kita memperkenalkannya dan menggiatkan promosi kepadanya, pasti ada sindiran dan sinis bahawa ia adalah daripada wahabi atau seteru alirannya! Maha Suci Allah! Pengajaran, penyampaian, pengagungan, pemerkasaan dan perjuangan kepada sunnah pun perlu ditimbang nilainya pada aliran yang dianuti terlebih dahulu? Otak mereka ini sudah tercemar dengan pemikiran binari aliran!

Zikir tarekat dari tok syeikh tarekat atau entah dikutip dari mana juga lebih suka diamalkan. Seolah-olah jauh lebih istimewa dari zikir baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- .

Buktinya adalah mereka lebih khuatir jika tertinggal zikir yang warid daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- berbanding wirid yang diterima dari tok syeikh tarekatnya. Mereka merasakan amalan yang warid tersebut tidak dirasakan cukup dan tidak memiliki keistimewaan sampai mahu mencari tambahan yang lebih demi suatu keunikan yang tidak ada pada yang warid!

Saya bukan ingin mencela atau memandang pemakaian jubah, kopiah dan serban seumpama tiada nilai apa-apa. Saya sendiri pun ke masjid dan surau serta majlis ilmu agama dengan memakai jubah. Saya juga ada amalan zikir dan doa dengan lafaz sendiri sepertimana para ulama yang lain yang juga ada sedemikian dan dikongsikan kepada orang ramai atau muridnya.

Apa yang saya ingin paparkan di sini adalah kecelaruan manhaj sebahagian orang dalam menanggapi sunnah. Kita perlu cakna bahawa rekaan atau penambahan yang sesudahnya tidak ada perkhabaran ghaib tentang fadilat yang khas padanya. Ia adalah perkara yang kita amalkan kerana sesuatu yang seseorang individu atau sebahagian kelompok dapat sama ada dapatan emosional atau selainnya, bukan sesuai untuk semua orang.

Tidak seperti yang diajarkan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Kendatipun baginda tidak memberitahu ganjaran yang kita dapat, yang pasti ia ada nilai yang istimewa kerana ikutan kepada baginda dan apa yang warid dari baginda, khususnya yang tauqifi, tentu ada kelebihannya tersendiri dari yang ghaib walaupun kita tidak tahu.

Adapun yang rekaan, ia sekadar mengambil berkat dari lafaz atau kalimah yang mulia yang menepati syariat. Namun, ia tidak ada keistimewaan yang khas sepertimana yang warid. Ia adalah sama sahaja sama ada yang direka oleh ulama atau orang awam.

Cuma, yang direka dari ulama ada keistimewaan yang lebih sedikit kerana orang yang mengamalkannya mungkin atas dasar keberkatan cintanya dan sayangnya kepada ulama. Itu sahajalah kelebihannya. Akan tetapi, tetap tidak sebanding yang sampai kepada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- .

Sebab itulah, kalau kita ingin meletakkan keutamaan pengamalan zikir dan doa, sudah tentu yang dari Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dan sepatutnya kita lebih merasa serba salah apabila tertinggal pengamalannya walaupun ia bukanlah kewajipan berbanding jika tertinggal pengamalan yang direka oleh selain baginya.

Yang menjadi masalah adalah ia telah menjadi terbalik dalam praktik masyarakat. Tambah lagi menjadi masalah adalah apabila kita perkenalkan yang warid, wajahnya mencuka dan jantungnya seperti tersimbah air panas. Namun, apabila diperkenalkan daripada selain baginda, senyumannya terukir dan jantungnya senang. Zikir selepas solat itu sudah cukup menjadi bukti.

Kadangkala, apabila kita mengingatkan hal ini, ada yang mencelah dengan berkata: "Apa salahnya atau bukankah lebih baik jika mengamalkan kedua-duanya?", iaitu yang warid dan selainnya. Masalahnya adalah seperti itukah realitinya sepertimana yang saya bangkitkan? Ambil zikir sesudah solat pun memadai. Kedua-dua sekalikah yang diamalkan? Atau salah satunya yang lebih berat?

