10 (2)

112 12 8
                                    

Laily tersedar dari lena. Dengan segera dia bangkit, duduk di atas katil, berpaling ke kiri dan membuat sesuatu seakan meludah tanpa air liur sebanyak tiga kali. Jam di atas meja dilihat. Pukul 5 pagi.

"Astagfirullah..." Laily urut dadanya. Mimpi apakah itu? Dalam mimpinya itu, dia ternampak Adam dikejar seseorang bertubuh besar di tepi jalan, kemudian dirempuh van.

"Nauzubillah. Tolonglah jangan jadi kenyataan," kata Laily perlahan. Dia terus bangun dari katilnya.

(...)

Adam, selesai membersihkan diri di tandas, duduk diam di dalam surau stesen minyak itu sementara menunggu waktu Subuh. Dia masih keliru dengan apa yang sedang berlaku.

"Entah-entah, ada kaitan dengan hari tu tak?"

Adam berfikir seketika. Walaupun tidak kenal, dia memang cam lelaki-lelaki yang angkut rakan-rakannya masuk lori itu. Lelaki-lelaki itu kelihatan dari timur tengah, tiba-tiba muncul beberapa hari lepas, untuk menemui pihak pengurusan pusat tahfiz itu.

Adam yang secara kebetulan berada di sebalik pintu belakang pejabat mudir yang rosak dan tidak dapat dibuka langsung itu dapat mencuri dengar perbualan mereka. Walaupun mereka berbicara dalam bahasa Inggeris - yang dia sendiri kurang fasih, namun perkataan yang dia banyak kali dengar adalah 'Nour Iman', 'revolusi', 'Jumaat' dan... 'bom'.

Itulah yang diberitahu kepada Laily petang semalam. Sejurus selepas Laily minta nombor telefon rumahnya.

Sayup-sayup azan Subuh kedengaran. Lantas Adam pergi ke paip air berhampiran untuk berwuduk.

(...)

"Mak, mesin basuh rosak lagilah," kata Nina. Dia tekan-tekan butang 'on' mesin basuh itu, namun tiada respon.

"Cuba cabut palam, lepas tu pasang balik," kata Puan Zaidah.

"Dah cuba. Tak mahu jugak."

Hana yang membawa satu bakul penuh pakaian kotor ke mesin basuh meletakkan bakul itu ke atas lantai.

"Kedai dobi layan diri, ada tak dekat-dekat sini?" Hana bertanya Nina.

"Ada, tapi jauhlah. Jalan kaki tak sampai," kata Nina sambil sengih. Dia tenyeh-tenyeh lagi butang-butang di papan pemuka mesin basuh itu, mengharapkan mesin basuh itu kembali berfungsi.

"Kita pergi sajalah. Cuaca pun mendung. Kalau dapat basuh pun, belum tentu sempat kering hari ni," kata Zel tiba-tiba, turut muncul membawa laundry bag berisi pakaian kotor milik keluarganya.

Hana dan Nina merenung tingkap. Benar kata Zel. Langit hari ini mendung.

"Macam mana nak sambung siasatan kita ni?" Hana menggumam perlahan.

"Siasatan?" Nina bertanya. Hana terdiam seketika.

"Er... Adalah. Hehehe..."

Nina pandang Hana, matanya dikecilkan.

Eh, dahlah. Kita pergi dobi layan diri sekarang. Lagi cepat pergi, lagi cepat siap, kan?" Zel tiba-tiba berkata.

Hana angguk laju. "Nina, kedai yang awak cakap tu, di mana ya?"

(...)

Bunyi notifikasi di telefon Hana dan Zel kedengaran sepanjang mereka bertiga di kedai dobi layan diri itu. Kebetulan pula sesampainya Hana, Zel dan Nina di situ, hujan mulai turun.

Nina hanya perhatikan sahaja gelagat dua sepupunya saling bermesej melalui aplikasi Whatsapp itu.

Ada masalah. Sini hujan.⛈ - Salleh

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now