Celoteh 48 : Pembuktian Nilai Diri Saya Dalam Sumbangan Ilmiah

3 0 0
                                    

Saya sudah biasa menjadi mangsa serangan ₍Ad Hominem₎. Ia sudah sememangnya menjadi makanan ruji apabila saya menyertai atau diheret dalam diskusi, malah debat. Cara mudah untuk mendiamkan saya supaya saya tidak terus bercakap lagi atau menjatuhkan kredibiliti saya atau menyahkreditkan nilai hujah saya adalah dengan membangkitkan erotisisme yang ada pada saya.

Itu sahajalah modal yang sang menyedihkan ini dapat mereka persembahkan kepada orang ramai untuk mengaut kemenangan di mata orang ramai dan mengangkat diri sebagai wira di mata masyarakat. Atau itu sahajalah cara untuk mereka tidak mahu mengakui hujah di sisi pihak lain atau menutup keingkaran mereka terhadap hujah yang ditegakkan ke atas mereka atau alasan supaya mereka ada justifikasi yang kebenaran seolah-olah masih belum jelas.

Saya tidak menafikan bahagian erotisisme. Namun, untuk mengatakan saya seolah-olah tidak ada apa-apa yang dapat membuktikan nilai ilmu saya adalah sesuatu yang perlu saya tepis. Dengan segala puji bagi Allah, penulisan saya yang telah saya siapkan dengan izin-Nya menjadi bukti dan saksi kepada orang ramai sama ada benar atau tidak kesungguhan saya dalam menabur bakti untuk ilmu dan kebenaran. Silakan para pembaca untuk meneliti penghujahan saya dan bagaimana saya menegakkan hujah saya dalam membuktikan kebenaran pandangan saya dengan objektif dan adil.

Dan dengan segala puji bagi Allah, saya menghasilkan penulisan yang belum pernah dihasilkan secara tuntas di Malaysia dengan bantuan-Nya dan kekuatan-Nya. Antaranya adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ». Ini adalah penulisan yang pendedahan kaedah-kaedah asas dalam memahami ilmu *ilal al-Ḥadīṯ dengan melihat secara praktikal secara mendalam.

Antaranya adalah «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah». Ini adalah penulisan yang membahaskan secara tuntas dalam mempertahankan pandangan ulama ḥanbalian dalam mengisbatkan huruf dan suara bagi kalam Allah. Antaranya adalah «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy». Ini adalah penulisan yang komprehensif yang mempertahankan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dari dituduh secara keterlaluan oleh golongan ekstrimis.

Demi Allah saya bersumpah! Ketiga-tiga judul penulisan ini adalah penulisan berbahasa Melayu yang pertama di Malaysia secara khusus. Buktikan pada saya yang sebelum 2021, sudah ada karya yang khas sebegini di Malaysia. Jika tiada, saya berharap penulisan saya yang berjudul «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah» dan «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy» adalah yang pertama di nusantara. Kemudian, saya mengharapkan judul «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy» adalah yang pertama di dunia.

Apapun, saya bukannya ingin membesar-besarkan diri atau mengangkat diri sebagai ahli ilmu yang setara dengan mereka yang lain yang dijulang tinggi. Apa yang dikurniakan pada saya adalah milik Allah Tabāroka Wa Ta*ālā semata-mata. Saya hanya cuma membuktikan harga diri saya yang diperlekeh dan tidak dihargai.

Saya tidak ada masalah jika ada orang memandang remeh terhadap apa yang ada diri saya, lebih-lebih lagi kerana tidak mengenali saya. Namun, apabila tiba masanya, saya perlu mempertahankan diri saya dari terus dicela dan dicemuh seolah-olah saya tidak ada sesuatu yang dapat dibanggakan dalam sumbangan kepada ilmu dan seolah-olah saya hanya mengambil sambil lewa untuk menjustifikasikan pendirian saya.

Mungkin saya dicemuh kerana erotisisme. Saya faham tentang itu dan saya tidak ada masalah jika seseorang tidak mahu menerimanya. Saya ada pendirian saya tentang hal itu dan mereka ada sudut pandang mereka. Namun, saya juga akan cuba sedaya upya yang ikhlas kerana Allah untuk menyumbangkan ilmu.

Saya berharap ketiga-tiga judul penulisan itu sudah cukup membantu dalam memenuhi apa yang masyarakat begitu memerlukannya dalam pendedahan bahagian ilmu tersebut. Saya harap saya telah melaksanakan tanggungjawab saya untuk menampal kelompongan yang belum dilakukan oleh ilmuan tempatan kita.

Banyak lagi penulisan saya yang lain yang mungkin sudah diperhebatkan oleh tokoh-tokoh di luar dan saya sekadar membantu untuk mengembangkan dan membela mereka apabila saat diperlukan. Saya mungkin dilihat seperti biasa atau mungkin teruk di mata mereka yang mengenali sudut erotisisme saya, tetapi saya akan buat yang terbaik untuk sumbangan ilmiah walaupun saya tidak begitu diambil berat kerana khidmat saya hanya untuk Allah dan kebaikan diri saya sendiri, seterusnya mereka yang ingin mengambil manfaat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/644495292419522560/celoteh-peribadi-48-pembuktian-nilai-diri-saya

com/post/644495292419522560/celoteh-peribadi-48-pembuktian-nilai-diri-saya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now