Meme 100

5 0 0
                                    

Bayangkan 10 orang di kelas duduk yang masing-masing memiliki kecelikan yang mendalam pada ilmu uṣūl fiqh dan hadis, lalu ada seorang daripadanya mahir bahasa Arab

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Bayangkan 10 orang di kelas duduk yang masing-masing memiliki kecelikan yang mendalam pada ilmu uṣūl fiqh dan hadis, lalu ada seorang daripadanya mahir bahasa Arab. Siapakah yang akan diberi perhatian?

Bahasa Arab adalah lapisan awal utama bagi membezakan diri dan ahli ilmu serta langkah permulaan yang asas untuk menuju kepada kefaqihan yang diimpikan. 

Untuk menjadi faqih, tidak dapat tidak mesti mahir ilmu uṣūl fiqh dan ilmu ini sangat berhajat kepada bahasa Arab. Taqiyuddīn as-Subkiyy berkata :

فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون

"Sesungguhnya ahli uṣūl meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". [Al-Ibhāj Fī Šarḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Apatah lagi ilmu hadis yang sumber rujukan utamanya banyak yang tertulis dalam bahasa Arab sehingga memerlukan penguasaan bahasa Arab walaupun minima. Dua ilmu ini penting untuk menjadi mujtahid atau paling kurang untuk menjadi orang yang mampu menekuni perbahasan dalil. Pusat ilmu adalah pada kedua-dua ini dan ia memerlukan bahasa Arab untuk seseorang mencerap intipatinya. 

Sebab itulah benar orang yang berkata bahawa sesiapa yang belajar bahasa Arab, maka lahirlah ilmu yang baru untuknya kerana dia memiliki kanta yang jelas untuk mencerap alam semesta yang lebih terperinci dan tuntas.

Saya hairan melihat ada orang yang sampai ke peringkat ijazah dalam bidang agama, tetapi tidak ada kemahiran bahasa Arab. Ini merupakan capaian peringkat tinggi bagi seorang pelajar agama. Jika mereka ingin menjadi orang yang dijadikan rujukan dan membimbing orang ramai dalam ilmu agama, maka sewajarnya mereka mendalami bahasa Arab yang akan membantu mereka dalam meneroka kefahaman dan menajamkan kecelikan dalam ilmu agama.

Saya teringat Zaharuddin Nawi Qasimi pernah bercerita pengalamannya ketika zaman Master di Universiti Islam Antarabangsa dalam kelas Hadith Qiraah Nassiyah. Pelajar disuruh baca teks syarah hadis seorang demi seorang, tetapi 99 peratus baca teks lintang pukang baris walaupun sudah tahap Master! [Rujuk : https://www.facebook.com/zaharudinnawi.qasimi.1/posts/921626241338315].

Benar. Ini memang mengaibkan, lagi-lagi orang yang ingin belajar ke peringkat tinggi tetapi mengabaikan keperluan bahasa Arab. Ini tidak sepatutnya berlaku bagi orang yang ada kemahuan untuk mendalami ilmu agama jika dia tahu peranan penting bahasa Arab.

Malah, menghairankan juga seseorang yang berpusu-pusu ingin mempelajari kitab yang jika kita mendengar tajuknya, sudah cukup menggeletarkan kulit kita kerana keagungan nilai ilmu padanya. Namun, apabila ditanya tentang pembelajaran bahasa Arab, wajah mencuka itu zahir dilihat padanya.  Pelbagai dalih diberikan untuk tidak mempelajarinya dengan alasan bahawa ia kompleks dan perlu hafal itu ini. 

Duhai! Kalaulah dia tahu bahawa betapa sempitnya situasi seseorang ketika masuk ke perbahasan minda faqih tanpa bekalan bahasa Arab, pasti dia lebih sanggup bersusah payah menekuni bahasa Arab daripada terjun membabi buta.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/643645660211658752/bayangkan-10-orang-di-kelas-duduk-yang

Santai Perkongsian Agama Melalui MemeWhere stories live. Discover now