17 (2)

137 10 2
                                    

"Jadi, apa yang Kak Hana mahu tanya?"

Laily duduk di bangku panjang menghadap taman permainan dalam bangunan Plaza Iskandar. Teh suam yang dibeli di kafe tidak jauh dari situ dihirup perlahan. Dia pandang Hana dan Zel yang duduk bersebelahannya.

"Macam mana kamu boleh tiba-tiba je ada di gudang tu semalam?"

Lama Laily merenung Hana.

"Kenapa akak berada di situ pula?"

Hana terus bungkam. Takkanlah dia mahu beritahu hal kebolehan 'nampak fikiran' kepada orang yang baru seminggu kenal.

"Ni ada kena mengena dengan abang penulis labil ke?" Laily bertanya lagi.

"Er... Penulis labil?" Hana kehairanan.

"Syam," kata Zel.

"Oh. Er... Yalah! Sebab dia ada di situ. Mudir pusat tahfiz buat dia jadi tebusan."

Laily masih merenung Hana, di wajahnya terpamer syak wasangka.

"Jadi, sebab abang tu, bukan sebab mudir. Begitu?"

Hana dan Zel angguk laju.

"Kenapa saya rasa... Akak berdua tipu?"

Hana dan Zel terkejut mendengar kata-kata Laily.

"Eh, mana ada tipu?" Zel mula menggelabah.

"Johan Hariz. Pembunuh aksara. Tu kan tujuan asal akak berdua di gudang tu. Saya tahu kaitan akak berdua dengan hal tu, saya pun ada dalam forum tu. Tapi, dia bukan orang yang akak cari. Dan... Abang penulis labil dijadikan tebusan ya? Tapi dia tiada kaitan dalam hal di gudang atau kes pembunuh aksara tu. Macam mana dia boleh terjebak?"

Hana hela nafas. Dapat menduga tujahan soalan itu. "Betul ke apa kamu kata masa di gudang tu?"

Laily masih merenung kedua-dua gadis itu.

"Akak cuba alih topik nampaknya..."

Hana dan Zel senyap.

"... Tapi, tak apalah. Ya, saya menyesal sebab saya jadi asbab kematian dia."

"Kenapa?" Zel bertanya hairan. "Kan bagus kalau dia mati? Kenapa menyesal pula?"

"Masalahnya, akak... Berbaloi ke kalau dia mati?"

"Ber... Baloi?" Zel kehairanan.

"Akak tahu kan, yang mangsa-mangsa dia semuanya langsung tak dapat pembelaan sewajarnya. Kes pula ditutup terus sebab suspek meninggal dunia tanpa sempat dibuktikan bersalah dan dihukum. Akak rasa... Berbaloi tak?"

Zel bungkam.

"Sebab tu awak cuba halang abang tu dari bunuh mudir pusat tahfiz tu? Sebab tak berbaloi kalau dia mati?" Hana terus bertanya. Laily angguk, mengiyakan.

"Saya yakin, Kak Hana perasan yang ada pelajar tahfiz dari institut Nour Mina tu ada mindset yang sama dengan mudirnya. 'Tiada yang benar melainkan yang benar belaka'. Guna istilah 'jihad' untuk membunuh."

Hana mengangguk. Laily hela nafas lemah.

"Kalau mudir pusat tahfiz tu meninggal, orang lain akan ambil tempat mudir itu dan teruskan misi yang ditinggalkan. Secara langsung, dia akan sebabkan kematian ramai orang di atas nama Islam. Tiada apa-apa yang berubah pun. Kematian dia nanti cuma untuk tangguhkan apa yang sepatutnya jadi semalam, bukannya hentikan terus. Pentaksub mindset mudir itu akan percaya, dengan kematiannya, jalan mereka betul dan jalan kita salah."

"Betul juga..." Hana menggumam perlahan. "Kita kena betulkan semula fahaman perosak agama macam mereka tu. Kematian takkan ubah apa-apa."

"Kalau dia mati... Semuanya jadi sia-sia. Macam kes pembunuh aksara tu."

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now