7 (2)

131 9 5
                                    

"Bagaimana sekarang?" Lelaki itu senyum sinis. "Bom di badan aku ini bersambung dengan alat di tangan ni. Sebaik sahaja nadi aku berhenti, bom ini, dan yang di hotel itu, akan meledak serentak." Ditunjukkan alat yang sekali pandang rupanya seperti jam tangan digital versi lama di pergelangan lengan kirinya.

Erzen ketap gigi, menjarakkan diri dari lelaki itu, waspada. Mindanya ligat memikirkan bagaimana cara untuk menyahaktifkan bom di badan lelaki yang masih lagi ketawa bagai dirasuk jin itu.

"Patutnya kau tumpukan pada bom di hotel itu, bukannya kejar aku, budak. Heh, aku pun tak sangka yang kejar aku ni seorang budak acah-acah samurai, bukannya polis."

Zel mengambil batu sebesar bola besbal di atas jalan, lalu membalingnya ke arah lelaki itu. Lelaki itu sempat mengelak. Dia senyum mengejek.

"Kau berdua tak boleh buat apa-apa! Tiada yang benar, melainkan yang benar belaka!" Lelaki itu ketawa terbahak-bahak, mula berjalan ke hadapan. Dia rasa kebal dengan kewujudan bom di badannya itu.

Tiba-tiba...

SPANK!

(...)

Putra mencebik, tidak puas hati disebabkan silinder-silinder dalam bom jangka itu gagal dikorek isinya. Dibelek-belek lagi bom itu.

"Putra, apa kata kau... Matikan saja bom tu?" Salleh memberi cadangan, sekarang ini sedang menyorok di sebalik tong sampah besi berhampiran Putra.

"Matikan?"

"Yalah! Kalau benda tu meletup, masak kita nanti. Dah matikan nanti, buatlah apa yang kau nak dengan bom tu!"

"Ha-ah la, kan? Barulah tak bahaya kalau nak check dia letak apa dalam silinder ni." Putra ambil gunting lalu menilik-nilik wayar-wayar yang berselirat di dalam bom itu. Diselitkan bilah gunting itu pada wayar kelabu empat jalur yang bersambung dengan kotak hitam itu. Salleh pejam mata dan ketap gigi dek panik yang membuak.

Snip!

"Dah potong dah!" Putra menjerit, teruja. Salleh buka mata. Tiada apa-apa yang berlaku. Dia terus berjalan menghampiri Putra yang baru sahaja memotong wayar kelabu pada bom itu.

Bom itu terpadam. Berjaya dinyahaktif secara total. Salleh hela nafas lega. Serentak dengan itu, sepasukan polis menyerbu masuk ke dalam lobi hotel itu.

"Jangan bergerak!" Pistol diacu ke arah mereka berdua.

Salleh dan Putra terkebil-kebil, terus angkat kedua tangan ke udara. Mereka langsung tidak menyangka situasi itu akan berlaku. Gunting di tangan Putra terus terlepas, jatuh ke atas lantai.

(...)

Kuali leper yang berkarat dan kemek itu diusap perlahan. Lembaga hitam yang bertenggek di bumbung kedai berhadapan Hotel Melati pagi tadi berdiri di atas jalan, merenung lelaki bertubuh gempal yang berlagak tadi, yang kini tertiarap di atas jalan, tidak sedarkan diri.

"Banyaklah dia punya 'tiada yang benar melainkan yang benar belaka'. Tak ada ayat lain. Kena pukau ke apa?" Lembaga itu membebel, membelek-belek kuali yang digunakannya untuk menghempuk kepala lelaki itu dari belakang. Selendang di leher diperbetulkan sedikit.

"Kasihan awak, kuali leper," bebel lembaga itu lagi, mengusap kuali kemek di tangannya itu. Dia melihat jam tangannya. "Hm... 100, 99, 98, 97..."

Lembaga itu terus angkat kepala, baru sahaja menyedari kewujudan dua orang manusia yang kaku di tempat masing-masing, terkejut dek kemunculan secara tiba-tiba itu.

"Hai abang penulis labil. Hai Kak Zel," kata lembaga itu, melambaikan tangan, wajahnya kosong tanpa emosi.

Penulis labil kau panggil aku? Erzen mendesis.

"Laily?" Zel kehairanan. Erzen terus pandang Zel di belakang.

"Kau kenal dia?"

"Dia jiran ibu saudara akulah!"

Suasana sepi seketika. Janggal. Pelik.

Laily tenung pedang di tangan Erzen. "Tu pedang sebenar ke?"

"Eh?"

Laily berjalan menghampiri mereka berdua. Diperhati sahaja pedang samurai yang masih terhunus itu.

"Baik abang simpan benda tu. Lepas tu, pergi dari sini. Sebab, dalam..." Laily lihat jam tangannya sekilas. "...60 saat lagi, polis akan sampai ke sini. Hm... Melainkan kalau abang nak holiday sekurang-kurangnya lima tahun dalam penjara."

Laily terus berlalu pergi, sambil bawa kuali leper yang kemik itu bersamanya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Hei, tunggu!" Zel mengejar Laily, namun sebaik sahaja keluar dari jalan mati itu, Laily terus ghaib.

Dari kejauhan, bunyi siren kereta polis kedengaran.

(...)

"Kita potong wayar je. Takkan tu pun salah?"

Putra sedang menghadap seorang pegawai polis, Inspektor Razlan, dia masih keliru dengan apa yang terjadi. Salleh pula, cuba sedaya upayanya menjelaskan yang mereka tiada kaitan dengan bom itu.

"Saya pelik. Macam mana kamu tahu bom jangka itu boleh dinyahaktif jika wayar kelabu dipotong? Pasukan pemusnah bom pun tak tahu pasal itu," kata Inspektor Razlan sambil berpeluk tubuh.

"Tu sebab kita... Uff!"

Belum sempat Putra menghabiskan ayatnya, Salleh terus tekup mulutnya. Salleh sengih janggal, manakala Inspektor Razlan terus berpeluk tubuh sambil memandang dua lelaki di hadapannya dengan wajah skeptik.

"Inspektor Razlan, lepaskan budak berdua tu," kata satu suara. Inspektor Razlan terus pandang ke arah lelaki yang sedang menghampiri mereka itu.

"Tuan Alex?" Inspektor Razlan terkejut melihat kemunculan lelaki Cina itu.

"Orang yang letakkan bom jangka tu pun dah berjaya diberkas. Saya dengar, mereka ni yang matikan bom tu. Takkanlah orang yang nak bom hotel tu pergi potong wayar bom, kan?"

Inspektor Razlan hela nafas. Dia pandang ke arah dua lelaki di hadapannya itu.

"Baiklah, kamu berdua boleh pergi. Tapi, kamu kena ke balai nanti, jadi saksi kes bom ni."

"Terima kasih, tuan!"

Kedua-duanya terus buka langkah seribu meninggalkan kawasan hotel itu. Inspektor Razlan terus pandang ke arah Tuan Alex.

"Apa yang sedang bermain dalam fikiran tuan, sebenarnya?"

"Hm. Adalah," kata Tuan Alex, senyum penuh makna.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now