11 (4)

109 11 4
                                    

Andi dan Salleh duduk menghadap pantai yang kelihatan dari balkoni bilik tempat mereka menginap. Kecil sahaja saiznya, muat-muat mereka duduk di situ. Kelihatan matahari turun perlahan, hampir terbenam di horizon.

"Kau pasti kau nampak van tu?"

Andi angguk.

"Institut tahfiz tu dah terbakar. Berita pun dan tersebar. Mesti ibu bapa budak-budak tahfiz tu risau sebab anak mereka hilang," kata Salleh, matanya merenung ke arah pantai.

"Satu hal lagi. Kenapa van tu masuk paya? Ada apa di situ?" Andi garu dagu, berfikir.

"Nak report polis tak?"

"Entah. Sebab tak tahu van tu nak ke mana sebenarnya. Takkan nak kata 'van tu masuk hutan' je."

Lama mereka berdua bungkam. Berfikir.

"Nak contact Hana tak?" Andi memberi solusi.

"Boleh juga."

(...)

Kawasan pasar malam itu riuh seperti biasa. Pelbagai barang jualan kelihatan di situ. Makanan, pakaian, aksesori, buku, barangan dapur, malah VCD cetak rompak.

Hana, Zel dan Nina berjalan meredah lautan manusia itu, menuju ke ruang parkir. Beberapa bungkus plastik berisi barangan yang dibeli dijinjit.

"Wah, lagi meriah dari pasar malam dekat KST sana. Semua ada," kata Zel sambil mengeluarkan lampu suluh sebesar ibu jari dan sepanjang tiga inci dari dalam plastik. Sekali pandang macam botol minyak wangi mini rupanya. "Tak sangka lampu suluh taktikal pun ada di sini. Murah pula tu!"

Hana dan Nina hanya perhatikan sahaja gelagat Zel yang tersengih bagai kerang busuk. Zel pula menyelitkan lampu suluh di dalam saku seluarnya.

"Ha. Terletak elok. Tak payah risau kalau telefon bimbit habis bateri masa blackout. Lampu suluh ada."

"Hm. Yalah. Agaknya kalau gerai tu jual swiss army knife pun, awak beli," kata Nina sambil mencebik. "Yalah, Pak Ngah kan tentera. Abang awak pun tentera. Awak je terbabas tak dapat jadi tentera."

Zel jeling Nina. Nina terus sengih.

"Ye la. Sedar diri la ni. Nasib baik Abah bagi masuk sukan paintball. Dapatlah lepas gian nak menembak."

"Alololo. Zel merajuk," sakat Nina. Dia kemudian terus melarikan diri ke arah kereta.

"Nina! Siap kau!" Zel melaung. Dia pandang Hana yang sedang berbual dengan seseorang melalui telefon. Di wajahnya terpamer kerisauan. Seketika kemudian, perbualan ditamatkan.

"Kenapa, Hana?"

Hana pandang Zel.

"Syam. Dia hilang lagi."

(...)

Nizam sengih sendiri melihat hasil kerjanya. Tangannya yang berhabuk dikibas. Lelaki yang dipukul di luar bangunan gudang tadi masih tidak sedarkan diri. Terikat dalam balutan kain, tergantung di atas longgokan kotak-kotak yang tersusun secara tidak teratur, di dalam sebuah stor. Badannya terayun-ayun perlahan. Hujung kain yang melilit lelaki itu diikat kuat di rasuk kayu di atasnya. Tiada siling. Cuma rasuk sahaja kelihatan, merentangi bilik stor itu.

"Tak sangka kamu segigih ini, Nizam," tegur seseorang dari belakang. Nizam terus menoleh ke arah tuan empunya suara. Seorang lelaki bertubuh sederhana, berjubah dan berserban, sedang berdiri di situ. Kedua tangannya disilang di belakang.

"Walid!"

Lelaki itu senyum.

"Kenapa kamu buat dia begitu?"

"Sebab dia pergi mengendap Walid tadi." Telefon bimbit milik lelaki yang tergantung di dalam stor itu dikeluarkan dari saku. "Telefon tak dapat buka. Password. Jadi tak tahu kenapa dia mengendap Walid tadi. Tapi, tak macam polis pun. Pistol pun mainan."

