1987 part 7

304 20 2
                                    

Azlan

"Nak, bangun nak."

Aku nampak Tok Aki dan Fauzan sedang berdiri di sebelah pembaringan aku.

"Tok Aki," aku gosok mata.

"Nak, kita subuh dulu, lepas tu kita nak gerak jauh ni. Kalau bawa kereta ni mahu pagi esok kita sampai Teluk Tenang. Lepas Subuh, kita sarapan di gerai mamak tepi tu, lepas tu kita geraklah," kata Tok Aki pada aku.

"Baiklah."

Aku ambil wudhu dan Fauzan qamatkan azan Subuh, dan Tok Aki imamkan solat pagi itu.

"Kau dah ada kerja ke belum?" tanya Tok Aki pada aku.
"Belum," aku anggap sahaja aku dah tak ada apa-apa dengan mereka.
"Kau tak kisah kalau kerja di kebun kobis?"

Aku mengangguk.

"Kitorang naik lori kobis, kau okay ke?" tanya Abang Fauzan pada aku. Abang Fauzan ni macam tua tujuh tahun dari aku.
"Okay bang, tak kisah pun."
"Tapi dalam perjalanan ni kita singgah beberapa tempat dulu, nak ambil barang untuk berniaga."
"Baik, bang."
"Okay lah kalau macam tu," Fauzan menghirup teh tarik.

Aku terpaksa lupakan segala yang aku ada di Wijayapura. Saat lori Abang Fauzan melepasi jalan utama untuk keluar dari bandaraya ini, aku dah bertekad, satu hari nanti bila aku dah berjaya dari sana, aku akan kembali ke Wijayapura tanpa perlu mengubah jatidiri aku sebagai lelaki Melayu Gelanggayu.

Dalam masa sama aku masih memikirkan tentang Hanis. Entah kenapa, aku pun tak tahu. Aku tidak memikirkan sangat tentang Natasha.  Mungkin sebab aku rasa aku tak sesuai dengan Nat.

Padahal Hanis tu kekasih Tengku Ahmad, dan Natasha tu kekasih aku.

Aku juga memikirkan tentang ibu. Aku tak tahu apa perasaan ibu bila dapat tahu, yang walaupun aku dah ada kabel untuk segalanya, dari harta ke kuasa, tapi aku memilih untuk tinggalkan semua ini demi mencari erti hidup.

Lori Abang Fauzan melintasi sempadan negeri Wijayapura-Geri. Dan aku masih termenung di tingkap lori.

"Termenung apa tu? Teringat makwe ke?" tegur Abang Fauzan.
"Takdelah. Rindu kat arwah ayah. Bila nak balik Teluk Tenang ni, teringat kat dia. Dulu kalau balik kampung, dia bawa kereta," of course la aku teringat makwe tapi takkan aku nak cakap kat orang, betul tak?
"Arwah Mamat tu baik orangnya. Dia dulu selalu tolong aku. Rajin tolong orang kampung. Aku doakan supaya rohnya dicucuri rahmat."

Aku mengangguk.

"Dan sebab aku kenangkan jasa arwah ayah kau, kau anggap je keluarga kami ni, macam keluarga kau. Sampai sana nanti, kami akan layan kau macam ahli keluarga."

Tok Aki senyum saja melihat aku.

Angin dari luar meniup ke rambut, saat aku melihat kawasan di luar bandar Wijayapura. Nampak ada kebun ubi, ladang sawit, ladang getah, sungai, gerai orang kampung tepi jalan menjual tanaman seperti jagung, buah-buahan seperti duku, langsat, rambutan.

Abang Fauzan berhenti di tepi jalan untuk membeli buah-buahan.

"Kau makan buah rambutan?"

Aku mengangguk.

"Jom, kita beli rambutan."

Abang Fauzan membeli Rambutan Anak Sekolah (mungkin dipanggil sebegini sebab budak sekolah selalu suka rembat buah ini kalau di kampung) dan kami menikmati rambutan di sepanjang perjalanan.

"Bila last kau balik kampung?" Abang Fauzan tanya pada aku.
"1981, bila arwah nenek meninggal."
"Ada la dalam enam tahun kau tak balik ni? Takde banyak perubahan pun kat Teluk Tenang. Tahun 81 pun macam tu. Tahun 71 pun macam tu."
"Tahun 51 pun macam tu juga. Tahun 41 lain, askar Ryukyu tiba, habis kebuluran orang kampung," kata Tok Aki.
"Kalau kau dah duduk di Teluk Tenang, takkan kau tak rindu Wijayapura? Kan banyak benda best kat sana? Ada game arcade, ada makwe cantik-cantik, ada shopping mall?"

Sidang DewanWhere stories live. Discover now