Celoteh 96 : Jangan Merasakan Diri Kita Ini Suci

3 0 0
                                    

Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

"Maka, janganlah kalian merasa diri kalian suci. Dia lebih mengetahui tentang orang yang bertakwa". [Surah an-Najm ayat 32].

Sebahagian perkara sememangnya kita perlu yakin bahawa kita berpijak di atas kebenaran yang tidak disangkal lagi seperti kebenaran agama Islam itu pada ajarannya, perundangannya, sistemnya, pendidikannya dan pelbagai lagi yang lain.

Ada sebahagiannya walaupun kita yakin pendapat dan pilihan yang kita pilih, kita perlu buka sedikit ruang dalam jantung kita supaya kita mampu bersedia untuk menerima kebenaran yang didasari hujah yang lebih kuat dari apa yang kita pertahankan selama ini.

Jika kita menguncinya dan tidak membuka ruangnya, pasti kita akan menjadi orang degil, pengingkar terhadap kebenaran, musuh kepada penghujahan ilmiah dari pihak lain dan orang yang berpaling kepada kesesatan.

Saya dahulu ada seorang sifu yang saya mendapat inspirasi besar daripadanya dan daripadanya, saya menjadi diri saya yang hari ini. Sumbangan pada diri saya cukup besar dan cukup signifikan dalam hidup saya. Kalaulah saya ingin menamakan tokoh sanjungan saya, pasti saya akan menyebut namanya dengan penuh bangga dan berterima kasih terhadapnya.

Cuma, pada suatu hari, saya mula mendapati bahawa dia mulai keterlaluan dan perlahan-lahan ke arah penyimpangan. Saya pada dahulunya mengakui dia memiliki kekuatan hujah dan memiliki penjelasan yang bernas dalam mempertahankan pandangannya. Akan tetapi, pada waktu itu, dia sudah mula meracau, rancu dan ekstrim.

Faktor utamanya adalah dia selalu mendakwa dengan dakwaan yang keterlaluan yang sememangnya boleh dikatakan kebongkakan atas nama pengungkapan syukur kepada nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya. Perbuatan ini tidaklah salah pada asalnya, tetapi ia akan menjadi bahaya jika seseorang menyebut sesuatu yang lebih daripada sepatutnya atau tidak berdasarkan realiti dirinya.

Dia mendakwa dirinya sebagai imam mahdi, paling faqih di kawasannya, bahkan sampai berkata dia mendekati al-Ḥaqq, iaitu Maha Benar kerana merasakan bahawa kebenaran banyak berpihak di sisinya. Banyak lagi dakwaannya yang seumpama ini yang melampau-lampau kerana rasa bangganya dalam meyakini pandangan yang dia pegang.

Saya dan dia pernah sependapat bahawa pendefinisian qadim yang menyatakan Allah itu terbebas daripada masa adalah tidak benar. Dengan kata lain, saya dan dia berpendapat bahawa Allah ada lingkungan masa dan ia tidak terpisah dengan diri-Nya, bahkan sebahagian daripada diri-Nya, tetapi tidak sama dengan makhluk dan yang tergambar pada minda sekadar majaz sahaja.

Bezanya adalah walaupun saya menolak pandangan keseluruhan ulama dalam hal ini dan saya membentangkan penghujahan saya dalam mempertahankan pandangan saya dalam keadaan yakin haluan yang saya pilih, saya tetap terbuka untuk menerima penghujahan lain yang mampu merobohkan apa yang saya pertahankan.

Akan tetapi, dia dengan yakinnya menyatakan bahawa sesiapa yang berpendapat bahawa qidam Allah itu terbebas dari masa pasti salah seakan-akan tidak ada lagi ruang untuk diskusi.

Namun, dengan izin Allah, saya dapati saya telah salah dalam isu tersebut dan saya bertaubat dari pemahaman sebegitu. Saya menarik balik pandangan itu dan saya memohon maaf atas kesilapan saya serta saya menyeru kepada mana-mana pihak yang mengikuti pandangan saya dalam hal itu agar dipertimbangkan sekali lagi dan jangan teragak-agak untuk menarik balik pandangan tersebut setelah nyata kelompongannya.

Saya bersyukur kepada Allah kerana menyingkapkan kesilapan saya yang saya tidak sedar selama ini, memberikan kelembutan jiwa untuk mengakuinya dan meneguhkan semangat saya untuk berganjak ke pendapat yang lebih benar. Di samping itu, saya memohon keampunan kepada-Nya atas kekurangan dan kesilapan saya serta saya memohon agar Dia sentiasa menyebatikan diri saya di atas kebenaran yang kukuh.

