Celoteh 31

13 0 0
                                    

Saya Tidak Akan Layan Debat Atau Diskusi Isu Isbat Sifat Allah Sama Ada Dari Salafi Atau Ašᶜarian Yang Tidak Membaca Karya «An-Naqḍ *Alā Al-Marīsiyy»

Dalam isu yang berkaitan dengan naṣ sifat Allah, saya tidak akan layan mana-mana debat atau diskusi tidak kira sama ada dari ašᶜarian atau salafi bagi mereka yang tidak menelaah dan tidak mampu menghadam kitab «an-Naqḍ *Alā al-Marīisiyy» karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy.

Demi pedang yang mencantas para musuhnya! Pada hemat saya, inilah kitab yang akan menjadi hakim yang terbaik dalam menghakimi pergelutan dlaam merebut citra manhaj salaf yang sebenar. Dipersilakan baca dan anda lihat mengapa saya begitu fanatik dengan kitab ini.

Sesungguhnya ad-Dārimiyy hidup di zaman keagungan salaf yang menimba ilmu dari mahaguru dari ahli hadis seperti Yaḥyā bin Ma*īn dan Aḥmad bin Ḥanbal. Benar-benar dia mempertahankan manhaj salaf dengan bahasa yang mudah, tetapi tajam dan penuh bijaksana. Dia terlangkau dari perebutan salafi dan ašᶜarian dalam menentukan di mana dia berada.

Sebab itulah saya menjadikan rujukan salaf sebagai hakim dan memilih yang terbaik supaya ia mampu meleraikan sengketa dan menuai kebenaran daripada perselisihan tersebut serta menegakkan keadilan dalam penghayatan manhaj salaf yang murni lagi sejati.

Dari pihak ašᶜarian, mereka acapkali mencanangkan kata-kata: "Zahir makna bukan yang dimaksudkan" bagi lafaz yang ada dalam al-Quran dan hadis yang zahirnya menisbahkan ciri-ciri tasybih kepada Allah serta berpegang kepada tafwid makna. Bagi mereka, menetapkan kaifiat adalah bukan dari manhaj salaf.

Tidak boleh memahami dari makna zahirnya menurut mereka. Mereka yang membaca akan lihat bagaimana ad-Dārimiyy akan membantai secukup-cukupnya pemahaman ini, mencantas habis-habisan dan menumpaskan delusi bohong ini dengan libasan yang menyeluruh lagi padu yang melumpuhkan lidah mereka dari berbicara yang nista sebegitu.

Malah, mereka mendakwa bahawa manhaj mereka harmoni dengan pendapat salaf, tetapi dalam masa yang sama menuduh buruk terhadap kenyataan "Allah di langit di atas Arasy-Nya", "Dia turun ke langit dunia sepertimana yang Dia kehendaki" dan seumpama dengan ini. Sememangnya jelas bahawa mereka sangat jauh dalam menelaah dan menelusuri kalam-kalam salaf dalam hal ehwal isbat.

Kalaulah mereka membaca karya ini, pastinya mereka akan tertunduk malu dan melihat betapa banyaknya kelompongan pada akalnya yang bersalut bisa kebodohan. Mereka akan terpaku, tergamam dan terkelu melihat persembahannya yang memukau pembaca, tetapi melemahkan seterunya dari cuba menyainginya.

Bahkan, pelampau mereka yang barangkali atau pastinya jahmian berbaju ašᶜarian tergamak menuduh ad-Dārimiyy sebagai mujassim atau melakukan tasybih yang tidak pernah terjadi sepanjang 1000 tahun. Tokoh besar dari ašᶜarian pada waktu itu sama sekali tidak celupar mulut sedemikian.

Jelaslah bahawa betapa hebatnya karya ini dalam membeberkan tembelang sebahagian jahmian yang menyelinap dalam ašᶜarian. Kitab ini berjaya membongkar penyangak yang berselindung dalam ašᶜarian dan merobek pegangan mereka yang kononnya tulen dengan manhaj salaf dengan pedang yang menyampaikan kesakitan dan kelukaannya sehingga tampak amukan mereka.

