5 (3)

157 13 3
                                    

Bray berlegar-legar di koridor tingkat 4 - tingkat di mana bilik mereka menginap - di Hotel Melati. Sesekali dia berjalan turun naik tangga, menunggu sesuatu. Telefon di tangan sentiasa diperiksa selang lima minit.

Tepat tengah malam, telefon berbunyi menandakan mesej masuk. Dengan segera Bray pergi ke arah tangga kecemasan, menutup pintu lalu memeriksa mesej.

Search 'Misteri Pembunuh Aksara',  'Azlin Binti Affendi' dan 'Johan Hariz Bin Datuk Latiff' di internet. Balas mesej ni dengan beritahu saya apa yang awak faham dari ketiga-tiga nama itu. - Hana KST.

Bray membuka apps Google Chrome, lalu membuat carian di internet. Dahinya berkerut seketika, menghadam maklumat yang didapati dari situ. Jarinya pantas menaip balasan mesej.

'Misteri Pembunuh Aksara' - senarai nama mangsa pembunuhan yang berlaku selama lima tahun, dan aktiviti terakhirnya adalah pada tiga tahun lepas. Dipanggil begitu kerana nama panggilan mangsa mengikut turutan huruf ABC. Si pembunuh gagal diberkas hingga kini.

Azlin Binti Affendi - seorang pelajar kolej komuniti dalam jurusan kek dan pastri, juga ahli pasukan paintball kolej itu, yang ditemui mati ditanam di ladang getah 7 tahun lepas.

Johan Hariz Bin Datuk Latiff - sorang kontraktor yang ditemui mati di tapak pembinaan disebabkan jatuh di dalam lubang yang dipenuhi besi cerucuk di tapak pembinaan 3 tahun lepas.

Jadi? - Bray.

Mesej balasan masuk lima minit kemudian. Balasan yang diterima itu sangat panjang.

Azlin tu, kakak saudara kami sebenarnya. Dan Johan pula, teman lelakinya sebulan sebelum dia ditemui mati. Dulu, setiap kali cuti sekolah, kami akan pulang bercuti ke kampung. Rumah Mak Lang, ibu Azlin, dekat saja dengan rumah arwah Nenek. Lagipun, kami rapat dengan Kak Azlin. Dia yang pengaruhi Zel untuk sertai pasukan paintball masa sekolah dulu, dan itu keputusan yang tepat. Sebab Zel memang mahir menembak.

Kak Azlin tak pernah ada teman lelaki. Johan ni pula, entah bagaimana dia kenal Kak Azlin. Tiba-tiba saja mereka jadi couple. Mulut Johan memang manis bak madu. Gentleman, bak kata orang barat. Pandai berpickup-line lagi. Zel pun terpaut.

Saya dapat kesan ada sesuatu yang tak kena dalam diri Johan, tapi disebabkan masa tu kebolehan saya tak berkembang sepenuhnya, saya cuma nampak cebisan saja. Macam jigsaw puzzle yang lompong sana sini. Tapi, yang pasti, petanda itu bukan sesuatu yang baik.

Saya cuba halang Kak Azlin untuk couple dengan Johan. Zel marah saya sampai kami tak bertegur sapa langsung, katanya saya cemburu melihat mereka bahagia. Zel tak tahu pasal apa yang saya nampak, dan dia juga tak tahu pasal kelebihan saya masa tu. Masa tu, ibu saya suruh saya rahsiakan kelebihan ini daripada semua, termasuklah Zel. Saya jadi serba-salah.

Kemudian, satu hari, Kak Azlin hilang tanpa kesan. Kami cari Kak Azlin merata-rata. Telefonnya mati, jadi kami gagal hubungi dia. Mak Lang berendam air mata, termimpi-mimpi Kak Azlin sedang minta tolong.

Tiga hari kemudian, kami jumpa Johan sedang bermesra dengan seorang perempuan di sebuah kedai makan di pekan sewaktu kami ke kedai, tolong nenek beli barang dapur. Zel apa lagi, dia serang Johan on the spot. Johan, anehnya, masih boleh tenang dan berkata yang dia dah putuskan hubungan dengan Kak Azlin pada hari dia dilaporkan hilang.

