Celoteh 70 : Ambillah Ilmu Dari Mereka Meski Mereka Pencela Saya

7 0 0
                                    

Para agamawan akan mentahzir dan mencela saya kerana saya seorang yang menzahirkan erotisisme di laman maya. Saya hormati pendirian mereka dan saya maafkan semua celaan tersebut kepada saya. Saya tetap dengan apa yang saya pilih dan saya akui kesukaran mereka untuk bertoleransi dengan haluan yang saya ambil.

Walaupun mereka mencela saya, saya tetap akan menyarankan orang untuk menadah ilmu daripada mereka jika dia seorang yang memiliki manhaj yang lurus tanpa mengira aliran. Malah, saya juga akan belajar dan ambil manfaat daripadanya tanpa prejudis dan rasa ketidaksenangan walaupun mereka ini yang menyakiti dan mengaibkan saya.

Saya tidak menyimpan dendam peribadi terhadap mereka. Mereka mungkin sahaja lebih baik daripada saya dari segi keluasan ilmu dan kewibawaan dalam lapangan tersebut. Mereka tetap saudara saya sama ada dalam seagama atau semanhaj kendatipun mereka menyisihkan saya. Mereka adalah orang yang saya hormat sebagai ilmuwan dan yang saya junjung sebagai berkeahlian dalam bidangnya meskipun mereka ini merobek kredibiliti saya.

Saya akan bela mereka jika mereka diserang dalam perkara kebenaran sekalipun mereka tidak peduli pun keadaan saya atau tidak menghargai pembelaan saya. Walaupun kerapkali kami berbalas-balas sanggahan dan celaan, tetapi sesiapa sahaja yang tekal di atas manhaj yang jernih lagi lurus, maka dia tetap dalam pengiktirafan saya.

Sekurang-kurangnya mereka jauh lebih berkualiti daripada golongan yang penglipur lara, penyebar bidaah dan memikul manhaj yang bercelaru. Oleh itu, tidak ada manfaat pun untuk memecahbelahkan lagi keretakan yang telah ada atau memulaukan mereka kerana isu-isu yang kurang signifikan untuk umat, apatah lagi isu-isu menyeleneh.

Selagimana kita ada dasar yang besar untuk disepakati bersama, saya boleh ketepikan isu-isu peribadi meskipun mereka tidak mahu sepakat dengan saya. Saya berdoa kepada Allah agar sentiasa menyebatikan jiwa saya dengan sifat ini sehingga akhir nafas saya.

Mungkin orang merasa aneh yang saya mengutip pandangan dan berkongsi kalam mereka yang secara jelas memalukan saya dan selalu menjadikan saya sebagai bahan sindiran dan ejekan. Malah, kalau saya kongsi pandangan mereka pun, mereka itu juga akan menzahirkan kesinisan terhadap saya atau menyinggung saya. Saya berprinsip seperti Aḥmad bin Ḥanbal pada halnya bersama Abū Kuroyb. *Abdullah bin al-Warrōq berkata :

كُنْتُ فِي مَجْلِسِ أَحْمَدَ بنِ حَنْبَلٍ، فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ أَقبَلتُم؟ قُلْنَا: مِنْ مَجْلِسِ أَبِي كُرَيْبٍ. فَقَالَ: اكتُبُوا عَنْهُ، فَإِنَّه شَيْخٌ صَالِحٌ. فَقُلْنَا: إِنَّه يَطْعُنُ عَلَيْكَ. فَقَالَ: فَأَيُّ شَيْءٍ حِيلَتِي، شَيْخٌ صَالِحٌ قَدْ بُلِيَ بِي.

Aku di majlis Aḥmad bin Ḥanbal. Dia berkata: "Daripada mana kalian menghadap?". Kami berkata: "Dari majlis Abū Kuroyb". Lalu, dia berkata: "Tulislah daripadanya. Sesungguhnya dia syeikh yang baik". Kami berkata: "Sesungguhnya dia selalu mencelamu". Dia pun berkata: "Apa lagi alasanku? Dia syeikh yang baik yang diuji dengan aku". [Siyar A*lām an-Nubalā^﹇jilid 11﹇m/s 317﹇keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Mereka semua diuji dengan saya. Apa lagi yang boleh saya buat? Hidup ini memang tidak ada sesiapa pun dapat memuaskan hati setiap orang. Kalau mereka tidak puas hati dengan kita, mengapa pula kita ingin membalas yang sama, sedangkan ia tidak memberi manfaat yang besar pun?

Saya berharap kalau kita bertelagah di dunia pun, kita adalah sahabat rapat di syurga kelak. Semoga Allah perkenankan hajat ini. Di sana nanti, terpadam semua dengki dan rasa kebencian yang dari lubuk jiwa.

Di dunia ini adalah sekadar tempat ujian; siapakah yang terbaik amalannya, siapakah yang ingin memerhatikan dan mempedulikan hujah serta siapakah yang ingin benar-benar berkemahuan untuk bersama kebenaran dan konsisten dengannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654365199286059008/celoteh-peribadi-70-ambillah-ilmu-dari-mereka

com/post/654365199286059008/celoteh-peribadi-70-ambillah-ilmu-dari-mereka

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaOn viuen les histories. Descobreix ara