9 (1)

158 12 9
                                    

Sebutir demi sebutir guli yang saiznya sama besar dengan bebola paintball dimasukkan ke dalam magazin. Cukup sahaja lapan butir, dia letakkan magazin ke tepi. Diambilnya magazin gantian lalu dibuatnya perkara yang sama.

"Apa awak buat tu, Zel?" Nina yang baru bangun tidur melihat Zel melakukan sesuatu pada pistol paintball jenis Tippmann TiPX versi lama itu. Pistol paintball itu diberikan terus kepada Zel genap 40 hari Azlin meninggal dunia.

Zel diam. Kedua-dua magazin yang berisi guli diletakkan ke tepi. Pistol paintball yang siap diselenggara pula diambil, lalu katrij sebesar dua ruas jari kelingking berisi gas karbon dioksida dimasukkan ke dalamnya.

"Boleh pakai lagi ke benda tu?"

"Boleh," kata Zel, memasukkan magazin ke dalam pistol lalu mengacukannya ke arah Nina. "Nak aku uji?"

Nina selubung dirinya dalam selimut. "Tak nak, terima kasih."

Zel sengih. Tippmann TiPX, sebiji katrij gas karbon dioksida dan magazin gantian dimasukkan ke dalam beg silangnya. Disebabkan dia takut kejadian semalam berulang lagi, dia bawa keluar pistol paintball yang sudah lama tidak digunakannya itu. Nampaknya masih boleh digunakan lagi.

"Macam tak percaya je awak bawa benda tu ke sini," kata Hana yang baru sahaja selesai mandi. Zel sengih. Entah mengapa dia terasa mahu bawa benda itu dari asrama. Namun, bebola paintball pula tercicir. Terpaksalah dia guna guli sebagai ganti.

"Tapi kan, apa motif awak nak bawa benda tu sekali masa meeting nanti?" Hana bertanya pula.

"Manalah tahu kalau-kalau 'mambang jamban' tu menyemak masa meeting nanti. Boleh tembak." Zel sengih jahat.

"Tapi, awak isi guli kaca dalam tu, kan..."

(...)

Salleh yang baru selesai makan roti canai di kedai makan berhampiran Sedili Waterfront - hotel tempat dia, Andi dan Kak Shila menginap - terus lihat skrin telefonnya. Ada mesej dari Hana. Dia tunjukkan mesej itu kepada Andi yang selesai membasuh tangan di sinki berhampiran.

Meeting hari ini pada jam 11 pagi di Arena Foodcourt, Aeon Baiduri. Untuk bincang hal semalam. - Hana

"Kenapa tengok telefon tu?" Kak Shila menegur. Salleh sengih.

"Tak ada apa-apalah, akak. Er... Kami nak pinjam kereta, nak ke Aeon nanti. Boleh tak?"

"Hm. Nampaknya, akak ni duduk bilik la sepanjang holiday ni. Dahlah kereta kena lenjan adik sendiri," kata Kak Shila, hela nafas sambil berpeluk tubuh.

Salleh serba-salah mendengar kata-kata Kak Shila itu. Siapa tak merajuk kalau orang yang mengajak holiday itu sendiri duduk terperuk dalam bilik saja sepanjang hari, yang diajak pula pergi merayap.

"Kalau macam tu, tak apalah, kak. Kami call Uber sajalah. Tak pun ambil pengangkutan awam..."

Kak Shila sengih. "Gurau je. Akak pun nak ke sana nanti. Pukul berapa nak gerak?"

Andi dan Salleh hela nafas lega.

(...)

Skrin telefon yang sedang dicas di atas meja itu direnung. Dahi Syam berkerut seketika. Meeting apa sampai panggil kawan baiknya sahaja ni?

"Oit. Tertunduk-tunduk aku tengok. Buat apa tu?" Bray yang keluar dari tandas menegur. Terus Syam berdiri tegak dek terkejut.

"Ni. Telefon kau ni. Ada mesej masuk," katanya sambil sengih.

(...)

"Ei, kata meeting pukul berapa?" Zel bercekak pinggang, menghadap Andi dan Salleh yang lambat 30 minit dari masa pertemuan.

