Celoteh 86 : Sebab Saya Tidak Mahukan Populariti

6 0 0
                                    

Banyak kali saya lihat peritnya menjadi orang yang terkenal dan dicari oleh masyarakat meskipun sumbangannya kepada agama dan sosial tidak dipertikaikan lagi. Saya lihat mereka ini walaupun berjasa besar, tetapi sudah tentu ada orang yang dengki dan berusaha untuk menjatuhkannya atau sememangnya menyimpan permusuhan terhadapnya.

Baik macam mana pun mereka tetap menjadi sasaran fitnah, serangan dari pelbagai arah, simbahan kenistaan dan beraneka ragam yang lain membebankan jiwa. Seakan-akan jasa yang lalu telah pun dipendam dalam lipatan sejarah hanya kerana timbul isu-isu kontroversi berkaitan dengannya.

Sejujurnya, saya secara peribadi tidak tahu sama ada saya mampu cekal dan tabah untuk menghadapi ujian sepertimana yang mereka hadapi. Pernah satu keratan penulisan saya ditularkan oleh salah seorang individu yang berpengaruh. Sudah tentu diri saya yang kerdil dan tidak memiliki bulatan teman yang ramai tidak cukup tangan untuk mendepani pengikut mereka.

Segala puji bagi Allah, dengan bantuan-Nya, saya masih boleh mendepaninya dengan baik dan berakhir tanpa sebarang masalah. Mungkin ini sahaja ujian pertama yang diberikan Allah Tabāroka Wa Ta*ālā dalam hidup saya agar saya mengenali sedikit sebanyak hidup menjadi populariti.

Saya sentiasa sahaja berdoa agar Allah melindungi kancah populariti dan kemahsyuran serta menghapuskan rasa keinginan dalam jiwa saya untuk mengejarnya. Cukuplah Allah perkenalkan saya kepada orang yang seberhaknya dan yang terbaik untuk saya di dunia dan di akhirat supaya saya terus berada di komuniti tersebut. Dikurniakan sahabat sefahaman yang membina manfaat di dunia dan di akhirat sudah cukup dikira nikmat yang besar walaupun seorang.

Kalau suatu hari Allah berikan saya ujian kemahsyuran, saya berdoa agar Dia membantu saya untuk menghadapinya dengan jiwa yang cekal dan semangat untuk kejayaan di dunia dan di akhirat. Cukuplah peristiwa yang saya saksikan dan pengalaman yang saya lalui sebelum ini memberikan saya pengajaran yang bermakna buat diri saya.

Saya bukanlah sesiapa yang memiliki sandangan yang layak diangkat sebaris dengan tokoh-tokoh gemilang kenamaan. Saya tidak layak sepertimana yang telah dirangkul oleh kesemua mereka. Mereka semua lebih layak untuk dijadikan tokoh ikutan, guru yang dituntut ilmunya dan idola yang disanjung tinggi.

Kalau pun ada orang ramai berbondong-bondong ingin menadah ilmu daripada saya, tetap saya akan bertegas untuk ambil daripada mereka yang lain yang jauh lebih berwibawa dan lebih hebat berbanding saya. Saya selalu tegaskan dalam banyak tempat yang saya tidak suka dikultuskan dan saya berpesan agar jangan mengikut secara taklid, tetapi berdasarkan hujah dan ketepatan neraca ilmu.

Saya akui saya memiliki banyak aib, kekurangan dan kesilapan. Dalam keadaan saya sekarang ini pada mereka yang mengenali saya, itu pun sudah cukup menyebabkan saya dipandang jelek dan disisihkan. Apatah lagi jika mengetahui hakikat di sebaliknya yang lebih dalam. Benar. Saya ini memang teruk orangnya. Sebab itulah orang lain lebih berhak untuk didambakan pencarian dan pendampingan.

Saya sememangnya ada kemahuan bahawa pendapat saya serta penulisan saya dalam beberapa isu sampai kepada orang ramai, lebih-lebih lagi yang saya fikir ia memberikan pengisian kepada kekosongan yang dicari masyarakat dan meleraikan kekusutan yang melingkar pada mereka. Cuma, saya faham yang kalau Allah tidak merealisasikan impian saya, berkemungkinan ia bukan yang terbaik untuk saya sama ada buat sementara atau sepanjang hayat dunia.

Pun begitu, saya tetap akan cuba berusaha dalam memberi khidmat yang terbaik kepada agama-Nya dan lapangan keilmuan. Meski saya tahu betapa nistanya diri saya, saya tetap seorang hamba yang menginginkan keredhaan-Nya dan keampunan-Nya. Jika tidak, siapa lagi yang perlu kita cari. Dengan ini, saya berharap ia menjadi tanaman saya untuk saya tuai di hari akhirat kelak dengan kejayaan. Semoga kita semua pun sedemikian.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/657559769026084865/celoteh-peribadi-86-sebab-saya-tidak-mahukan

com/post/657559769026084865/celoteh-peribadi-86-sebab-saya-tidak-mahukan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now