18 (3)

130 9 2
                                    

Pagi itu dingin, tapi cerah. Semester baru, merangkap semester akhir sudah bermula. Bas dari KBJ sedang bergerak menuju ke arah kawasan utama KST, melalui jalan yang dikelilingi pokok-pokok menghijau, balai cerap yang terletak di atas bukit dan tasik yang indah.

Andi membuang pandang ke tingkap di sebelahnya. Entah apa yang difikirkannya. Salleh di sebelah tepuk bahu Andi.

"Termenung apa tu? Teringat mak sendiri ke?"

Andi hanya senyum. Tiba-tiba kedengaran sayup-sayup bunyi anjing menyalak di belakang bas. Mereka berdua terus menjenguk ke arah tingkap. Begitu juga para penumpang bas yang lain.

Kelihatan seorang remaja lelaki bercermin mata, bersweater biru dan membawa beg sandang hitam di atas jalan, mengayuh basikalnya selaju mungkin. Basikalnya bergerak melepasi bas dan meluru laju terus ke hadapan, dikejar anjing-anjing hutan dari belakang.

"Er... Budak tu yang kayuh laju sangat ke, atau bas ni yang lambat bergerak?" Salleh bertanya dengan nada tidak percaya.

"Entah." Andi angkat bahunya.

(...)

Kawasan legaran Studio Alam Bina dipenuhi pelajar dari kursus Diploma Ukur Bahan. Dua buah kanopi dipasang di situ, lengkap dengan podium. Kerusi-kerusi siap disusun. Beberapa orang pelajar memeriksa sistem audio dan pendawaian kanopi itu.

"UKM?" Zel bertanya.

"Ya. Syam di UKM. Bray juga. Berapa kali nak tanya ni?"

"Kata pergi oversea," kata Zel ragu-ragu. "Mati-mati ingat dia ke INTEC."

"Awak rasa... Kenapa dia ubah fikiran?"

"Sebab..." Zel membisu seketika. "Okey. Faham."

"Lagi satu, hal pistol paintball hari tu, memang Aron yang ganti. Tapi dia tak explain pun."

Zel berhenti melangkah.

"Serius?" Zel melopong.

"Serius. Dah tanya Syam sendiri."

Zel angguk perlahan. Langkahnya disambung semula. Sekejap sahaja mereka nampak kanopi putih itu dari jauh.

"Betul ke Puan Zu suruh kita berkumpul di sini?" Zel bartanya Hana, mereka baru sahaja sampai di situ dari kafe Embun.

"Yup. Puan Zu sendiri yang maklumkan semalam," jawab Hana, mengambil tempat di salah satu kerusi di situ.

Hari ini, pelajar tahun akhir akan dipertemukan dengan pelajar tahun pertama. Disebabkan pada semester kelima semua pelajar Jabatan Alam Bina diwajibkan menjalani Latihan Industri, maka mereka tiada di KST sepanjang semester lepas.

Kedengaran riuh rendah di kawasan tempat letak kenderaan tidak jauh dari situ. Ada beberapa orang pergi ke sana, sama ada untuk membantu, atau untuk menyibuk.

"Apahal tu?" Seorang pelajar bertudung labuh dan berjubah hijau serta bercermin mata bertanya.

"Oh. Macam biasa. Fizi langgar pokok lagi, sebab kena kejar anjing dekat balai cerap sana," jawab seorang pelajar perempuan Cina berambut hitam keperangan dan mengenakan blaus kuning cair.

"Oh..." Pelajar bertudung labuh itu mengangguk lalu pergi ke arah kawasan kejadian - deretan pokok renek di tepi kawasan tempat letak kemderaan, tidak jauh dari bangunan studio. Kelihatan beberapa orang cuba membantu pelajar bersweater biru itu untuk mengeluarkan basikalnya dari celahan pokok.

Hana dan Zel pula terus sengih mendengar perbualan dua orang pelajar junior mereka itu.

(...)

"Macam mana LI dekat tempat bapa baru? Best?"

Andi yang sudah duduk di kerusi berhadapan Zel membisu apabila mendengar pertanyaan Zel itu. Hana yang duduk di sebelah Zel, dan Salleh yang duduk di sebelah Andi, terus merenungnya semacam.

"Zel...?"

"Betul apa? Mak dia kahwin baru seminggu sebelum kita LI, kan? Lagipun, bapa tiri dia tu pemilik sebuah syarikat tahap international. Mestilah nak tahu juga kan, macam mana sistemnya. Sama tak dengan LI di syarikat kontraktor atau konsultan biasa ke..."

Andi hela nafas. Dia kemudian senyum kecil.

"Hm. Biasa-biasa je. Tak banyak beza pun sebenarnya. Tapi... Masa awal-awal dulu banyak buat kerja remeh-temeh je. Bancuh airlah, lipat drawinglah, jaga kaunterlah, taip suratlah, fotostat dokumenlah..."

"Dah tu? Boleh pula lulus LI?" Salleh tiba-tiba bertanya. "Yalah, syarat nak ambil Projek Akhir kan kena lulus LI. Senior sebelum kita, kalau buat tu je, boleh fail LI."

"Hm. Lepas bawa laptop pergi pejabat sebab PC kena servis, terus semua orang layan saya macam staf biasa. Rasa pelik pula bila fikirkan."

Hana, Zel dan Salleh saling berpandangan.

"Cakap pasal 'bapa baru' tu... Malik dah okey tak?" Salleh terus bertanya.

Dua minggu sebelum perkahwinan Puan Ariana, Malik - yang baru sahaja tahu pasal hal perkahwinan itu - memprotes dan stalk bapa baru Andi selama dua hari satu malam. Salleh pula terjebak dalam misi stalking itu tanpa sengaja. Ambil masa yang lama jugalah untuk meyakinkan Malik yang bapa baru Andi itu tidak seperti yang disangka.

"Entah. Ibu tak ada kata apa-apapun. Abah pun sama. Hantar nota, langsung tak balas," kata Andi perlahan. "Nanti tanyalah dia sendiri."

"Uh... Okey."

"Semua pelajar Diploma Ukur Bahan, sila ambil tempat masing-masing. Kejap lagi majlis akan bermula," kata seseorang melalui pembesar suara. Para pelajar yang ada di sekitar studio mula bergerak ke arah kanopi.

(...)

"Baiklah, sekarang tiba giliran untuk pelajar tahun pertama untuk perkenalkan diri," kata Fairuz, ketua pelajar tahun dua yang juga menjadi pengacara majlis pagi itu.

Seorang demi seorang pelajar tahun pertama bangun dari kerusi, memperkenalkan diri secara ringkas. Andi tepuk bahu Salleh di sebelah apabila seorang remaja lelaki, yang mereka nampak semasa di dalam bas tadi, berdiri.

"Saya Ahmad Hafizi Bin Abdul Hakim, panggil Fizi saja. Saya berasal dari Johor," kata remaja bercermin mata itu.

"Eh, tu bukan ke budak yang kayuh basikal tak ingat dunia tadi?" Salleh berkata perlahan. "Dia junior kita rupanya!"

"Kecilnya dunia ni," kata Andi perlahan.

Mereka tidak ambil peduli dengan mereka yang lain, sehinggalah seseorang memperkenalkan dirinya. Nama yang membuatkan Hana dan Zel terus pandang ke arahnya. Wajah masing-masing terpamer reaksi terkejut.

"Nama saya Nurlaily Binti Abdullah."

Remaja perempuan serba hitam dengan selendang terlilit di leher itu sedang berdiri di kalangan pelajar tahun pertama.

"Boleh panggil saya Laily," sambungnya.

-TAMAT?-

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now