Celoteh 149 : Ikutan Agama Antara Saya Dengan Suatu Pengikut Syeikh Tarekat

10 0 0
                                    

Lucu sebahagian gelagat pengikut sebuah tarekat apabila ingin mempertahankan tindakan syeikhnya yang bersalaman dengan wanita bukan mahramnya dan membenarkan wanita itu mencium tangannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Lucu sebahagian gelagat pengikut sebuah tarekat apabila ingin mempertahankan tindakan syeikhnya yang bersalaman dengan wanita bukan mahramnya dan membenarkan wanita itu mencium tangannya. Terhegeh-hegeh membawakan pandangan ulama sama ada yang klasik atau yang kontemporari yang mana yang terkenal yang memberi pandangan ini adalah Yūsuf al-Qoroḍōwiyy untuk membuktikan bahawa sebahagian mereka membenarkannya dan ini termasuk dalam perselisihan yang muktabar.

Masa inilah mereka mula menyelongkar pandangan yang dianggap syaz atau paling berlapik adalah ia pandangan yang menyalahi majoriti ulama semata-mata untuk tidak mahu syeikh dipersalahkan. Walaupun keharusan itu adalah untuk suatu keperluan, tetapi hakikat pengamalannya mungkin sahaja tidak sebegitu. Boleh jadi sememangnya syeikh tersebut bersalaman dan berciuman bukan untuk suatu keperluan.

Ambillah pandangan saya dan kehujahan saya dalam berpendapat keharusan bersalaman dengan wanita sepertimana yang saya telah bahas dalam penulisan saya yang berjudul «Hukum Bersentuhan Kulit Dengan Bukan Mahram Baginya» jika diyakini itulah kebenarannya tanpa taklid.

Segala puji bagi Allah. Dengan izin-Nya dan kurnia-Nya, penghujahan saya lebih teratur dan lebih meyakinkan tanpa gentar untuk menyalahi sekalian ulama dalam permasalahan ini dan bersama dengan Yūsuf al-Qoroḍōwiyy dalam hal ini.

Saya pada mulanya memang mengambil bulat-bulat penjelasannya dengan sedikit modifikasi dalam mengambil pandangan ini. Akan tetapi, saya melihat dia begitu berlapik dalam penjelasannya kerana tidak mahu kelihatan menyalahi sekalian ulama secara jelas atau mengeluarkan pandangan yang kelihatan aneh ini secara tajam dan saya ada beberapa perkara yang tidak berpuas hati. Atas sebab itulah saya menghasilkan judul penulisan tersebut.

Cuma, saya selalu sahaja dicemuh bermacam-macam kerana saya mengambil pendirian yang menyalahi keseluruhan umat atau menyalahi majoriti besar sehingga memilih selainnya dikira syaz dan ganjil, khususnya dalam isu seksual.

Sekarang, sebahagian sufi, khususnya yang membela tarekat tersebut dan syeikhnya secara spesifik bergegas untuk mengambil pandangan yang ganjil yang mereka sendiri dahulu mencela saya dalam isu ini. Akhirnya, terserlah jua sikap hipokrit mereka atau mereka sendiri menjilat ludah mereka sendiri.

Saya dari dahulu konsisten dan tidak terhegeh-hegeh untuk mencari pandangan yang lain walaupun syaz demi membela seseorang atau sesuatu kelompok. Prinsip saya dalam isu seksual sudah jelas dan itulah yang saya pegang yang saya akan bawa ke hari akhirat meskipun saya perlu mengkritik tokoh ilmuwan yang besar dan menyalahi sekalian mereka.

Mereka yang selama ini tidak henti-henti mencemuh saya kerana memilih pandangan yang ganjil akhirnya menghadap apa yang mereka menistakan saya dahulu. Lihat bagaimana gelagat mereka sekarang ini dalam menghadapi cemuhan orang terhadap tarekatnya dan syeikhnya. Jangan selepas ini tiba-tiba ada yang ingin mengambil penghujahan saya demi menjustifikasikan apa yang syeikhnya lakukan.

Benar bahawa saya tidak mempersalahkan syeikh mereka kerana wanita bukan mahramnya bersalaman dengannya dan mencium tangannya tanpa pengingkaran dan mungkin sahaja bukan keperluan yang mendesak untuk melakukannya kerana pada saya, itu bukanlah salah di sisi saya. Akan tetapi, manhaj saya dengan mereka adalah jauh berbeza.

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now