Masa itu, saya nampak sesuatu dalam mindanya. Ladang getah yang terletak 5 kilometer dari rumah Nenek. Cangkul. Tali. Pisau. Kain tudung yang terkoyak, cebisannya tersangkut di dahan pokok berhampiran pintu masuk ladang itu.

Saya tarik Zel, dan kami pergi ke ladang getah yang saya nampak dalam minda Johan itu. Cebisan kain tudung Kak Azlin masih tersangkut di situ. Jadi kami terus laporkan pada polis, dan misi mencari dibuat di ladang getah itu.

Masa matahari hampir terbenam, Zel tiba-tiba lari ke hujung kebun getah. Dia kata dia ternampak Kak Azlin di situ. Mungkin roh Kak Azlin sedang pandu arah kami masa tu. Sebab, macam itulah cara kami temui jenazah Kak Azlin yang dah tak ada rupa orang. Tertanam dalam tanah, berbogel, ada banyak kesan kelar di badannya, lehernya ada kesan jerutan.

Bray berhenti membaca. Whoa... Macam dalam novel misteri dah gayanya ni!

Dia mahu sambung membaca apabila telefonnya direntap seseorang dari belakang. Dia menoleh ke arah manusia yang mengganggunya itu. Mulutnya separa ternganga.

"Kau mesej siapa tengah-tengah malam ni?"

Aron lihat nama penghantar mesej. Dahinya berkerut. Lantas dia berlari masuk ke bilik.

"Woi! Telefon aku! Pulangkan balik!" Bray melaung, mengejarnya dari belakang. Aron pula masuk ke tandas lalu mengunci pintu. Jeritan Bray di luar tidak dipedulikan. Mesej yang terpapar di skrin dibaca.

Kami berdua kemudian sertai satu forum online. Rupa-rupanya, bukan Kak Azlin saja mangsa Johan tu. Ramai lagi. Anehnya, dia selalu terlepas. Tiada bukti yang membuktikan dia penjenayah yang dicari-cari itu.

Johan, secara jelasnya, seorang manipulator. Senang saja dia buatkan gadis-gadis di sekitarnya tergila-gilakannya. Kami yang dah tahu sikap sebenar dia tu, terus imun dengan dia.

Kami juga jumpa sesuatu. Teman-teman wanitanya, pangkal nama mereka mesti ikut urutan huruf. A sampai Z. Dan mereka akan mati selepas genap sebulan kenal dengan Johan ni. Kami pernah cuba beri amaran. Tapi, siapa nak percaya, kan?

Nama mangsa terakhirnya, Khadijah. Kemudian, keluar berita pasal kematian Johan tu, genap sebulan kemudian.

Disebabkan sifat sebenar Johan yang manipulate gadis-gadis innocent ni sebelum bunuh mereka itulah yang jadikan Zel macam sekarang ni. Jadi kasar sikit dengan lelaki.

Motif pembunuhan? Tiada. Dia memang gian nak membunuh perempuan saja agaknya. Sampai sekarang saya tak tahu apa motif dia. Lebih-lebih lagi lepas Johan dibebaskan, dia terus berpindah ke luar daerah dan kami berdua tak ada dengar khabar sampailah berita kematiannya tiga tahun lepas.

Rasanya, cukuplah sampai itu sahaja saya beritahu awak. Dah macam karangan pula bila baca semula. Panjang berjela. Padahal mesej. Lagipun... Kami dah mula ragu-ragu pasal sesuatu, dan bercadang untuk periksa semula perkara itu dari awal.

Pintu tandas dibuka, Aron terus berjalan keluar. Telefon Bray dicampak ke arah tuannya yang hampir tidak dapat menyambutnya. Dia terus berjalan ke arah katil lalu berbaring. Seketika kemudian, terdengar bunyi dengkuran dari mulutnya.

Bray terkebil-kebil. Bunyi mesej masuk kedengaran lagi. Dia terus melihat skrin.

Oh ya, jangan bagi Aron baca ya. Dia tak perlu tahu pun. - Hana KST.

"Alamak," kata Bray perlahan.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now