Lelaki Yang Meniup Seruling Di Puncak Menara Condong

32 2 0
                                    

Lelaki itu
baru keluar dari kepompong mimpi
menetas lantas meluru ke menara azali
dia terlalu mengidamkan cahaya itu
yang sentiasa melambainya di puncak

Tiada satupun keluhan terhasil
pada setiap pendakian anak tangga
modus operandinya kekal sama
hanya terus menuju puncak
tiada jalan pintas
tidak akan berhenti
walau aral menggalang

Sesekali matanya menjenguk
pada balkoni indah di setiap tingkat menara
ada ampaian yang masih menyidai kenangan
hanya diperhatikan sebelah mata
tanpa mengubah arus ombak di jiwa

Setelah sampai di puncak
dia tidak terus meraung ratap
gementar dihalaunya jauh-jauh
perlahan-lahan serulingnya dimainkan
mengguling setiap mimpi ngeri
serta doa-doa yang tidak terkesampaikan

kerana ketika itu
dia sedar dari lamunan
lalu mendakap hakikat yang terdedah
bahawa cinta adalah jelaga api yang sukar untuk dijinakkan

Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah SuramWhere stories live. Discover now