Mengapa penting untuk diperingatkan agar berpada dengan sunnah dan mendahulukan yang sunnah? Inilah yang terjadi para kelompok sufi secara khusus. Bagi mereka, zikir yang diajarkan syeikh atau yang ada dalam kitab tarekat menjadi keutamaan pengamalan sehingga mereka lebih bersungguh-sungguh untuk istiqamah terhadapnya berbanding yang warid daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-.

Kami cabar mereka yang berkata: "Apa salahnya mengamalkan kedua-duanya" atau "Lebih baik mengamalkan kedua-duanya" untuk perkenalkan tarekat yang menjunjung pengamalan yang warid daripada baginda dan mengutamakan lebih segala-galanya berbanding yang lain serta kelompok yang ada di dalamnya tidak begitu alergik apabila menyebutkan keistimewaan zikir yang warid daripada baginda berbanding yang diamalkan tarekat.

Tambah lagi teruk adalah sebahagian orang yang ingin mencari sesuatu yang kelihatan lebih unik daripada yang lain seperti kekayaan dan dapatan yang mungkin mencarik adat. Ada juga sebahagian zikir adalah ratib sihir yang disalut dengan ayat al-Quran , hadis, nama-nama Allah, selawat dan lain-lain lafaz dan kalimah yang tampak menepati syariat. Ini semua kerana tamak untuk mendapatkan kehebatan dari dunia.

Mereka merasakan bahawa apa yang diajarkan baginda tidak ada kelebihan yang besar atau yang memberikan impak signifikan dalam pendambaannya terhadap sesuatu. Perasaan inilah yang membawa kepada penyimpangan sebahagian orang kerana kurang penghayatan terhadap keagungan yang ada pada pengamalan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-.

Apabila diperingatkan tentang ini, mesti ada perasaan yang kurang enak, prasangka yang sinis dan keinginan untuk menyindir. Mengapa ini terjadi? Muhasabahlah diri masing-masing.

Malah, ada juga yang menyinggung dengan berkata: "Kamu sibuk memperkenalkan amalan yang warid, tetapi kamu pun bukan amal semua!". Wahai sang tolol! Siapa yang di bumi ini yang mengamalkan kesemua amalan sunnah dan yang warid di dunia ini? Tunjukkan kepada kami pengakuan seseorang yang telah mengamalkan kesemuanya bersesuaian dengan realitinya atau orang yang kalian telah lihat bahawa dia telah mengamalkan kesemuanya?

Kalau kita tidak mengamalkan kesemuanya, apakah kita tidak boleh memperkenalkannya kepada masyarakat? Malah, sepatutnya kita menjadi orang yang giat menyebarkan amalan yang warid daripada baginda sekalipun kita bukan yang terbaik dari kalangan masyarakat. Mengapa perlu sinis terhadap orang yang menyampaikan?

Untuk pemakaian pula, saya berpendapat ia bukan sunnah. Ia adalah adat setempat yang baginda sekadar menyesuaikan diri sama seperti penggunaan cop mohor dalam persuratan dan lain-lain.

Ada orang berkata bahawa tindakan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- berdasarkan wahyu dan baginda tidak mengamalkan sesuatu melainkan ia adalah terbaik untuk baginda. Lalu, mereka menganggap bahawa pemakaian jubah dan serban adalah sunnah.

Saya katakan, bagaimana dengan pemakanan daging dhab? Bukankah baginda tidak menyukainya? Bukankah baginda tidak menyukai sesuatu melainkan pilihan untuk tidak menyukai sesuatu itu adalah yang terbaik untuk baginda? Tidakkah sedemikian? Sebegitu juga dengan tunggangan kuda dalam medan perang. Adakah tidak menungganginya tidak mengikut sunnah di medan perang pada hari ini?

Saya menambahkan isu ini supaya menyinggung sebahagian orang yang ada kecelaruan dalam pemahaman tentang sunnah yang ingin memberi respons sumbang terhadap saya ketika saya memperkenalkan sunnah dan amalan yang warid.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/658310809829720064/celoteh-peribadi-93-pergulatan-saya-dengan

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now