Celoteh 132 : Terus Menyampaikan Walaupun Bersendirian

4 0 0
                                    

Solah Abdul Aziz menghasilkan video pengajaran untuk kitab-kitab berbahasa Arab yang asas secara sistematik untuk mereka yang mahu belajar ilmu agama dari asas yang dimuat naik di saluran Youtube dengan nama Ustaz Solah al-Jengkawi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Solah Abdul Aziz menghasilkan video pengajaran untuk kitab-kitab berbahasa Arab yang asas secara sistematik untuk mereka yang mahu belajar ilmu agama dari asas yang dimuat naik di saluran Youtube dengan nama Ustaz Solah al-Jengkawi.

Saya selalu sahaja mencadangkan kepada rakan-rakan saya yang ingin belajar bermula dari asas untuk mengikuti video pengajaran daripadanya. Ia bermanfaat untuk semua orang dan boleh diikuti setiap orang walaupun tidak mahir berbahasa Arab.

Sememangnya cukup memuaskan hati dan semahunya kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā kerana ada orang mengambil manfaat dan mendapat faedah yang besar walaupun sedikit jumlahnya.

Betapa indahnya dan betapa manisnya mendengarkan atau membaca ucapan terima kasih daripada mereka yang mengikuti pengajaran kita dan benar-benar memperoleh manfaat untuk kefahaman agama mereka walaupun tidak ramai yang mengikuti kita dan walaupun kita jarang mendapat ucapan itu setiap hari.

Ini juga sememangnya mengingatkan situasi saya yang beberapa orang menghantar mesej kepada saya yang terkesan dengan penulisan saya, mendapat cetusan yang berguna dalam pemikirannya dan mengagumi pembentangan hujah idea saya.

Buat masa ini, saya bukanlah orang yang ternama, apatah lagi memposisikan diri sebagai ilmuwan yang terulung yang setara dengan tokoh-tokoh yang berwibawa di peringkat tempatan sehinggalah ke antarabangsa.

Cuma, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana sekalipun dengan keberadaan saya yang kerdil lagi tersisih ini, ditambah lagi pula dibaluti dengan kontroversi dan beberapa pandangan yang melawan arus perdana, masih ada yang mengambil serius terhadap penulisan saya dan menghargai idea-idea saya. Tidak kiralah sama ada sealiran atau tidak, jika ia bermanfaat, maka ambillah ia dan sebarkannya.

Adakalanya saya diajukan pertanyaan dan diminta pandangan kerana saya melihat bulatan rakan mereka kelihatan tidak ada seorang pun yang mahir dalam agama. Saya bersyukur kerana Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā mentakdirkan pertemuan saya dengan mereka dan mereka yang telah saya merapatinya menerima saya sebagai bulatan rakannya dan menjadikan saya sebagai tumpuan untuk ditanyakan atau dibincangkan dalam isu agama atau rujukan untuk memahami isu agama yang saya wacanakan.

Saya akan cuba meresponsnya dan menjawabnya semampu yang saya ada dan dengan kadar limpah pengetahuan yang Dia kurniakan kepada saya. Saya berharap penyampaian saya ini sentiasa dalam kebenaran, berkesepaduan dengan manhaj ilmu yang sejati dan membenihkan manfaat keagamaan dalam diri mereka dan diri saya sendiri.

Pun begitu, saya tetap akan berusaha untuk tidak mengulas atau memberi pendapat dari terbitan saya sendiri. Saya akan cuba mencari fatwa, penulisan atau artikel yang telah ditulis atau dibahaskan oleh ahlinya, kemudian saya akan menyampaikannya sepertimana yang telah tertulis atau saya memperkenalkan kepada mereka yang lebih patut mereka untuk ikuti dan lebih berhak ditanyakan berbanding saya. Jika tidak ada, barulah saya berusaha sedaya yang saya ada dan saya berharap saya di jalan yang selamat dari penyelewengan, kesalahan dan ketempangan.

Saya bukanlah sesiapa yang layak untuk diangkat seumpama tokoh ilmuwan berwibawa mahupun orang soleh yang dijadikan teladan yang terbaik dalam hidup. Saya hamba yang kerdil cumalah menyampaikan ilmu yang sedikit demi menzahirkan kesyukuran kepada-Nya dengan menunaikan haknya sepertimana yang sepatutnya serta beramal dengan apa yang telah diperintahkan dan yang sesuai dengan syarak. Usah mengharap yang banyak daripada saya. Cuma, jika ia bermanfaat, ambillah dan sebatikanlah diri untuk aplikasi dalam kehidupan.

Kalaupun tiada seorang pun yang ingin menyambut, merespons dan mengambil manfaat daripada penulisan saya atau menerima saya dalam bulatan rakan seseorang atau saya kelihatan seperti melalak seorang diri, saya tetap menulis, mengongsikan pandangan dan bersuara demi berkhidmat kepada agama dan medan ilmiah, seterusnya pengabdian kepada Allah yang satu-satunya dengan semampu saya. Saya tidak peduli kalau tiada siapa yang membacanya sekalipun ia telah dipaparkan di medium yang boleh dibaca di khayalak umum.

Sememangnya benar kalau kita hendak menunggu orang mempelawa kita atau menyediakan tempat untuk kita, maka sampai bila-bila pun kita tidak akan memulakan khidmat kita kepada penyampaian ilmu, apatah lagi untuk membina seorang individu yang telah disasarkan sebagai hamba Allah yang berkualiti.

Cukuplah kebanggaan buat saya secara peribadi untuk melahirkan seorang yang berkualiti dan jika tidak ada seorang pun, saya sudah cukup puas dengan apa yang telah saya usahakan dan tinggalkan.

Sama ada orang ingin mengambil manfaat atau tidak atau memusuhi saya, saya tetap terus berjalan. Bagi yang mengambil manfaat, saya berharap ia adalah kebaikan untuk di dunia dan di akhirat. Bagi yang tidak, mungkin itu adalah kekurangan daripada pihak saya sendiri dan saya memohon keampunan kepada Allah atas kekurangan, kesilapan, keaiban dan ketempangan saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/674453206744563712/celoteh-peribadi-132-terus-menyampaikan-walaupun

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now