3 (2)

184 14 5
                                    

"Susah betul nak cari parking," rungut Hana sebaik sahaja dia keluar dari kereta. Hampir 20 minit mereka berlegar-legar di ruang letak kereta di Dewan Persada.

"Biasalah. Kalau ada event, selalu je parking ni penuh. Kalau hari biasa lengang pula," kata Nina.

"Eh, tandas ada kan di sana?" Zel tiba-tiba mencelah.

"Takkanlah tak ada. Tempat awam, ya. Nak pergi sekarang ke?"

"Er... Boleh tahan lagi... Kot?" Zel sengih.

(...)

Suria melihat-lihat novel-novel yang dipamerkan di reruai-reruai itu. Sesekali dia memerhatikan Laily yang sedang berbual dengan Iman, salah seorang kartunis yang baru sahaja menerbitkan komik pertamanya di bawah STP Publications. Bibir Suria mengukir senyum.

"Dia dah mula nak berbual dengan orang lain. Gaya percakapannya pun tak kaku macam dulu," gumamnya perlahan.

Dia masih ingat kali pertama dia bawa Laily bertemu En. Alwan di STP Publications hampir setahun lalu. Laily hanya diam membatu sahaja sepanjang pertemuan itu. Macam patung Terracotta. Tak pasal-pasal Suria yang jadi tukang cakap, membincangkan perihal ilustrasi yang akan dibuat pada masa itu.

Hasil kerja Laily bagus, cuma masalahnya pada masa itu, dia langsung tidak mahu bercakap dengan sesiapa yang buat dia rasa tidak selesa - dan itu maksudnya semua orang kecuali Suria. Iman yang pada masa itu pelajar praktikal di unit grafik STP Publications adalah antara orang pertama yang buat dia selesa bertugas di situ walaupun secara separuh masa, dan akhirnya mereka berkawan.

Ada masanya Laily minta tunjuk ajar dari Iman, disebabkan medium lukisan mereka berbeza. Laily lebih ke arah kaedah tradisional - pensel, pen lukisan dan kertas; manakala Iman menggunakan kaedah digital - melukis secara langsung ke komputer menggunakan drawing tablet, dan menggunakan perisian-perisian tertentu, khusus untuk penghasilan komik.

"Kak Su, akak tengok apa?"

Suria tersedar dari lamunannya, terkejut mendengar suara Laily. Entah bila masa Laily berdiri di sebelahnya itu.

"La. Bila masa kamu sampai sini? Teleport ke?"

"Hm. Nampak benar saya jalan senyap dan laju sangat, sampai akak sendiri tak perasan," rungut Laily. Suria hanya sengih.

"Akak dah beli apa yang akak nak beli?"

Suria melihat beg sandangnya yang penuh buku yang dibeli di reruai-reruai itu. Semuanya buku-buku non-fiksyen.

"Dah. Awak tak nak beli apa-apa ke, Laily? Akak belanja."

Laily angkat bahu. "Saya sendiri pun tak pasti nak beli apa. Buku yang beli di kedai hari tu pun tak habis baca lagi."

Suria sengih. "Kita jalan-jalan sajalah, ya. Manalah tahu jumpa buku yang berkenan di jiwa," kata Suria sambil usap kepala Laily. Laily angguk sekali.

"Jom, pergi sana," kata Suria sambil menunding ke satu reruai. Reruai tempat lelaki yang berjalan menonong sampai langgar gegantung tadi masuk.

Laily hanya diam. Mereka berdua terus masuk ke reruai A'm Novel St Holding itu.

(...)

"Pergh, laku keras novel kau ni, Syam. Stok tinggal sedozen je setiap tajuk. Padahal dah lama ada di pasaran," kata Safuan sambil melihat rekod jualan di ruang simpanan. "Sempat ke nak restock balik novel-novel ni semua sebelum petang ni?"

"Papa aku dah contact unit logistik, jadi mereka dalam perjalanan ke sini dari kilang cetak. Sempat agaknya restock novel-novel tu," kata Syam. Sejak tadi dia, Bray dan Safuan duduk di ruang simpanan, rimas dengan kepadatan para pengunjung ke reruai itu.

"Baru hari kedua, dah sesak. Ni, masa program bertemu peminat ni, mesti lagi dahsyat sesaknya. Matilah aku," rungut Safuan.

"Dah kau sendiri volunteer nak jaga booth. Terpaksalah kau hadap semua tu," kata Bray sambil ketawa.

"Eleh. Volunteer pun, dapat jugalah RM50 sehari. Rasa berbaloi jugalah hadap semua tu," kata Safuan selamba. "Korang tak nak ke try sehari?"

"Er... Kita tengok dulu, ya," kata Bray sambil garu belakang kepala.

"Panaslah duduk sini lama-lama," rungut Syam. "Aku nak keluarlah." Dia terus bangun dari kerusi dan berjalan keluar dari ruang simpanan itu, diikuti Bray dari belakang.

(...)

Laily merenung novel-novel karya Syam di hadapannya. 'First Stage', 'Next Stage', 'Dark Hunter' dan 'Kerana Aku Cinta Kamu' tersusun di rak dengan label 'bestseller' itu.

"Lama tengok. Nak ke?" Suria menegur dari belakang. Laily angkat bahu.

"Berbaloi ke kalau beli?"

"Jangan risau, adik. Berbaloi," tegur satu suara berhampiran rak pameran itu. Laily pandang ke arah lelaki yang menjawab soalannya itu.

"Ni semua saling berkait ke?" Laily tunding ke arah novel-novel itu. Lelaki itu mengangguk.

"Tapi, tajuk ni macam tak ada kaitan pun," kata Laily lagi, menunding ke arah novel 'Kerana Aku Cinta Kamu'.

"Itu, sebab watak utamanya berbeza dengan tiga novel ni. Tapi, kisah kedua-dua mereka saling berkait."

Laily angguk perlahan. Dia kembali merenung novel-novel itu. Suria tiba-tiba mengambil keempat-empat novel itu, satu naskah untuk setiap tajuk.

"Kak Su!"

Suria sengih. Dia masukkan novel-novel itu ke dalam raga.

"Saya takut tak sempat baca je," kata Laily perlahan, sedikit kesal.

"Ala. Kak Su pun nak baca juga," kata Suria sambil berjalan ke arah kaunter pembayaran. Laily hela nafas berat. Lelaki yang jadi promoter tanpa tauliah itu pula hanya sengih.

"Ha, alang-alang dah beli tu, bolehlah minta autograf penulisnya. Dia ada datang sini hari ni."

"Hm? Ada ke?"

"Ada. Kejap," kata lelaki itu sebelum beredar, menarik rakannya yang berada tidak jauh dari situ, dan kembali ke arah di mana Laily berada.

"Ha. Ni la dia. Syam Syahrul Azmi," kata lelaki itu dengan bangga. Rakannya itu hanya senyum mesra.

"Oh? Abang ni?"

"Adik kenal dia?"

"Dia langgar bunting depan sana tadi," kata Laily selamba.

"Aduh. Ada orang nampak rupanya..." Syam terus tutup wajahnya dengan sebelah tangan, malu.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now