18 (2)

106 6 2
                                    

Dua orang lelaki sedang duduk menghadap satu sama lain, dipisahkan dengan sebiji meja. Seorang berpakaian formal anggota Polis, seorang lagi berbaju banduan. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Lama mereka membisu, sekadar berbalas pandang sejak tadi.

"Kamu nampak... Tenang."

Banduan itu tertawa kecil.

"Terlalu tenang... Untuk seorang yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori."

"Tuan... Alex Lim," kata banduan itu, mengerling ke arah tanda nama di baju pegawai itu, sambil senyum. "Tuan tiada sebab untuk bertemu saya di sini. Lagipun... Jika inilah pengakhiran saya, saya reda."

"Sememangnya. Untuk seorang yang hampir-hampir mencetuskan huru-hara dan cuba memisahkan anak-anak dari ibu bapa mereka... Hukuman itu wajar untuk kamu, Johan Hafez," kata Tuan Alex.

Senyuman Johan Hafez memudar. "Apa yang saya lakukan itu... Semuanya demi agama. Tuan tak faham, dan takkan faham!"

"Dan, kenapa saya takkan faham?" Tuan Alex bersandar di kerusi, kedua-dua tangannya disilangkan. "Ya, saya akui yang saya masih tak faham mengapa kamu buat semua ini, dan kenapa kamu masih rasa kamu di pihak yang benar. Nak kata pasal kena tindas macam di negara Barat, Islam masih lagi agama persekutuan dalam perlembagaan. Sebab itulah saya berada di sini."

Johan Hafez mendecit.

"Tuan tidak nampak apa yang sedang terjadi di sekeliling Tuan sekarang. Islam sekadar di kad pengenalan saja. Keruntuhan moral semakin menjadi-jadi. Anasir Barat dah menguasai negara ini. Mempengaruhi minda belia Muslim supaya jadi liberal dan mempertikaikan perintah ALLAH. Itu yang patut dihapuskan."

"Hapuskan.. Anasir Barat?"

"Ya. Sebab semua orang Islam patut kembali kepada asal. Mengikut ajaran yang sepatutnya. Mereka yang enggan mengikut ajaran Islam yang asal, tidak sepatutnya wujud! Mereka yang bukan Muslim juga tidak sepatutnya hidup!"

Tuan Alex mengecilkan matanya, merenung Johan Hafez. Apa yang didengarinya langsung tidak masuk akal baginya.

"Setahu saya, Islam melarang pembunuhan orang yang tidak bersalah. Dalam Al-Quran pun ada tertulis, 'sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya'."

Johan Hafez mengetap gigi. "Kau..."

"Oh, nak rujuk? Surah Al-Maidah, ayat 32. Saya ingat lagi terjemahan ayat itu."

Johan Hafez berdiri dari kerusi. Tangannya menunding ke arah Tuan Alex. "Kau tu kafir! Berani kau petik ayat Al-Quran sesuka hati?"

"Siapa kafir?" Suara Tuan Alex ternaik sedikit. "Saya beragama Islamlah! Walaupun... Baru saja dua tahun saya menganut agama ini." Suaranya mengendur sedikit.

Johan Hafez terus turunkan tangannya. Riak wajahnya terus berubah. Hilang terus amarahnya tadi.

"Kamu terfikir tak, kalau ada orang Muslim yang bukan sebangsa dengan awak menjadi mangsa, keluarga mereka yang bukan Islam akan pandang serong terhadap agama ini? Kamu terfikir tak impak tindakan kamu, yang Muslim ni, kepada mereka yang bukan Islam? Kamu tahu apa punca 'Islamofobia'? Atau, perkara macam tu pun awak tak ambil peduli, asalkan apa yang kamu rancangkan tercapai?" Tuan Alex bertanya dengan nada tegas.

"Kalau saya, seorang Muallaf yang masih belajar ini pun kamu panggil kafir..." Tuan Alex hela nafas lemah. "Boleh pula kamu teka agama orang lain berdasarkan rupa dan bangsa, ya."

Johan Hafez hilang kata-kata. Dia kembali duduk di kerusi.

"Nampaknya kamu tidah faham pun apa yang kamu tahu sebenarnya. Kamu hanya menurut ajaran tanpa berfikir. Tidak ubah seperti burung belatuk."

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now