Celoteh 153 : Sumber Kritikan Saya Terhadap Ibn *Arobiyy

6 0 0
                                    

Kebanyakan kritikan yang saya tujukan kepada Ibn *Arobiyy secara khusus adalah berasaskan apa yang para ulama yang diangkat dan diterima oleh para sufi membangkitkan isu kontroversi tentangnya dan mencurahkan sengatan tajam terhadapnya, ia bukan dari dapatan pengamatan dan kajian yang saya sendiri mengeluarkannya melainkan sekadar menguatkan apa yang disebut mereka.

Antaranya adalah seperti apa yang *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menghunuskan kritikannya terhadapnya meskipun dia memanggilnya sebagai aš-Šayẖ al-Akbar seperti isu kematian Firaun dalam keadaan beriman dalam «Bida* at-Tafāsīr», isu bumi hakikat dalam «Rof* al-Iškāl *An Mas^alah al-Muḥāl» dan penolakan keabsahan kisah Sahl at-Tustariyy yang mengetahui kondisi anak muridnya sejak zaman arwah dalam «Awliyā^ Wa Karomāt».

Antaranya adalah penyebutan Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf; tokoh ilmu kalam berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang mengutip pandangan Ibn *Arobiyy dalam menguatkan kritikannya terhadap ašᶜarian, sekaligus ia menimbulkan kaget mereka yang selama ini menyangka bahawa Ibn *Arobiyy termasuk dari ašᶜarian. [Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=2339409046096452&id=352929991411044].

Antaranya adalah kritikan *Abdul Fattāḥ Abū Ġudah terhadap Ibn *Arobiyy dalam penerimaan dan penolakan hadis berdasarkan kasyaf dalam komentarnya di «al-Maṣnū* Fī Ma*rifah al-Ḥadīṯ al-Mawḍū*» selepas membawa kenyataan al-*Ajlūniyy dalam «Kašf al-H̱ofā^ Wa Muzīl al-Iltibās *Ammā Ištaharo Min al-Aḥādīṯ *Alā Alsinah an-Nās» yang mengutip pandangan Ibn *Arobiyy dalam «al-Futūḥāt al-Makkiyyah» tentang hal itu.

Antaranya adalah sepertimana yang dibangkitkan oleh *Alā^uddīn Muḥammad al-Buẖōriyy dalam «Fāḍiḥah al-Mulḥidīn Wa Nāṣiḥah al-Muwaḥḥidīn» seperti isu kesatuan yang mutlak dan yang berkaitan dengan fahaman Waḥdah al-Wujūd, isu penerimaan kitab «al-Fuṣūṣ» melalui mimpi, isu penyembahan kaum Mūsā -*alayhissalām- terhadap pengambilan patung anak sapi sebagai tuhan adalah betul, tetapi tersalah dalam pengibadahannya kerana hanya mengkhususkan satu objek, bukan keseluruhannya dan pengubahan makna ₍al-*Aḏāb₎ (الْعَذَاب) kepada ₍al-*Uḏūbah₎ (الْعُذُوبَة) serta lain-lain.

Malah, sebahagian apa yang disebutkan *Alā^uddīn al-Buẖōriyy ini juga sesuatu yang disebutkan ulama lain ketika membicarakan kontroversi Ibn *Arobiyy dan ulama tersebut adalah yang golongan para pembela Ibn *Arobiyy menyanjungi dan bukan calang-calang orang serta yang meletakkan mereka dalam barisan ulama yang mereka terima.

Antara sebab utama saya melakukan sebegini adalah sekiranya saya mendedahkan apa yang saya menemukannya sendiri sepertimana yang saya lakukan terhadap Ibn Taymiyyah atau selain mereka dan ia pula tidak ditimbulkan oleh mana-mana para ulama yang dalam lingkungan penerimaan mereka, apa yang saya bentangkan sama ada ditolak mentah-mentah atau mereka memberikan alasan yang biasa seperti ia ditulis dalam keadaan mabuk rohani atau ia adalah sisipan palsu.

Maka, ia tidak ada manfaat langsung jika sebegini yang saya lakukan. Atas sebab itulah saya hanya menterhadkan perbincangan apa yang telah dibahaskan ulama yang diterima mereka dan membantu mereka untuk mengukuhkan lagi nilai yang mereka menyebutkan tentangnya jika diperlukan.

Sejujurnya, saya pada awalnya tidak mahu bertekak tentang Ibn *Arobiyy kerana saya tetap di atas prinsip bahawa tiada yang maksum selain Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Akan tetapi, apabila saya melihat kondisi yang kritikal pada mereka apabila berhadapan dengan isu Ibn *Arobiyy, akhirnya mahu atau tidak mahu, saya perlu ambil tahu serba sedikit dan menjadikan isu ini dalam mengetengahkan wacana yang sesuai untuk lapangan kesufian.

Yang mengecewakan adalah apabila saya mengutip pandangan daripada ulama, saya pula yang menjadi sasaran celaan dan melupakan nama ulama yang saya kutip daripadanya. Mereka mengumbar dendam terhadap saya tanpa mereka sedar bahawa mereka sebenarnya telah melontarkan kenistaan mereka terhadap para ulama yang diangkat mereka.

Malah, saya pula dituduh sebagai orang yang memusuhi wali Allah. Lantas, apakah yang mereka ingin mengatakan terhadap para ulama yang mengindikasikan kekafiran terhadapnya seperti Burhānuddīn al-Baqō*iyy, Nūruddīn al-Bakriyy aš-Šāfi*iyy, Tayiuddīn as-Subkiyy, Zaynuddīn al-*Irōqiyy, Abū Zur*ah al-*Irōqiyy, al-Mizziyy, Sirōjuddīn al-Bulqīniyy, Badruddīn Ibn Jamā*ah, Ibn H̱oldūn, Najmuddīn al-Bālisiyy, Abū Ḥayyān al-Andalusiyy dan Šamsuddīn Muḥammad bin Yūsuf al-Jazariyy aš-Šāfi*iyy?

Apakah mereka bukan wali Allah untuk para pembela ini membakulsampahkan dan enggan mengendahkan apa yang mereka telah fatwakan dan bentangkan penghujahan mereka? Siapakah yang memusuhi wali Allah sekarang ini? Para pembela ini tidak takutkah sikap penafian dan penghamburan celaan itu sedang menuju kepada para wali Allah secara tidak langsung?

Yang melucukan lagi adalah mereka mengatakan bahawa saya yang tidak memahami kalam Ibn *Arobiyy dalam permasalahan yang dipertikaikan, namun mereka melupakan nukilan ulama yang saya kutip untuk kritikannya dalam permasalahan itu. Mereka yang mendesak saya untuk mengikut para ulama, tetapi apabila saya menyetujui mereka dalam hal itu, saya dicemuh habis-habisan kerena saya tidak memihak pada mereka.

Mereka ini sebenarnya menyeru agar mengikut rentak mereka atas nama ikutan kepada ulama atau sebenar-benarnya mengikut ulama atas dasar semangat keilmuan yang sejati? Mengapa mereka perlu sasarkan celaan terhadap saya? Mengapa tidak bentangkan kritikan mereka terhadap apa yang telah dikritik para ulama yang saya menukilkannya? Jika mereka jahil, maka sepatutnya mereka senyap. Atau mereka lebih tahu dan lebih pandai daripada para ulama sehingga sanggup untuk menyatakan hujah yang berlawanan dengan ulama?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/682657402240319488/celoteh-peribadi-153-sumber-kritikan-saya

com/post/682657402240319488/celoteh-peribadi-153-sumber-kritikan-saya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now