Meme 124

4 0 0
                                    

Selalunya apabila sufi itu dikritik, para pengkritik itu adalah daripada salafi

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Selalunya apabila sufi itu dikritik, para pengkritik itu adalah daripada salafi. Walhal, tidak kurang juga jumlah sufi yang mengkritik sesama mereka sendiri. Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, salah seorang keturunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dari jalur keluarga al-Ġumāriyy juga mengambil peranan dalam mengkritik sufi. Karyanya yang berjudul az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh antara yang paling menonjol sekali.

Saya sememangnya menyarankan agar para sufi membaca karya ini. Antara sebabnya adalah supaya tidak hanya melihat kritikan terhadap sufi itu adalah daripada salafi semata-mata. Ia juga daripada tokoh-tokoh yang mengamalkan praktis sufi itu sendiri. Jika sukar untuk menelan kritikan daripada salafi, apa masalahnya jika mereka membaca kritikan daripada kelompok yang sama dengan mereka?

Antaranya adalah supaya seseorang tidak bermain lagi falasi Argumentum Ad Verecundiam dengan menjaja nama fulan berketurunan Rasulullah semata-mata untuk mengelakkan diri daripada dikritik, menyahkreditkan hujah orang lain, menebalkan lagi kepala batu serta mengkultuskan dan mengkuduskan apa sahaja yang datang daripada zuriat baginda.

Sebegitukah mereka akan bermain jikalau Muḥammad az-Zamzamiyy masih hidup? Dia bukan sahaja mengkritik sufi di sekelilingnya, malah dia juga menyinggung abangnya. Justeru, tidak ada masalah pun jika zuriat baginda dikritik. Zuriat baginda juga wajib memenuhi hak-hak ilmu dan kebenaran sepertimana Muslim yang lain tanpa berkecuali. Mereka tidak mewarisi kemaksuman. Sebegitulah yang ditonjolkan az-Zamzamiyy.

Saya tidak berkata bahawa kita perlu menerima sepenuhnya apa yang ada dalam karya tersebut. Saya hanya ingin menegaskan bahawa betapa tololnya orang yang bermain falasi sedemikian jika cakna dengan kandungan karya tersebut. Diharapkan agar para pembaca daripada kalangan sufi menjadi celik untuk melihat dan menelaah hujah, bukan hanya ketaksuban.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649372753684725760/selalunya-apabila-sufi-itu-dikritik-para


Santai Perkongsian Agama Melalui MemeWhere stories live. Discover now