Celoteh 67 : Mengapa Saya Selalu Sahaja Menyinggung Aswajaean?

6 0 0
                                    

Kebanyakan tema penulisan saya, selalu sahaja saya menyinggung golongan yang antitalfiq, mereka dari aliran ašᶜarian yang khusus tentang isu interaksi dengan naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah dan sufi batiniah. Boleh dikatakan kesemua mereka yang saya singgung ini adalah mereka daripada golongan aswajaean.

Dan sesiapa sahaja yang menyelisihi dan melawan arus mereka ini, pasti sahaja digelar wahabi walaupun seseorang itu tidak pernah pun mengambil Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, Muḥammad bin *Abdul Wahhāb dan beberapa salafi kontemporari sebagai teras ikutan.

Saya memilih salafi sekarang bukan kerana saya dilahirkan atau dibesarkan dengan suasana salafi sepenuhnya atau ia adalah aliran awal yang terjebak pada awal fasa pendalaman saya dalam ilmu agama. Saya dahulu antara mereka yang kuat mempertahankan aswajaean.

Saya telah melalui ketiga-tiga ciri tersebut dan saya tahu bagaimana bobroknya apabila seseorang bergelumang dengan semua ini. Oleh itu, saya mengkritik mereka ini sebab saya sudah pun bermulazamah berada di dunia mereka dan terpengaruh dengan mereka. Sedikit sebanyak saya tahu hakikat sebenar mereka ini.

Saya menyergah batiniah kerana saya tahu betapa merepeknya dan karutnya ajaran mereka. Saya antara yang pernah menyebarkan fahaman mereka dan mengumpul karya-karya mereka yang berkaitan. Sesiapa sahaja yang masuk ke alam batiniah, dia tidak akan lagi menemukan neraca salah dan benar dalam menilai dakwaan seseorang itu tentang dapat kerohanian dan falsafah padanya.

Semua orang boleh bercakap dan berpendapat apa sahaja. Ambilan ilmu adalah mana yang secocok sahaja. Tiada apa yang boleh menolak pandangan yang kontra memandangkan bekalan ilmu yang dikutip pun tidak diketahui benar dan salahnya.

Saya menyinggung ašᶜarian dalam isu naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah kerana saya tahu mereka ini sememangnya berdelusi dan syok sendiri. Lebih tepat lagi, dahulu saya juga terjebak dengan sisa-sisa fahaman jahmian.

Saya antara yang mengingkari pengisbatan sifat ₍al-*Uluww₎ bagi Allah, iaitu Allah di langit dan menuduh mana-mana penyifatan sifat tangan, wajah dan lain-lain kepada-Nya adalah tasybih dan iktikad sifat anggota bagi-Nya.

Setelah saya membaca karya-karya salaf yang menentang jahmian, barulah saya sedar yang kefahaman saya tidak berpijak di atas realiti. Apabila saya menyatakan hal ini, selalunya mereka yang mencemuh saya ini tidak pernah membaca karya-karya salaf yang telah saya sebutkan di banyak tempat.

Saya menentang antitalfiq atau pentaklid tegar kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya bagi seorang muslim untuk ikuti pemahaman dan pengamalan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Sikap antitalfiq ini tidak hanya mematikan akal dan membantutkan progresif dalam gerakan intelektual, tetapi ia akan melahirkan generasi yang suka bermain falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ apabila dikritik dan diselisih.

Mereka sangka perjuangan untuk kembali kepada sunnah adalah yang dieksploitasi dan disalah guna oleh salafi. Kalaulah mereka tahu bagaimana keluarga al-Ġumāriyy; keluarga keturunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- yang ahli hadis lagi sufi ini, khususnya Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adik-beradiknya seperti *Abdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, *Abdul *Azīz dan *Abdul Ḥayy tidak bermazhab, menentang ketaksuban mazhab dan menyanggah taklid yang tercela, pasti mereka tidak akan menghamburkan kata-kata nista terhadap salafi pada isu ini.

Maknanya, bukan salafi sahaja yang menggiatkan seruan kepada ini, tetapi juga dari tokoh sufi dari keluarga al-Ġumāriyy dan mereka yang menwarisi khazanah ilmiahnya. Semoga Allah merahmati mereka atas usaha dan ketekunan mereka untuk membangunkan masyarakat dengan manhaj yang sahih.

Saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana saya boleh merasa lapang tanpa ada prasangka yang buruk sepertimana golongan antitalfiq dan mengambil ikutan daripada kata-kata *Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy tentang mazhab furuk fiqhnya :

Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now