Meme 117

13 0 0
                                    

Sememangnya terdapat perbezaan antara *ālim dan faqīh

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Sememangnya terdapat perbezaan antara *ālim dan faqīh. Ini kerana faqih adalah orang yang memiliki kemahiran dan deria dalam membezakan antara benar dan salah. Namun, hal itu tidak semestinya bagi seorang alim. Ini berdasarkan sabda Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ ، فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

"Semoga Allah memperindahkan seseorang yang mendengar hadis daripada kami, lalu dia menghafalnya, kemudian ia menyampaikannya. Kadangkala seseorang menyampaikan fiqh kepada orang yang lebih faqih daripadanya dan kadangkala orang yang menyampaikan fiqh tidaklah faqih". [Sunan Abū Dāwud, kitāb al-*Ilm, no. 3177].

Daripada sini, boleh jadi orang yang menghafal banyak hadis, tetapi tidak ada kemahiran fiqh padanya. Namun, apabila seseorang itu menyampaikan hadis kepada orang yang tidak tahu tentang hadis tersebut, boleh jadi dia memiliki kefahaman yang lebih daripadanya. Kadangkala, ada orang menghafal banyak hadis, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menyaring kesahihan hadis tersebut dan tidak mampu mengambil fiqh yang ada dalam hadis tersebut.

Apapun, ini tidaklah bererti memisahkan peranan kedua-duanya bagi seseorang yang ingin menjadi sarjana dalam ilmu agama. Perlu seseorang meluaskan pembacaan dan memperbanyakkan guru untuk dipelajari agar memperoleh capaian yang luas dalam sesuatu isu. Lebih-lebih seseorang yang menjadi ahli hadis. Semestinya dia perlu menghafal dan meneroka sebanyak hadis yang boleh untuk melakukan takhrij, analisis sanad dan kajian hadis.

Sebenarnya memang perlu diperingatkan bahawa untuk menjadi faqih bukanlah semestinya perlu memenuhi syarat-syarat yang kadangkala nampak mustahil dicapai melainkan hanya dewa yang sakral. Benar bahawa untuk mencapai darjat faqih memerlukan usaha keras dan menghadapi pelbagai kepayahan untuk mengerahkan tenaga dan akal. Akan tetapi, bukan bermakna kesukaran itu adalah di tahap yang tidak berpijak pada realiti dan tidak memiliki dasar.

Sebagai contohnya dalam menjadi mujtahid. Sebahagian ulama tidak mensyaratkan seseorang itu menghafal seluruh ayat al-Qur^ān, malah hafalan itu tidak begitu ditekankan. Cukup bagi seseorang itu tahu ayat-ayat al-Qur^ān dan hadis yang berkaitan dengan hukum-hakam sahaja. Malah, penguasaan bahasa pun tidak disyaratkan sampai ke tahap mahaguru yang terbilang dalam bidang tersebut seperti Sibawayh, al-Aẖfaš, al-Fārisiyy dan lain-lain meskipun itu digalakkan. Cukup seseorang itu mencapai tahap yang sederhana. Syarat-syarat ini ada dalam pembentangan as-Suyūṭiyy dalam Taqrīr al-Istinād Fī Tafsīr al-Ijtihād.

Malah, untuk menjadi faqih pun tidak semestinya perlu khatam kitab dengan sejumlah yang tidak mampu ditanggung oleh unta meskipun itu digalakkan. Lihat kata aḏ-Ḏahabiyy seperti berikut :

قال الشيخ عز الدين عبد السلام وكان أحد المجتهدين: ما رأيت في كتب الإسلام في العلم مثل المحلى لابن حزم وكتاب المغني للشيخ موفق الدين. قلت: لقد صدق الشيخ عز الدين. وثالثهما: السنن الكبير للبيهقي ورابعها: التمهيد لابن عبد البر. فمن حصل هذه الدواوين وكان من أذكياء المفتين وأدمن المطالعة فيها فهو العالم حقا.

Berkata Syeikh *Izuddīn bin *Abdul Salām dan dia salah seorang mujtahid: "Aku tidak pernah melihat dalam kitab-kitab Islam yang memiliki ilmu seperti al-Muḥallā karya Ibn Ḥazm dan al-Muġnī karya Muwaffaqudīn". Aku katakan: "Benarlah kata Syeikh *Izuddīn. Yang ketiga ialah as-Sunan al-Kabīr karya al-Bayhaqiyy. Yang keempat ialah at-Tamhīd karya Ibn *Abdul Barr. Sesiapa yang menghimpun karya-karya ini. Maka, dia termasuk salah seorang mufti yang cerdik. Yang membiasakan diri untuk menelaahnya, maka dia seorang yang benar-benar terpelajar". [Siyar A*lām an-Nubalā^, jilid 13, m/s 378, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, Kaherah].

Cukup dengan empat kitab ini. Pun begitu, setiap kitab yang dicadangkan ini pun begitu tebal. Mahu atau tidak mahu, jalan menjadi faqih sememangnya perlu merentasi kesulitan dan kepenatan. Namun, ia tidaklah sampai keterlaluan sepertimana yang dimomokkan.