"Maaflah. Aku teman akak aku shopping tadi. Kami sampai masa tempat ni baru buka, dowh!" Salleh membalas, kepenatan.

"Betul. Saya teman dia. Bukan main banyak lagi kakak dia shopping. Tahulah hari ini Aeon Member Day," rungut Andi yang turut kepenatan kerana jadi tukang angkut barang.

"Hana?" Zel pandang Hana yang selesai membincangkan sesuatu kepada Bray yang duduk bertentangan dengannya - dia sendiri pun terlewat 15 minit dari masa ditetapkan, sebenarnya.

"Dia tak tipu, Zel, kalau itu yang awak nak tanya," kata Hana. "Dah. Jom mula meeting."

Zel mencebik lalu duduk di kerusi bersebelahan Hana. Andi dan Salleh pula ambil tempat bersebelahan Bray. Hana bawa keluar dua helai kertas dari begnya - salah satu daripadanya adalah foto yang diambil dari laman blog Institut Tahfiz Nour Mina, dan satu lagi ialah laporan akhbar berkenaan kematian Johan - yang mana sekeping foto berukuran pasport turut berada di situ.

"Cuba tengok. Perasan sesuatu tak?"

Tiga lelaki itu meneliti kedua-dua kertas itu bersilih ganti.

"Eh? Muka dia samalah dengan muka orang dalam berita tu!"

Jari Andi diletakkan ke atas wajah seorang lelaki yang berdiri di dalam foto institut tahfiz itu.

"See! Andi pun kata sama," kata Zel. Hana angguk.

"Ni ke sebab awak panggil kami?" Salleh bertanya pula.

"Yup. Kami rasa, institut tahfiz ni pergunakan kanak-kanak untuk dapatkan wang. Macam... Apa nama yayasan tu..."

"Yayasan Hang Tawi?" Salleh tiba-tiba menyampuk.

"Betul. Yayasan Hang Tawi. Dan... Satu lagi perkara yang meragukan, mudir institut itu adalah orang yang Andi tunjuk dalam foto tadi," kata Hana serius.

"Serius?"

Zel angguk. "Kau tahu nama dia siapa? 'Haji Johan Hafez Bin Datuk Latiff'. Kau rasa?"

Rahang Andi dan Salleh sama-sama jatuh.

"Weh, dekat-dekat dengan nama mamat psiko tu la!" Salleh ambil laporan akhbar itu. "Beza nama cuma 'Hariz' dengan 'Hafez'. Muka pun sama."

"Jadi... Bagaimana sekarang?" Andi bertanya pula.

"Kita pergi siasat. Cari kumpulan budak-budak tahfiz yang jual barang tu. Kami ada jumpa dua kumpulan masa ke sini. Satu di depan bank, satu lagi di medan selera, dua-dua tak jauh dari sini. Kita cari mereka, kumpul bukti dan laporkan pada polis."

"Jangan lupa, saya available sampai hujung minggu ni je," kata Bray tiba-tiba. "Dahlah saya kena buat dua kerja."

"Duh. Kami berempat pun samalah. Er... Hana, teman saya ke tandas, boleh tak?" Zel tiba-tiba berkata.

"Hm. Jomlah," kata Hana pula. Kedua-dua gadis itu bangun dari kerusi. "Kami pergi tandas kejap, tau."

"Okey."

Kedua-dua gadis itu hilang di celahan orang ramai. Andi dan Salleh pandang pula Bray yang topang dagunya sejak tadi.

"Dua kerja?"

"Hm... Hana minta saya jangan bagi Aron dekat dengan Zel. Dia tak nak Syam upgrade jadi jenazah je nanti. Kan Zel anti gila dengan mangkuk tu."

"Ooo..." Salleh angguk.

(...)

Telefon Bray tiba-tiba berdering. Bray lihat skrin. Safuan. Terus dia angkat panggilan telefon itu. Wajahnya berubah pucat.

Serentak dengan itu juga, Hana dan Zel muncul, berjalan ke arah mereka bertiga dengan laju.

"Meeting adjourned," kata Hana, kelam-kabut. Wajah Zel pula merah padam.

"Apahal?"

"Kod 'pistol' ada di sini!"

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now