Celoteh 146 : Perdamaian Antara Salafi Dengan Ašᶜarian

11 0 0
                                    

Baru-baru ini ada wacana tentang pendamaian antara ašᶜarian dengan salafi. Ia adalah rentetan kepada salah seorang figura dari aliran ašᶜarian duduk sepentas dengan salafi dalam membahaskan isu khurafat. Mereka membuat kata sepakat untuk menolak golongan batiniah yang membawa kepada pembodohan dan kerosakan kepada umat Islam di tanah air kita.

Sebenarnya, ini bukanlah usaha baharu walaupun ia adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh sebahagian pihak untuk merealisasikannya demi menentang musuh yang sama yang besar.

Pendamaian ini adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama kerana setiap daripada kita memfokuskan pembinaan keharmonian, pemeliharaan keamanan dan merapatkan perhubungan yang baik antara sesama manusia serta supaya kita dapat menjalani kehidupan tanpa keresahan dan pergolakan.

Untuk konteks antaraašᶜarian dengan salafi, perseteruan antara mereka tidak terpadam dan terpendam, tetapi mereka lebih berhajat untuk meredakan atau mengurangkan sedikit pergeseran antara mereka dan fokus kepada pencantasan akar yang beracun kepada tanaman pemikiran.

Bagi yang mengenali saya, sememangnya saya memiliki perseteruan yang besar dengan ašᶜarian. Sudah banyak penulisan yang saya hasilkan untuk menyinggung dan menyelar golongan ini.

Akan tetapi, dalam masa yang sama, saya akan mengunggulkan mereka apabila mereka berada di atas kebenaran, membela mereka daripada tuduhan yang tidak benar dan mengambil manfaat daripada karya mereka.

Antara usaha yang telah saya lakukan bagi merapatkan jurang antara mereka dengan saya adalah penghasilan judul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia». Boleh dikatakan penulisan ini adalah sebagai terima kasih saya kepada kepada mereka, khususnya di tanah air kita kerana memberikan cetusan dan menuangkan kefahaman saya kepada akidah Islam dengan hujah aqli.

Cuma, apa yang saya buat adalah mengintegrasikannya dengan tradisi ḥanbalian supaya kita melihat bahawa sebahagian isu antara mereka sangat berdekatan. Antaranya adalah saya bersepakat bersama untuk untuk menolak akidah Ibn Taymiyyah yang bermasalah.

Ia bukanlah sesuatu yang baharu atau perkara yang idealistik, khususnya dari kalangan salafi. Saya juga sudah melihat beberapa mereka dari negara Arab yang mendukung aliran ḥanbalian juga berselisih dengan akidah Ibn Taymiyyah, bahkan menolak Muḥammad bin *Abdul Wahhāb, tetapi selalunya golongan ini tidak ramai dan boleh dikatakan kelompok salafi hari ini lebih terpengaruh dengan Ibn Taymiyyah.

Antara yang saya kenal adalah Muḥammad al-Azhariyy al-Ḥanbaliyy, Miš*ān ar-Ruẖoymiyy dan Muḥammad al-Muṭoyriyy atau mereka yang digelar al-Ḥanābilah al-Judud, iaitu neoḥanbalian bagi sebahagian orang. Dengan ini, masih ada lagi golongan ḥanbalian yang terbebas daripada pengaruh Ibn Taymiyyah.

Malah, jika kita membaca karya mutakallimin ḥanbalian sama ada yang ringkas atau padat seperti Risalah Abū Naṣr as-Sijziyy, «I*tiqōd al-Imām al-Munabbal Aḥmad Ibn Ḥanbal» karya Abū Faḍl at-Tamīmiyy, «al-Īḍōḥ Fī Uṣūl ad-Dīn» karya Ibn az-Zāġūniyy, «Ibṭōl at-Ta^wīlāt Li Aẖbār aṣ-Ṣifāt» karya Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy, «Nihāyah al-Mubtadi^īn Fī Uṣūl ad-Dīn» karya Ibn Ḥamdān al-Ḥanbaliyy dan lain-lain, pasti akan menemukan kesamaan yang signifikan dengan ašᶜarian meskipun ada sebahagian isu yang mereka mengkritik aliran itu.