Dari pihak salafi pula, mereka juga memandang jelek mereka yang memperincikan penafian Allah dari unsur makhluk yang berupa jisim, aradh, ruang dan tempat. Seakan-akan ia adalah pengaruh daripada ilmu kalam. Sedangkan imam ikon ini juga jelas menafikan ciri jisim dan anggota bagi Allah dalam karya ini! Bahkan, mengkafirkan mereka yang berkata adanya anggota pada Allah!

Apakah ini bukan kebenaran yang patut disambut baik? Lihatlah bagaimana cemerlangnya dia dalam menafikan tasybih dan menepis tuduhan itu dari jahmian yang celaka.

Dengan Abū Naṣr as-Sijziyy, al-Ismā*īliyy, Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy atau selepas ad-Dārimiyy yang tiada kena mengena dengan ašᶜarian, khususnya dari kalangan ḥanbalian apabila menafikan Allah dari sebarang jisim, anggota, tempat dan mengambil ruang, mereka menempelak: "Hey! Ini bukan manhaj salaf! Manhaj salaf adalah mendiamkan diri daripadanya!".

Mereka mengotorkan kitabnya atas nama tahqiq dengan komentar sebegini atau mengutip kalam ini dengan menempatkannya di ulasan yang merendahkannya! Namun, mana suara mereka terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy apabila menegaskan yang sama?

Lalu, apa? Apabila ašᶜarian berbicara sama dengan as-Sijziyy, al-Ismā*īliyy, Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy dan senada dengan ḥanbalian yang lain, mereka menyahkreditkan pendapat mereka hanya kerana menegaskan Allah itu ternafi daripada jisim! Semudah itu mereka melakukan penolakan dan hanya berasaskan sandaran sedemikian untuk membuangnya!

Seolah-olah pendapat dan penilaian mereka adalah sama hina dengan sampah yang dibuang! Seolah-olah mereka ini tidak tahqiq dan tidak membuat pemerhatian dari guru-guru mereka dan tokoh kebesaran semasa mereka dalam prinsip akidah yang diwarisi dan diperjuang zaman-berzaman!

Mereka kadangkala bersikap rigid sehingga menganggap pintu takwil tertutup rapi dan tidak ada ruang baginya. Mana-mana yang melakukan takwil dianggap sama dengan penegasian terhadap sifat Allah! Duhai! Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang terkenal dalam penentangan takwilnya sehingga dianggap ultra ahli isbat tetap menyatakan adanya takwil melalui petunjuk yang mengemudinya di kitab ini!

Lihat kemampuan bahasanya dan pengamatannya dalam menentukan sesuatu naṣ itu boleh ditakwil atau tidak. Naṣ apa dan macam mana? Apa pertimbangannya? Makna apa yang boleh dipalingkan daripadanya? Bacalah ia! Semoga ia melapangkan mindamu yang sempit!

Sebab itulah saya sangat menyarankan, malah kalau tidak keterlaluan, saya mewajibkan mereka untuk menghadam kitab ini bagi sesiapa yang mendakwa bahawa dia berjalan di atas manhaj salaf. Keagungan kitab ini akan menyajikan kemurniaan, kesejatian, keterujian dan kemapanan interaksi salaf dalam isu interaksi dengan naṣ yang berkaitan dengan sifat Allah.

Mana-mana yang tidak membaca karya ini, maka terdedahlah dia kepada status yang diragukan dan penyimpangan tersembunyi dalam manhajnya!

Bagi yang ingin memahami bagaimana manhaj salaf dalam isu ini, saya telah bentangkan secara terperinci dalam penulisan saya yang berjudul «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Tentang Sifat Allah».

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/631350724706664448/celoteh-peribadi-31-saya-tidak-akan-layan-debat

com/post/631350724706664448/celoteh-peribadi-31-saya-tidak-akan-layan-debat

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now