8 (4)

144 12 7
                                    

Papan tanda di luar pagar tempat itu dibaca. Suasana gelap, menyukarkan dia membaca aksara yang terpamer di situ. Usai membaca, dia terus pandang Zel dan Hana di belakang.

"Kau bergurau ke ni?"

"Tak."

Erzen renung Zel. Tajam. Lama.

"Aku seriuslah. Ibu saudara aku sendiri cakap yang dia suka lepak kat dalam tu."

Dia pandang semula papan tanda di hadapannya itu.

'Tanah Perkuburan Islam Sri Kaloi'.

Suasana di situ suram. Gelap. Bulan bersembunyi di sebalik awan tebal. Lampu jalan berkelip-kelip. Batu-batu nisan berceracak di sekitar tanah perkuburan itu. Situasi tipikal cerita seram Melayu.

"Jadi... Awak nak masuk ke?"

Erzen membisu. Langkah dibuka menghampiri pintu pagar tanah perkuburan itu. Sampai sahaja di situ, dia mencari selak untuk membuka pintu pagar.

Tiba-tiba muncul seseorang serba hitam, wajahnya disuluh lampu di tangannya sendiri, tercatuk di pintu pagar itu, menghadap Erzen. Dek terperanjat, dia berundur beberapa langkah ke belakang. Tangan kanannya siap memegang hulu pedang di pinggangnya itu.

"Hai," kata lembaga itu - Laily - dengan riak wajah tidak bersalah.

Hana dan Zel yang memerhati dari tepi jalan, turut terperanjat melihat kemunculan mendadak Laily itu. Hana terus beristigfar, manakala Zel terus tertawa sambil urut dadanya.

Erzen jeling Zel. Zel terus diam.

Hana berjalan menghampiri pintu pagar tanah perkuburan itu.

"Laily, buat apa dalam tu?"

"Kak Hana, boleh telefon polis tak? Telefon saya tertinggal," kata Laily bersahaja.

"Buat apa?" Hana bertanya sambil mengeluarkan telefon bimbit dari dalam saku seluarnya.

"Ada orang gali kubur."

"Ha?"

"Ada. Orang. Gali. Kubur," ulang Laily, satu-satu.

(...)

Inspektor Razlan mengeluh. Sibuk sungguh dia hari ini. Lepas satu, satu benda yang dia kena hadap. Tengah hari tadi, kes bom di hotel. Sekarang, kes orang mati dipancung dalam kedai runcit. Mayat lelaki yang dipancung itu sudah dibawa pergi. Tuan kedai pula masih lagi tidak sedarkan diri, dan sudah dihantar ke hospital.

Dia keluar dari lokasi kejadian yang sudah dipasang pita kuning. Matanya tidak lepas dari memandang unit forensik menjalankan kerja mereka di situ. "Apa lagi yang akan berlaku hari ini?"

Telefonnya berdering. Dia menjawabnya. Wajahnya terus berkerut.

(...)

Dua orang lelaki yang masih kepeningan kerana baru sedar dari pengsan digari dan dibawa masuk ke dalam kereta peronda polis. Zel sedikit emosional melihat kubur Azlin dibongkar. Nyaris dia tumbuk kedua-dua lelaki itu.

Menyedari rasa geram Zel yang membuak namun ditahan, Hana tepuk perlahan belakang Zel. Puan Zaidah, En. Affendi, Che Lan dan beberapa orang penduduk taman perumahan itu juga berada di situ selepas mendapat berita itu. Beberapa orang tolong mengambuskan semula liang lahad kubur yang digali itu.

"Che Lan, ada lagi ke pencuri kain kafan zaman sekarang ni?" Laily bertanya Che Lan yang baru sahaja keluar dari kawasan tanah perkuburan itu.

"Tak. Mereka bukan nak curi kain kafan, Laily. Mereka nak ambil benda lain. Selalunya, untuk ritual sihir."

"Sihir?"

Che Lan mengangguk. "Sihir je yang perlukan benda-benda tertentu ni. Rambut ke, kulit ke, serpihan papan keranda ke, tak pun helaian tali kain kafan. Lagipun... Si mati ni... Mangsa pembunuhan," kata Che Lan, separuh berbisik. Laily mengangguk faham.