Akan tetapi, sesiapa yang menelaahnya dan membandingkan apa yang menjadi pegangan Ibn Taymiyyah, khususnya isu kejisiman bagi Allah dan berdirinya baharu pada zat-Nya, pasti akan menemukan perbezaan coraknya dari ḥanbalian.

Malah, antara yang saya memandang tinggi adalah *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Kepekatannya dengan ašᶜarian dan sufi tidak dipersoalkan lagi. Namun, saya banyak mengambil manfaat daripada penulisannya kerana memaparkan daya kritis, kemapanannya dan manhajnya yang mendekati dengan aliran salafi.

Malah, abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy yang terkenal dengan kepekatannya dengan sufi dan lantang menentang wahabi juga menuju kepada akidah yang sama dengan salafi kecuali satu perkara, iaitu kebersamaan Allah di setiap tempat. Bahkan, dia sangat keras kritikannya terhadap aliran itu. Apapun, ini menunjukkan bahawa seseorang boleh sahaja menjadi sufi, tetapi berbeza dengan aliran itu dalam masa yang sama.

Daripada forum Aslein, forum yang mengumpulkan golongan ašᶜarian dan māturīdian di seluruh dunia yang dikelola oleh Sa*īd Fawdah dan lain-lain, saya juga mengambil manfaat daripada penulisan mereka. Begitulah juga dengan beberapa tokoh ašᶜarian yang lain.

Untuk konteks tempatan, walaupun saya banyak mengkritik mereka yang di pihak Sidang Kalam, tetapi dalam masa yang sama, saya juga mengambil manfaat daripada mereka, mengongsikan penulisan mereka, memperkuatkan pandangan mereka, mencadangkan orang ramai untuk menontonnya dan menyebutkannya yang baik tentang mereka.

Begitu juga dengan al-Ḥabīb Ali bin Bagir as-Saqqōf. Saya juga mengambil manfaat daripada kuliahnya dalam pembelajaran kitab yang hebat di Youtube melalui saluran Jinan TV. Begitu juga dengan Wan Ji Wan Hussin. Walaupun beraliran ašᶜarian, tetapi kupasannya dalam isu manhaj sehinggalah kepada uṣūl fiqh, kesufian dan maqasid amat dekat dengan salafi menurut saya.

Bahkan, sesiapa sahaja yang mengaibkan saya, tetapi orang tersebut membawa manhaj yang berkualiti sama ada daripada ašᶜarian atau selainnya, saya tetap akan mencadangkan untuk mengikutinya dan mempelajari daripadanya. Saya cuba tidak mengheretkan isu peribadi untuk sebaran kebaikan kepada umum. Bahkan, saya hadir ke kuliah atau majlis ilmu mereka dengan mengenepikan sebentar konflik bersama dengannya.

Saya sememangnya bersetuju dengan pendamaian dengan meredakan sedikit perseteruan bersama mereka jika ia memfokuskan kepada penentangan kepada musuh yang lebih buruk, iaitu sebahagian mereka yang berakronim aswajaean, lebih-lebih lagi yang terpengaruh dengan batiniah. Pada saya, sesiapa sahaja yang menjunjung dan mengikuti manhaj keluarga al-Ġumāriyy walaupun dia tidak mengenali keluarga ini, maka dia mendapat tempat yang pertama bagi saya untuk berdamai.

Kalaulah saya ingin mengitlakkan dengan apa yang al-Murtaḍō az-Zabīdiyy berkata :

اذا أطلق أهل السنة والجماعة فالمراد بهم الأشاعرة والماتريدية

"Apabila diitlakan kepada ahli sunnah dan al-Jamāah , maka yang dimaksudkan adalah ašᶜarian dan māturīdian". [Itḥāf as-Sādah al-Muttaqīn, jilid 2, m/s 5, keluaran Mu^assasah at-Tārīẖ al-*Arobiyy, Beirut].

Maka saya katakan, tidak ada manhaj yang selamat melainkan mengikuti keluarga al-Ġumāriyy atau salafi. Sesiapa yang berpaling daripada ini, sama ada dia akan terjerumus dalam kerancuan, bidaah dan kerosakan dalam beragama.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676884969775366144/celoteh-peribadi-146-perdamaian-antara-salafi

com/post/676884969775366144/celoteh-peribadi-146-perdamaian-antara-salafi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now