Celoteh 104

7 0 0
                                    

Tanggapan Saya Terhadap Pencapaian Saya Yang Unik Dalam Bidang Ilmiah

Saya pernah didatangi oleh beberapa orang yang memuji pandangan saya yang lain daripada yang lain dan didasari hujah yang kukuh lagi bernas. Mereka takjub dengan pola pemikiran saya yang unik dan memberikan cetusan inspirasi yang unik kepada mereka. Cuma, saya secara peribadi tidak tahu sama ada ia benar-benar pencapaian yang membanggakan atau ujian buat saya dan ia sememangnya menggelisahkan jiwa saya.

Bercakap tentang penceritaan pencapaian diri, *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ahli hadis keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- melalui karyanya yang berjudul «Sabīl at-Tawfīq» yang membiografikan dirinya sendiri banyak menyebutkan pencapaian yang lain daripada yang lain yang tidak pernah didahului oleh sebelumnya, khususnya penghasilan kitab.

Bahkan, dia sendiri menyebutkan pujian ulama sezamannya terhadapnya. Selalunya, pujian terhadap seseorang direkodkan oleh orang lain dan dibukukan dari tulisan tangan orang lain, bukan dari tangan penulis sendiri. Sememangnya tidak pernah pembiografian seperti ini mungkin tidak pernah dibuat oleh mana-mana orang sebelumnya.

Sekadar yang saya tahu, dia ada pandangan yang menyalahi sekalian ulama dalam isu penasakhan pembacaan ayat al-Quran melalui karyanya «Ḏawq al-Ḥalāwah Fī Bayān Imtinā* Nasẖ at-Tilāwah» dan dia berbangga dengannya sebagai menzahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan kepadanya.

Insan seperti dia sememangnya layak untuk berbangga dengan melihat kepada penguasaan ilmunya yang bukan calang-calang hebatnya. Namun, sang kerdil seperti saya ini sememangnya wajar berwaspada.

Adakalanya, saya memang menyebut nikmat yang Allah kurniakan kepadanya sebagai meneladani para ulama dalam menzahirkan kesyukuran kepada-Nya. Namun, dalam masa yang sama, saya sememangnya perlu berjaga-jaga kerana mungkin saya dalam tipu daya yang hanya Dia sahaja tahu keadaan saya.

Pun begitu, walaupun saya berpuas hati dan kadangkala bangga dengan pencapaian saya yang tidak pernah didahului oleh mana-mana mereka sebelum saya atau sezaman dengan saya, cuma saya berbangga bukan kerana hal itu semata-mata.

Saya bersyukur kerana Allah melimpahkan keteguhan kepada saya untuk mengutarakan hujah secara sistematik, berdisiplin dan tersusun yang objektif serta mengurniakan suluhan mata kepada saya untuk meneliti dengan lebih kemas, tajam dan kritis agar saya dapat membezakan apa yang benar dan yang salah dalam sesuatu isu.

Oleh itu, bukan pencapaian yang lain dariapda yang lain itu sepatutnya difokuskan dan terlalu diangkat secara megah, tetapi manhaj, dasar dan binaan asas yang menjadi pemangkin, pendiri dan pengukuh kepada sesuatu pandangan, prinsip dan prinsip serta sikap kecendekiaan kita dalam berinteraksi dengan isu-isu ilmiah itulah yang sewajarnya perlu ditekuni dan dicurahkan perhatian yang besar.

Jika kita mantap dalam teras ini, maka apa sahaja yang terhasil sama ada pandangan yang baru atau pandangan yang telah sedia ada, tetapi lebih segar atau pandangan yang telah ada pendahulunya, lalu diberikan sokongan tidak akan tergugat dan kekal bertahan dengan stabil.

Saya bersyukur atas nikmat yang telah Dia agihkan kepada saya sehingga saya dapat berdiri dengan yakin terhadap kebenaran tersebut dan dapat mempertahankannya dengan penghujahan ilmiah. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar Dia sentiasa pimpin saya untuk konsisten dalam manhaj yang lurus yang dinaungi rasional, dalil dan penghujahan yang jitu lagi mapan serta suci dari sebarang kenistaan dan kekotoran, seterusnya yang membawa saya kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Saya juga berdoa agar kita semua sama-sama diberikan anugerah dalam menjadi hamba-Nya yang terbaik, tersemat kefahaman yang murni dalam jiwa dan berdiri di atas prinsip yang utuh. Kita semua sangat berhajat dengan nikmat ini.

Jika sesiapa sahaja yang mendapatinya, maka zahirkan kesyukuran kerana itulah sikap kehambaan kita dan itulah yang Dia jamin bahawa Dia akan menambahkan rezeki bagi mereka yang bersyukur. Jika tidak, maka berdoalah dan berusahalah semampu yang boleh. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepada jalannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/661163783226638336/celoteh-peribadi-104-tanggapan-saya-terhadap

com/post/661163783226638336/celoteh-peribadi-104-tanggapan-saya-terhadap

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now