SENANDUNG PELESIRAN DI UTARA YONG SENG

13 0 0
                                    

Di dalam kedinginan malam, aku masih lagi setia berdiri di sini. Tidak pernah henti melihat pelbagai rencah kehidupan yang mundar mandir di celah-celah mata. Bunyi bingit jalanan yang memecah kesunyian malam adalah sekadar modus operandi untuk melancarkan gemilang hidup remaja.

Melalui kidung yang kulaungkan di jalanan ini, aku temui cinta. Ditemani mata-mata asing tetapi mendamaikan jiwa, aku tidak lagi perlu sembunyi dari kegusaran hari semalam. Kubuang jauh pedih silam dan gantikan dengan penawar hari-hari anterior.

Malam ini adalah kanvas putih buatku dan bulan serta bintang hanyalah sekadar bahantara warna yang meraikan perbezaan hidup kita. Setiap sentuhan tali gitarku ini sama ertinya bagai aku memegang berus lantas melukis di dada malam.

Lembayung senja kota ini adalah tanda cintanya kepada diriku yang kerdil ini. Bagai dakapan seorang ibu yang tidak pernah berhenti menyayangi sang anak. Sentiasa memberi teduhan dari badai kehidupan mahupun gundah dugaan yang meretakkan lantai kewarasan.

Kusudahi bicara basa-basi hari silam dengan ucapan cinta mutakhir penuh makna, bersaksikan simfoni riang-riang yang bersenandung pada cakerawala malam.

Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah SuramWhere stories live. Discover now