"Kamu ke yang jumpa dua lelaki yang pengsan tu?" Seorang pegawai polis bertanya Laily.

"Ya."

"Boleh saya tahu, apa yang kamu buat di tanah perkuburan itu?" Pegawai polis itu bertanya lagi, bagaikan Laily salah satu suspek kejadian.

"Saja. Lepak. Tenangkan diri," kata Laily. Pegawai polis itu merenungnya skeptik.

"Tuan, Laily ni memang salah satu hobi dia, duduk melepak di kubur ni. Kadang-kadang dia tolong bersihkan kubur-kubur lama di sini. Saya jamin, dia tiada kena mengena dengan hal kubur dibongkar ni," kata Che Lan.

"Tapi, sekarang ni malam. Dia ni perempuan. Dan, tu kubur..." Pegawai polis itu garu kepala.

"Ada masalah ke, tuan?" Laily bertanya dengan wajah selamba.

Pegawai polis itu hela nafas dan berlalu pergi. Laily kemudian berjalan menghampiri Erzen, Hana dan Zel yang kini berada di pondok bas bersebelahan tanah perkuburan itu.

"Kak Hana, Kak Zel."

Hana dan Zel pandang Laily yang tunduk merenung jalan tar.

"Maaf. Kalau saya datang awal sikit, mesti saya sempat halang mereka," kata Laily perlahan.

"Tak apa, Laily. Akak sendiri pun tak jangka ada orang nak gali kubur kakak saudara akak tu," kata Hana sambil usap lembut kepala Laily. "Terima kasih."

Laily kaku seketika apabila kepalanya diusap, kemudian berundur setapak. "Jangan buat macam tu. Geli."

"Er... Maaf," kata Hana sambil sengih janggal.

"Saya balik dulu, ya," kata Laily. Dia mula berjalan meninggalkan kawasan pondok bas itu.

"Tunggu."

Laily berpaling, memandang ke arah tuan empunya suara itu.

"Aku nak tanya kau sesuatu."

Laily angkat kepala, bagaikan bertanya apa.

"Macam mana kau tahu pasal pengebom tu?"

Laily diam seketika. "Macam mana abang tahu pasal pengebom tu pula?"

"Sebab aku perasan gerak gerinya. Asyik berlegar-legar di hadapan hotel. Seolah-olah sedang tunggu sesuatu. Mencurigakan."

"Jadi, jawapan saya sama seperti abang," kata Laily selamba. Dia tunduk kepalanya seketika sebagai tanda hormat lalu menghilang dalam kepekatan malam.

"Kau..." Erzen mendesis, tidak berpuas hati dengan jawapan Laily itu. Serentak dengan itu, sebuah kereta Proton Saga hitam masuk ke simpang ke tanah perkuburan itu dan berhenti di hadapan pondok bas. Raz keluar dari kereta lalu menghampiri Erzen, berkata sesuatu. Butir bicaranya tidak didengari Hana dan Zel yang berada berhampiran.

Selepas mendengar apa yang dikatakan Raz, Erzen terus masuk ke dalam kereta. Hana kerut dahi. Dia perasan sesuatu. Erzen bagaikan patuh pada arahan Raz.

Raz pandang Hana. "Terima kasih sebab tengok-tengokkan adik saya. Maaflah kalau dia menyusahkan awak," katanya sambil senyum.

Hana angguk. "Sama-sama, abang Hendry."

Wajah Raz berubah. Terkejut. Zel terkedu mendengar kata-kata Hana. Hana hanya senyum.

(...)

"Serius la..."

Zel masih lagi tidak dapat menghadam apa yang keluar dari mulut Hana sesampainya mereka di rumah ibu saudara mereka.

"Jadi, 'orang lain' yang awak kesan masa di masjid hari tu, dialah ya?"

Hana angguk. "Hendry, abang Erzen. Macam tak percaya, kan?"

Zel diam seketika. Dia kemudian masuk ke dapur, mencari sesuatu.

"Mana panadol? Kepala saya dah pening..."

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now