Lihat juga kata Tājuddīn as-Subkiyy :

من لم يجمع حَدِيث شُعْبَة وسُفْيَان وَمَالك وَحَمَّاد بن زيد وَابْن عُيَيْنَة فَهُوَ مُفلس فى الحَدِيث يَعْنِي أَنه مَا بلغ رُتْبَة الْحفاظ فى الْعلم

Daripada *Uṯmān ad-Dārimiyy: "Sesiapa yang tidak pernah mengumpulkan hadis Šu*bah, Sufyān, Mālik, Ḥammād bin Zayd dan Ibn *Uyaynah, maka dia adalah orang yang muflis dalam hadis", iaitu dia tidak akan menggapai kedudukan hafiz dalam ilmu. [Ṭobaqōt aš-Šāfi*iyyah al-Kubrō, jilid 2, m/s 303, keluaran Dār Hajr Li aṭ-Ṭobā*ah Wa an-Našr Wa at-Tawzī*, tahqiq Maḥmūd Muḥammad aṭ-Ṭonāḥiyy dan *Abdul Fattāḥ Muḥammad al-Ḥalw].

Nama-nama ini adalah tokoh hadis yang memiliki banyak hadis dalam pelbagai perkara. Berpada dengan mereka ini sudah cukup untuk membawa kita kepada darjat ilmuan kerana mereka ini telah mencukupkan hadis-hadis yang diperlukan dalam perbahasan agama. Pun begitu, hadis-hadis daripada mereka ini sangat banyak untuk dikumpulkan. Sebab itulah walaupun syarat minimum ini nampak mudah, tetapi hakikatnya memerlukan kesungguhan yang tinggi. 

Malah, *Abdullah bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy berkata dalam mendefinisikan makna al-Muḥaddiṯ :

والمحدِّث من سمع الكتب الستة والموطأ وسنن الدارمي والدارقطني والبيهقي ومستدرك الحاكم ومسند أحمد، وسمع إلى جانب هذه الكتب ألف جزء حديثي، وحفظ جملة مستكثرة من المتون. ويكفي عن الحفظ في هذا الوقت أن يراجع الجامع الصغير مرات، حتى تعلق أحاديثه بذهنه، بحيث يستحضر حديثاً منها إذا احتاج إليه، ويشتمل الجامع الصغير على نحو عشرة آلاف حديث، فيها الصحيح والحسن والضعيف والموضوع. 

"Al-Muḥaddiṯ adalah orang yang  mendengar kitab-kitab sittah, Muwaṭṭo^, Sunan ad-Dārimiyy, ad-Dāroquṭniyy, al-Bayhaqiyy, Mustadrok al-Ḥākim, Musnad Aḥmad dan mendengar seribu juzuk hadis pada sisi kitab-kitab ini serta menghafal sejumlah yang banyak  yang berupa matan-matan. Cukup hafalan pada waktu ini untuk merujuk al-Jāmi* aṣ-Ṣoġīr beberapa kali sehingga melekat hadis-hadisnya di mindanya ketikamana diminta untuk menghadirkan beberapa hadis daripada apabila seseorang memerlukannya. Al-Jāmi* aṣ-Ṣoġīr merangkumi sekitar sepuluh ribu hadis yang padanya ada yang sahih, hasan, dhaif dan palsu". [Rutab al-Ḥifẓ *Inda al-Muḥaddiṯīn, m/s 4].

Daripada penjelasan ini, apabila sudah ada kitab yang khas mengumpulkan kesemua yang diperlukan, ia sudah memadai walaupun lebih digalakkan untuk meluaskan lagi daripada apa yang ada. Apapun, sepuluh ribu hadis pun sudah cukup banyak untuk dikaji dan dikuasai.

Ibn Wahb berkata :

لو لا مالك بن أنس والليث بن سعد هلكت، كنت أظن أن كل ما جاء عن النبي صلى الله عليه وسلم يفعل به

"Kalau bukan kerana Mālik bin Anas dan Layṯ bin Sa*d, nescaya aku binasa. Dahulu aku menyangka bahawa semua yang datang daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- perlu beramal dengannya". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baghdādiyy, jilid 14, m/s 524, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

Daripada sini, cukup kita melazimi beberapa guru yang membawa kita kepada manhaj ilmu yang lurus dan selamat daripada kekeliruan. Jika kita hidup di zaman tersebut, maka dua ahli ilmu ini sudah memadai untuk kita mengambil kefahaman daripadanya.

Kesimpulannya, menjadi faqih bukanlah mesti disyaratkan menguasai sebanyak yang mustahil dicapai walaupun digalakkan untuk pelajari sebanyak yang mampu. Pun begitu, ia tetap memerlukan seseorang berdedikasi dan menumpukan sepenuh tenaga untuk mencapainya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/643792937717776384/sememangnya-terdapat-perbezaan-antara-%C4%81lim-dan

Santai Perkongsian Agama Melalui MemeWhere stories live. Discover now