Sepasang Mata Yang Tidak Mampu Menangis Di Metropolis

53 2 0
                                    

Pandanganku terperangkap di dalam pusaran akibat seharian menonton jutaan digit di mana maknanya telah lama hilang pada skrin yang sering mendampingiku. Otak aku dirasakan makin bingit dengan jeritan berontak yang bersifat infiniti. Teriak yang tiada hentinya itu enggan larut di dalam kepekatan gelita di jiwaku. Pundakku kini kian terbeban oleh transaksi kredit yang tidak menemui garisan penamat, lalu aku bingkas dari igauan. Lantas kucapai tombol pintu yang berkemungkinan dapat melarikan diriku dari rusuhan ini.

Di luar, langit makin kelabu. Ianya memberat tetapi tidak juga mahu runtuh. Mungkin doa-doa mereka yang berlindung di bawah gelap masih lagi mampu membentuk tiang-tiang kukuh bagi menahan awan itu. Rahmatnya masih belum sampai kepada tanah yang terlalu merinduinya. Aroma segar dari rintihan langit yang menyapa bumi, membuatkan semua penghuni alam meratap bersama.

Pada sifatku yang pegun kini, aku cuba mengendong sisa-sisa ketenangan. Mungkin bukan mudah untukku melupakan segalanya di kala jasadku masih lagi tersumbat di dalam keretapi ini. Gerabak ini juga penuh dengan roh-roh kepiluan; bungkam dan lara. Nyali kecil berlegar-legar di setiap kepala mereka.

Aku bertukar menjadi sebuah pesawat yang tirus paruhnya; terbang rendah lalu mendarat di reruai ini. Namun hakikatnya, aku masih terperangkap di atas landasan yang penuh dengan jaringan kepalsuan.

Mungkin angin lalu ingin berdamai denganku. Namun tidak semudah itu maruahku dapat diragut.

Di kamar ini aku ingin menyelam ke arah ranjangnya. Kepalaku beralas dengan bantal berjenama kenyataan. Tanpa berfikir panjang, aku terpenjara oleh lena. Untuk seketika, biarkan aku berselubung di dalam selimut duka.

Biarkan aku di sini. Dalam seputar ruang lingkup ini aku goyah. Biarkan diriku bermimpi lagi sambil menghitung jutaan digit yang telah lama hilang maknanya.

Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suramजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें