Celoteh 88

5 0 0
                                    

Kejahilan Kita Menjadi Hijab Untuk Memahami Sesuatu Kepentingan Dalam Sesuatu Polemik

Saya dahulu dan beberapa orang lain secara global berkongsi perasaan sama kepada para pengkaji angkasa. Mengapa perlu hantar satelit dan menghabiskan berbillion-billion dollar untuk mengkaji angkasa, sedangkan di bumi ini masih perlu banyak perlu dilaburkan demi kepentingan manusia sejagat dalam pelbagai aspek. Sepatutnya kita selesaikan atau berikan perhatian lebih banyak kepada apa yang di bumi ini? Inilah persoalan dan pertikaian yang saya selalu utarakan dahulu.

Sekarang ini, apabila saya mengikuti perkembangan saudara Noor Deros dalam menggiatkan gerak kerjanya dalam menentang fahaman batiniah serta bedah siasat terhadap akidah Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy, saya melihat ada suatu komen yang menyindir atau menempelak yang para agamawan saling bercakaran dan berkelahi dalam merespons fenomena ini.

Dari hal ini, saya tersedar bahawa kadangkala kejahilan kita dalam lapangan atau bidang tersebut akan menghijabkan mata kita untuk menghargai kepentingannya. Kejahilan kita dalam astronomi, astrofizik atau bidang yang berkaitan dengan kajian angkasa menyebabkan kita tidak cakna terhadap kepentingan untuk pelaburan berbillion dollar untuk memperhebatkan kajian.

Kejahilan kita tentang Ibn *Arobiyy dan al-Jīliyy secara khususnya serta fahaman batiniah menyebabkan mata kita terselindung untuk mengamati kepentingannya dalam membangkitkan isu ini dan aktif dalam mewacanakan hal ini. Kita tidak mengerti mengapa saudara Noor Deros dan temannya yang lain sangat tegas dan lantang dalam menyuarakan isu ini.

Samalah juga isu manhaj mutaqaddimin dan manhaj mutaakhirin yang menjadi polemik dalam para pengkaji hadis dan ilmuwannya. Kita yang tidak mengerti tentang ilmu *ilal al-Ḥadīṯ barangkali tidak mengerti mengapa wujudnya gerakan manhaj mutaqaddimin dan mengapa para penggerak ini agak berang terhadap manhaj mutaakhirin.

Sebab itulah wajarnya kita yang jahil untuk tidak campur dalam isu yang kita tidak mengerti tentangnya meskipun hanya untuk memberi nasihat. Kadangkala, nasihat kita tidak mencapai targetnya dan tidak bersesuaian dengan realitinya disebabkan kita gagal atau terhijab dari memahami teras kepentingannya. Cukuplah sekadar jadi pemerhati dan diamkan diri dari bicara yang kita tidak mengerti tentangnya.

Kadangkala, pertelagahan ini agak perlu dan pergeseran tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi jika adanya maslahat yang besar. Sebab itu, kita tidak boleh sesuka hati menuduh seseorang sengaja mencetuskan semarak perbalahan tanpa memahami kepentingan hal itu diperjuangkan dan memiliki capaian ilmu dalam lapangan tersebut.

Saya tidak rasa mereka yang terbabit dalam pertelingkahan ini tidak cakna isu-isu semasa yang lain yang wajar diberi perhatian dan perlunya berganding bahu dalam mendepaninya. Cuma, mereka memperbesarkan isu itu mungkin kerana itu adalah bidang mereka dan skop perjuangan mereka.

Setiap individu tidak sama lapangan kemahiran dan bahagian dalam perjuangan hidup untuk individu dan juga masyarakat secara amnya. Masing-masing melengkapi antara satu sama lain dengan pembahagian peranan ini supaya gerak kerja dalam sesuatu bahagian dapat dilaksanakan secara efisyen.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/657749444450713600/celoteh-peribadi-88-kejahilan-kita-menjadi-hijab

com/post/657749444450713600/celoteh-peribadi-88-kejahilan-kita-menjadi-hijab

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now