Celoteh 123 : Mengapa Saya Menerima Ilmu Kalam?

8 0 0
                                    

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa saya yang selalu menyebutkan bahawa saya ini adalah salafi, tetapi saya menerima pembelajaran ilmu kalam, meletakkannya dalam kedudukan yang bernilai dalam bidang ilmu serta ada keperluan dalam mempelajarinya? Ini adalah kerana definisi ilmu kalam sepertimana yang disebutkan Ibn H̱oldūn :

هو علم يتضمّن الحجاج عن العقائد الإيمانيّة بالأدلّة العقليّة والرّدّ على المبتدعة المنحرفين في الاعتقادات عن مذاهب السّلف وأهل السّنّة

"Ia adalah ilmu yang mengandungi hujah-hujah tentang akidah-akidah keimanan dengan dalil-dalil rasional dan penolakan terhadap pelaku bidaah yang menyeleweng dari mazhab salaf dan ahli sunnah dalam iktikad-iktikad itu". [Dīwān al-Mubtada^ Wa al-H̱obar Fī Tārīẖ al-*Arob Wa al-Barbar Wa Man *Aṣōrohum Min Ḏawī Ša^n al-Akbar, m/s 580, keluaran Dār al-Fikr, Beirut, tahqiq H̱olīl Šaḥādah].

Mengikut definisi ini, saya pasti tiada siapa akan menolak kebenaran dan kepentingan pengisian yang ada dalam ilmu kalam ini. Mungkin ada yang tidak setuju dinamakan sebagai ilmu kalam, tetapi nama tidaklah penting dan tidak dijadikan isu perselisihan yang besar. Apa yang penting adalah kita mencapai objektif sepertimana yang digariskan dalam definisi ini.

Kemudian, bagaimana celaan para salaf terhadap ilmu kalam? Saya katakan, ini kerana ilmu ini dipelopori, diketengahkan dan didominasi oleh golongan jahmian, seterusnya muᶜtazilian dan mereka yang terpengaruh dalam falsafah asing.

Khususnya jahmian dan muᶜtazilian, mereka ini menjadikan ilmu kalam ini sebagai puncak tujuan dan kandungan perbahasan dalam menafikan sifat kalam Allah, seterusnya untuk menjustifikasikan bahawa al-Quran adalah makhluk.

Malah, mereka ini mengembangkan lagi ilmu ini untuk menjustifikasikan penafian dan pembatalan kebanyakan sifat-sifat Allah yang lain dengan teori dan konsep yang mereka bangunkan. Mereka yang beraliran falsafah lain juga ada tujuan yang tersendiri yang menyesatkan dalam menggelumangkan diri dalam ilmu kalam. Inilah sebabnya para salaf menjauhi ilmu kalam.

Cuma, saya melihat ilmu kalam ini sama seperti cabang ilmu yang dinamakan neuroteologi. Ia adalah ilmu yang menggunakan kajian saintifik dan pemerhatian sains dalam paksi ilmu neurologi bagi mengenalpasti dan memahami tindak balas otak dan psikologi yang memiliki perkaitan dengan praktik agama dan spiritual.

Akan tetapi, ilmu ini ada tarik menarik antara golongan saintisme dengan golongan agama. Bagi golongan saintisme, ia boleh menjadi ilmu pseudosains kerana ilmu ini ingin menjustifikasikan perkara yang ada perkaitan dengan agama, khususnya jika ada bentuk penafsiran yang melangkaui capaian saintisme dan materialisme.

Bagi golongan agama, ilmu ini dijadikan sebagai penolakan terhadap agama kerana mereka berdiri di atas materialisme, menolak kepercayaan yang berkaitan dengan mencarik adat, khususnya pengamalan kerohanian serta menjustifikasikan bahawa tidak ada yang unik pengajaran setiap agama kerana masing-masing dilihat secara sama dari sudut pemerhatian dan dapatan sains.

Kalaulah neuroteologi ini wujud pada zaman salaf, pasti salaf akan menolaknya kerana melihat kepada tujuan akhirnya dan pengisian yang ada pada ilmu tersebut.

Apapun, kita perlu tahu bahawa setiap cabang ilmu ada yang disebutkan sebaga ₍al-Mabādi^ al-*Ašaroh₎ (الْمَبَادِئ الْعَشَرَة), iaitu pengantar dasar yang sepuluh. Ia adalah sepuluh perkara bagi pengenalan mendasar bagi sesuatu cabang ilmu, iaitu pengertian ilmu itu sendiri, tajuk perbahasannya, hasil faedahnya, keutamaannya, kedudukannya, asal usul ilmunya, nama-nama lain, epistemologinya, hukum mempelajarinya dan persoalan yang menjadi permasalahan bagi ilmunya.

Kalaulah ilmu neuroteologi dipelopori dan didominasi oleh golongan saintisme dan materialisme sehingga mereka sendiri mengisi dan membentuk pengantar dasar yang sepuluh bagi ilmu tersebut yang bertujuan dalam penolakan terhadap agama sama ada secara langsung atau tidak langsung, mengapa tidak para agamawan yang berkemahiran dalam ilmu neurologi juga mengetengahkan pengantar dasar yang sepuluh yang sesuai dengan prinsip agama mereka?

Celoteh Peribadi Amir KazumaDonde viven las historias. Descúbrelo ahora