Celoteh 65 : Keselamatan Saya Daripada Mendiskriminasikan Penghujahan Orang Lain

4 0 0
                                    

*Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» mengungkapkan kesyukuran kepada Allah yang dia memiliki keteguhan dalam tawakkal sepenuhnya kepada Allah dalam urusan rezeki, selamat daripada hasad dan dendam, selamat daripada rasa megah dan congkak terhadap mana-mana makhluk, selamat daripada waswas dan pelbagai lagi perolehan.

Saya juga ingin berkongsi sesuatu daripada perasaan yang ditetapkan dalam jiwa dengan izin Allah sebagai kesyukuran kepada Yang Maha Penganugerah dengan menyebutkan nikmat pemberian-Nya. Saya berharap agar penyebutan ini dapat menambahkan lagi nikmat yang Dia limpahkan kepada saya dan dikurniakan istiqamah untuk kebaikan yang telah Dia tunjukkan kepada saya.

Saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah yang saya tidak akan mendiskriminasi mana-mana pandangan yang didasari pembentangan ilmiah dan hujah yang membina tanpa mengira aliran sama ada salafi ataupun ašᶜarian.

Saya terjauh daripada sikap sebahagian orang yang suka menyangka buruk terhadap kemampuan saudara muslim yang lain serta saya sama sekali tidak merendahkan keupayaannya dan memperlekeh kedudukan yang berhak dia rangkul padanya meskipun dia seorang ynag fasik, kontroversi dan memiliki masalah.

Jika perokok yang saya benci pun akan saya mendengar nasihatnya jika ia adalah yang menuju kepada kebaikan. Malah, jika penzina datang kepada saya untuk membetulkan kesalahan tajwid kepada saya, tetap saya akan mengambil kira pandangannya jika ia didasari dengan hujah dan kebenaran.

Ada empat faktor yang menyebabkan saya mampu teguh dan konsisten dengan sikap ini dengan izin Allah. Pertama, saya amat takut tergolong dalam apa yang Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

وَلَكِنَّ الْكِبْرَ : مَنْ بَطِرَ الْحَقَّ وَغَمَطَ النَّاسَ " .

"Tetapi kesombongan adalah mereka yang menolak kebenaran dan meremehkan manusia". [Sunan Abū Dāwud﹇Kitāb al-Libās﹇no. 3571].

Saya tidak tergamak untuk menolak mana-mana penghujahan yang berteraskan pembentangan ilmiah dan melekehkan nilai kebenaran dengan mengejek seseorang itu tidak ada sanad pengajian, pengambilan sumber daripada penulisan di internet, fulan dari aliran tertentu dan bermacam-macam lagi. Saya takut kalau saya menolak kebenaran yang disampaikan oleh seseorang dan saya menghina orang tersebut, maka saya akan tergolong yang dijanjikan neraka padanya disebabkan sikap ini.

Kedua, saya mempelajari riwayat hidup Yaḥyā bin Akṯam. Dia merupakan seorang fuqaha yang diperakui kedudukannya oleh para ulama. Akan tetapi, dia terkenal dengan homoseksual. Apa yang saya dapat pelajari daripada apa yang Allah jadikan peristiwa bersejarah ini adalah supaya kita bijak dalam menentukan nilai penghujahan seseorang.

Kalaulah dia masih hidup atau ada orang sepertinya menegakkan hujah kebenaran, ada orang mungkin akan bertanya sama ada patut atau tidak kita mengambil pandangannya? Saya katakan, jika ia adalah benar, maka ambillah ia.

Adakah pandangan yang diutarakan itu tidak ada nilai? Sudah tentu ada nilai berdasarkan kemampuan ilmu yang dia ada, lebih-lebih lagi jika ia adalah berasaskan hujah dan diperakui kedudukan ilmunya. Adapun orientasi homoseksualnya, itu bukan isu utama dalam menentukan benar atau salah pandangannya.

Inilah kadangkala seseorang itu gagal dalam menapis, menyaring dan menganalisis hujah seseorang. Isu-isu peribadi dan yang tidak ada kaitan dimasukkan sekali seolah-olah ia adalah asas pendirian hujah. Kewujudan tokoh ini sememangnya mampu merombak tanggapan orang dalam menilai hujah untuk membezakan asas hujah dan isu peribadi.

Ketiga, jika wali Allah itu ada di mana sahaja dan ia mungkin terselindung daripada pandangan zahir kita, maka orang faqih pun ada di mana sahaja. Inilah yang saya percaya dalam jiwa saya. Dengan kepercayaan sebegini, saya sama sekali tidak mudah memperlekehkan seseorang yang hanya tampak biasa, bahkan tampak mencurigakan pada zahirnya.

Kadangkala, wali Allah terbukti hikmahnya dan pembukaan daripada Allah kepadanya dengan mematahkan kecurigaan kita dan pandangan kita yang tampak biasa sahaja. Seperti itu jugalah sang faqih yang berpenampilan seperti orang biasa.

Keempat, saya adalah erotikawan dan menampilkan erotisisme khususnya di laman maya sepertimana yang telah maklum bagi orang yang mengenali saya. Peribadi ini memberi kesan kepada saya agar saya tidak hanya mengambil zahir sebagai penentu sama ada bernilai hujah seseorang itu atau tidak.

Misalnya, jika seseorang itu tidak berpakaian datang kepada saya untuk menegakkan hujah kebenaran, maka apa guna lagi saya membangkitkan isu pemakaian atau penampilan jika saya sendiri melakukan yang sama? Ia tidak ubah seperti hipokrit.

Malah, orang buta jika ingin mencari kebenaran pun dia tidak akan mempedulikan penampilan. Patutkah kita menjadi lebih teruk dari orang buta dalam pencarian kebenaran?

Pun begitu, bukan dari semua orang saya bulat-bulat mengambilnya atau menganggap memiliki nilai hujah. Sudah tentu adalah lebih utama kita dahulukan orang yang memiliki kewibawaan dalam ilmunya dan memiliki ilmu alat yang secukupnya.

Pandangan orang yang menguasai bahasa Arab adalah lebih utama daripada mereka yang tidak menguasainya. Pandangan ahli hadis dalam penilaian hadis lebih diutamakan daripada pandangan fuqaha. Begitulah seterusnya.

Saya sendiri pun tidak mengambil pandangan agama daripada liberal kerana mereka ini terbukti selalu sahaja membawa manhaj yang rancu dan bercelaru dalam metodologi penafsiran dan penggalian hukum.

Kebanyakan yang saya menemukan ini sememangnya jauh daripada rujukan yang menjadi teras utama dalam pandangan Islam serta bergantung kepada penafsiran dan pemahaman yang asing daripada Islam. Atas sebab itulah, pandangan mereka dalam agam selalu sahaja penuh dengan keserabutan dan kecelaruan serta tidak konsisten.

Apapun, saya berdoa agar Allah terus tetapkan dalam jiwa saya dan kita semua secara umumnya untuk terus tidak mendiskriminasi mana-mana penghujahan yang datang kepada kita, tidak merendah-rendahkan mereka yang hakikatnya berkeupayaan dan memandang lekeh nilai pembentangannya hanya dengan mengaitkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan penghujahannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/651576502261071872/celoteh-peribadi-65-keselamatan-saya-daripada

com/post/651576502261071872/celoteh-peribadi-65-keselamatan-saya-daripada

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now