Celoteh 131 : Antara Erotisisme Dan Muzik Genre Metal

11 0 0
                                    

Minat kepada erotisisme sama seperti minat kepada muzik genre metal. Kedua-duanya adalah yang orang tidak suka dan menyampah apabila kita kongsi. Sepertimana sebahagian orang merasa jijik dengan kandungan erotik, seperti itu juga sebahagian orang merasa janggal dengan muzik yang keras.

Sepertimana minat erotisisme juga ada tuduhan buruk terhadapnya, muzik genre metal pun ada tuduhan buruknya sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian majalah dan mereka yang terpengaruh dengannya. Bermacam-macam tuduhan yang dilontarkan dan diduga demi mencipta gambaran buruk terhadapnya.

Jika erotisisme kerapkali digambarkan sebagai miang dan gila seks, golongan metalhead pula digambarkan sebagai peminat lagu pemujaan syaitan, upacara kultus dan pemujaan pagan atau penggemar muzik yang barbarik yang kononnya ghairah dengan keganasan, berseronok kepada tema yang gore dan lain-lain. Sudah tentu kita tidak perlu layan stereotaip atau generalisasi sebegini.

Bukan semua akan hargai seninya, apatah lagi untuk menikmatinya. Sebahagian orang tidak boleh melayani muzik yang rancak, vokal yang kasar dan getaran rif gitar yang berat. Telinga mereka tertekan untuk menerimanya dan jantung mereka seperti pecah mendengarkan muzik seperti itu. Sebegitu juga orang tidak dapat hargai kandungan yang erotik, bertelanjang dan ada perlakuan seks. Mata mereka merasa pedih untuk memandangnya.

Orang mungkin sukar akan faham apa yang menariknya dengan muzik yang kedengaran ganas dan buas dan sebegitu juga sukarnya untuk memahami apa yang menariknya pada erotisisme.

Mereka berkata: "Bukankah ada muzik yang lebih sopan dan kalau rancak pun, lebih teratur dan lebih berseni berbanding muzik ganas ini atau bukankah ada seni gambar atau video atau animasi yang lebih sopan untuk ditatapi dengan rasa ketenangan dan kedamaian?". Padahal, kita pun akan bertanya soalan yang sama pada minat mereka pada citarasa muzik atau seni yang lain.

Sebab itulah menjadi erotikawan ini tidak ubah seperti seseorang menjadi mat metal. Ia adalah minat yang kebanyakan orang tidak menerimanya, bahkan mencemuhnya, tetapi hanya mampu dinikmati oleh beberapa komuniti dan ia adalah budaya untuk orang yang tahu harga seninya.

Sememangnya tidak ada guna menyorongkan justifikasi kepada mereka, lebih-lebih lagi kepada orang yang dari awal memang tidak mahu meraikannya dan sudah tegar dengan kebenciannya. Mereka akan kerap dan tetap mempersoalkannya, mempertikaikannya dan mencemuhnya. Biarkan sahaja mereka.

Cuba terangkan kepada mereka apa keunikan muzik genre metal sama ada sejarahnya, perkembangannya, pecahan genre dan lain-lain. Kemudian, apa? Adakah selepas itu mereka akan menerima komuniti muzik metal atau sekurang-kurangnya bertoleransi dengan komunitinya?

Untuk apa lagi membuang masa untuk menerangkan kepada orang yang tidak mahu menerima dari awal lagi, apatah lagi untuk mengharapkan mereka akan mula mendengar dan minat kepada muzik metal?

Apabila ia berkaitan dengan minat, hobi dan citarasa, kadangkala sebaik mana penjelasan kita dan bagaimana rasional pun penerangan kita, ia tidak terlepas daripada sentimen peribadi. Jika seseorang ditanya apakah sebab dia meminati muzik rap?

Walau apapun penjelasannya yang rasional, akhirnya tetap akan ada bersangkut paut dengan sebab peribadi seperti mengingati kenangan lalu, minat bersama dengan kawan-kawan yang dia bergaul, citarasa yang telah lama dia bersebati dengannya, muziknya yang enak didengari dan lain-lain. Paling singkat pun akan dijawab: "Sudah ia sememangnya minat saya!".

Jika ditanya kepada mereka yang hobinya adalah memancing pun, adakah jawapan mereka hanya sekadar berasaskan rasional semata-mata? Kita memang tidak akan dapati menikmati dan berhibur dengan sesuatu jika ia hanya pada rasional semata-mata.

Sebab itulah tidak dapat tidak, ini perkara yang patut kita toleransi. Tidak ada guna bertekak dan bertelagah berpanjangan. Perkara ini walaupun ada rasionalnya, tetapi ia tetap ada berpaut bersama dengan sentimen peribadi. Selagimana ia bukan menimbulkan mudarat yang besar pada diri dan sekeliling, maka nikmatilah sepertimana makanan dan sukan atau hobi yang lain dinikmati.

Komuniti ini sama seperti kelab. Kalau mahu sertai, dipersilakan dan kami tidak memaksa sesiapa. Kalau mahu lihat persembahan kelab, dipersilakan menontonnya. Kalau tidak mahu, dipersilakan keluar. Tidak perlu buat kacau di sini.

Buang masa untuk menjelaskan kepada orang yang sememangnya dari dahulu, sekarang dan akan datang tidak mahu menerima penjelasan kita, apatah lagi bertoleransi dengan kita dan kita pun tidak perlu sibuk untuk memuaskan hati orang ini. Mereka pun tidak mahu mempedulikan penjelasan kita. Lantas, mengapa pula kita perlu mempedulikan orang sebegini?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/673928879254208512/celoteh-peribadi-131-antara-erotisisme-dan-muzik

com/post/673928879254208512/celoteh-peribadi-131-antara-erotisisme-dan-muzik

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Celoteh Peribadi Amir KazumaWhere stories live. Discover now