'Walid' mengangguk mendengar penjelasan Nizam, lalu melangkah masuk ke dalam stor itu. Matanya merenung ke arah lelaki yang tergantung itu.

"Kamu tidak sepatutnya terjebak dalam semua ini, wahai anak muda," gumamnya perlahan. Wajahnya kekal tenang sewaktu dia dan Nizam berjalan meninggalkan bilik stor itu. Meninggalkan lelaki yang masih pengsan itu sendirian, tergantung di dalam stor itu.

(...)

Betul tak ada dengan awak? - Bray

Tak ada. - Salleh

Sini pun tak ada. - Zel

Nak report polis, kena tunggu 24 jam pula. - Hana

Bray yang sedang mundar mandir di koridor berhadapan biliknya garu kepala membaca balasan chat di kumpulan 'PCK 2.0' itu. Pameran buku akan tutup dalam dalam sejam lagi. Dan Syam masih hilang.

Dato' Azmi, Raz dan Safuan, masing-masing masih berada di Dewan Persada sekarang ini. Yalah, pameran buku. Tutup pameran, ambil masa dalam sejam untuk mengemas. Jadi, masih ada dua jam sebelum mereka menyedari kehilangan Syam itu.

"Aduh. Syam, mana kau? Apa aku nak jawab pada Pakcik Azmi ni?"

"Jawab apa?"

Bray tersentak lalu menoleh ke belakang. Rahangnya jatuh apabila ternampak seorang wanita yang sedang mengandung di pintu bilik yang separa terbuka, bersebelahan biliknya.

Datin Baizura. Ibu Syam.

"Bray, beritahu makcik. Kenapa dengan Syam?"

Bray telan air liur. Lidahnya kelu.

(...)

Hana meletakkan keretanya di petak yang disediakan. Haus pula tekaknya dek mencari rakan mereka nan seorang itu. Zel di sebelah sudah menanggalkan tali pinggang keledarnya, mahu keluar untuk ke restoran mamak di hadapan.

Nina ditinggalkan di rumah. Demamnya mula menyerang lagi. Gadis itu berselubung dalam selimut sewaktu mereka bersiap-siap mahu keluar.

"Beli air sajalah. Awak nak ke tandas, kan?"

"Ha-ah." Zel terus keluar dari kereta lalu berlari masuk ke dalam restoran itu. Hana hanya menggeleng melihat gelagat sepupunya itu.

Kereta dikunci, lalu Hana melangkah masuk ke dalam restoran. Dalam perjalanannya, seorang lelaki bertubuh besar merempuhnya secara tiba-tiba. Hana terduduk di atas lantai.

"Aduh..." Hana angkat kepala. Di wajahnya terpamer reaksi terkejut. Lelaki yang merempuhnya itu adalah lelaki bertubuh ala komando yang menyebabkan kematian budak tahfiz itu.

Ya. Dia cukup yakin akan itu.

Dan lelaki itu sedang merenungnya dengan pandangan tajam. Tiada langsung kata-kata yang keluar dari mulutnya. Lama mereka bertentang mata.

Lelaki itu kemudian berpaling, lalu meninggalkan restoran itu dengan tergesa-gesa. Membiarkan sahaja Hana di atas lantai restoran.

"Apa punya olang," cemuh seorang wanita Cina yang berada berhampiran, baru sahaja selesai membayar untuk roti canai yang dibelinya. Wanita itu membantu Hana bangun dari atas lantai.

"Terima kasih."

"It's okay. Don't mention it." Wanita itu juga berlalu pergi.

Zel datang seketika kemudian. "Eh, Hana. Tak beli lagi ke air?"

Hana pandang Zel. Diam. Dia terus ke kaunter air, membuat pesanan. Seusainya segala urusan, dia berjalan ke arah kereta, diikuti Zel. Masih membisu. Bungkusan teh ais dan milo ais dipegang sebelah tangan.

"Hei, kenapa dengan awak ni?" Zel rasa tidak sedap hati melihat gelagat pelik Hana itu.

Hana pandang Zel.

"Saya dah tahu, di mana dia."

"Dia?"

Hana terus masuk ke dalam kereta.

"Hei, beritahulah!" Zel menuruti Hana.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now