Saya tidak tahu apa jadi padanya sekarang setelah sekian lama saya meninggalkannya ketikamana dia mula menyeleweng dan menjadi penentang apa yang dia perjuangkan dahulu. Saya tidak tahu sama ada dia telah menarik balik pandangan tersebut atau masih kekal dengannya. Cuma, setakat yang saya tahu, dia telah pun menjadi pengingkar sunnah yang bertambah jauh kesesatannya dan sememangnya tidak sama sepertimana dahulu.

Sampai sekarang saya tidak mahu menyebut namanya sepertimana saya menyebutnya pada masa dahulu kerana parahnya kesilapannya dan rosaknya manhajnya pada hari ini. Saya mungkin berterima kasih padanya atas baktinya kepada saya dalam pembentukan manhaj dalam diri saya, tetapi saya perlu mengucapkan salam perpisahan kerana haluan saya dan dia berbeza.

Pada ini, nyatalah pada saya bahawa merasakan diri ini suci adalah sebab tertutupnya hidayah daripada kita. Disebabkan seseorang itu sudah menjadi sombong dan tidak mahu lagi membuka mata untuk mengamati rezeki dan nikmat Allah yang berupa kebenaran dari luar dimensinya, maka dia tidak mendapat bahagiannya sekalipun dia mendakwa dia berada padanya. Semoga kita terjauh daripada sikap seperti ini.

Sebab itulah saya berkali-kali mengingatkan bahawa agar jangan taksub dengan saya dan saya tidak redha pendapat saya diikuti melainkan setelah ditelusuri kelompongannya semampu yang boleh berdasarkan daya ilmu yang ada. Setelah yakin dapatannya bahawa ia menepati kebenaran, maka ikutilah dan pertahankannya secara independen. Jadilah orang yang setara keilmuannya dengan saya atau lebih daripada itu supaya haluan yang dipilih bukan atas dasar ikutan buta, tetapi dari suluhan mata yang celik.

Saya tidak suka dikultuskan kerana saya sendiri ada pandangan yang saya tarik balik setelah saya melakukan semakan. Pengikut buta yang fanatik lagi mengkuduskan seseorang pasti sukar untuk menerima realiti ini.

Sebab itulah, kalau saya mampu mendirikan mazhab saya, saya sendiri tidak akan mengaku pengikut buta ini sebagai pengikut saya walaupun mereka bersorak riang menyambut kehadiran saya di mana sahaja. Ini demi menghakiskan sifat ketaksuban dan pemujaan terhadap seseorang secara berlebihan tanpa didasari minda sedar yang terbekal dengan pemahaman yang utuh.

Kalau ditakdirkan saya menyimpang sepertimana sifu saya -semoga Allah melindungi saya daripada kesesatan tersebut dan terus mengukuhkan saya dalam kebenaran yang sejati-, maka masing-masing sudah cakna pendirian yang perlu dipegang teguh. Iman kita adalah milik kita. Bukan tergantung pada orang lain yang jika dia kufur, maka kita pun sama-sama berayun padanya. Sebab itulah, para ulama sentiasa mengingatkan agar menjauhi taklid kerana mengambil kira seriusnya dampak hal tersebut.

Sebagai tambahan, ayat ini juga mengingatkan kita tentang seseorang yang mendakwa bahawa dirinya adalah wali Allah atau mengangkat seseorang yang lain sebagai wali-Nya secara semberono. Siapa yang memberikan kita jaminan bahawa kita adalah kekasih-Nya yang Dia cintai sepanjang masa sehingga terbebas dari kesilapan dan siapa pula yang memberikan jaminan kepada seseorang yang lain bahawa dia adalah kekasih-Nya yang Dia akan bela sepanjang masa?

Apatah lagi jika pengakuan atau sanjungan kita kepada seseorang itu memiliki penyimpangan akidah yang jelas, amalan bidaah lagi khurafat yang dia mengajarkannya, menyampaikannya dan menyebarkannya, berpedomankan manhaj agama yang bercelaru serta terbabit dalam perlakuan fasik sama ada pada dirinya atau sesama insan yang terang-terangan salah dan dia tidak merasa salah terhadapnya serta mempertahankan pembawaannya yang jelas fatal kesilapannya. Beginikah yang menjadi insan yang diredhai Allah sehingga diangkat wali-Nya?

Kadangkala, pengakuan tersebut atau sanjungan itu semata-mata untuk seseorang eksploitasi kepentingan yang sudah lama terbuku dalam jiwanya untuk dilunaskan. Apa sahaja boleh dihalalkan atau dijustifikasikan hanya kerana digelar wali. Berjaga-jagalah orang yang mendakwa dirinya adalah suci atau menganggap orang lain adalah suci kerana di sebalik itu ada kejahatan yang dia akan bawa.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/659448866481061888/celoteh-peribadi-96-jangan-merasakan-diri-kita

com/post/659448866481061888/celoteh-peribadi-96-jangan-merasakan-diri-kita

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now