6 (3)

130 12 8
                                    

Salleh yang sedang menunggu lif bertembung dengan seorang lelaki berkot labuh dan berpakaian serba hitam dari kepala ke kaki, yang baru sahaja keluar dari salah satu daripada empat buah lif di situ.

"Wah! Awak pun join cosplay juga ke? Siap berkot panjang dengan bawa pedang lagi," tegur Salleh.

Lelaki itu diam.

"Ha, Abang Raz minta saya hantar nasi. Awak... Dah makan ke?"

Lelaki itu masih diam, matanya tajam merenung Salleh.

Sekejap.

"Awak... Bukan tengah cosplay, kan?" Salleh bertanya dengan berhati-hati setelah menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada lelaki di hadapannya itu.

Lelaki itu masih diam, menambahkan lagi suasana janggal di kawasan lif yang sudah tiada orang itu.

"Awak... Bukan Syam, kan?"

Masih diam.

"Aaa... Saya nak ke tandas kejap. Nak cari kawan," kata Salleh, sengih janggal, mula membuka langkah meninggalkan kawasan lif itu.

"Kau ada apa-apa yang tak puas hati lagi ke dengan aku?" Akhirnya lelaki itu bersuara.

"Erk!" Salleh kaku seketika di tempatnya mendengar soalan itu. Takkanlah dia dengar aku marah dia malam tadi?

"Aku dengarlah apa yang kau cakap malam tadi."

Oooh... Sugar honey iced tea! Dia dengar!

"Taklah. Tak ada. Betul tak ada. Er... Saya pergi dulu," kata Salleh sambil ketawa janggal, sebelum dia melarikan diri dari kawasan lif itu.

(...)

Salleh berlari ke arah tandas, hampir berlanggar dengan seorang lelaki yang sedang mengenakan kostum watak 'No Face', salah satu watak dalam 'Spirited Away', filem Studio Ghibli. Matanya menangkap seseorang baring terlentang di tepi koridor itu. Dengan segera dia menghampiri orang itu.

"Ya ALLAH, Andi!" Salleh terkejut melihatkan rakan baiknya itu tidak sedarkan diri di koridor berhampiran tandas itu.

"Hei, bangunlah!" Salleh goncang kuat badan Andi. Badan Andi sedikit tersentak, kemudian matanya celik. Dia terus bangun, duduk di atas lantai koridor. Salleh hela nafas lega.

"Ooh... Kenapa perut kita sakit ni?"

Wajah Salleh terus berubah mendengar nada suara yang agak kebudak-budakan itu. Andi yang berkerut wajahnya terus bangun dan berlari masuk ke dalam tandas, meninggalkan Salleh di luar.

Tak. Tu bukan Andi.

Sebab, dia guna kata ganti nama 'kita'.

"Aduh, Putra pulak keluar! Zel, mana kau?" Salleh terus pergi ke kafe yang terletak bersebelahan lobi hotel.

(...)

Putra yang selesai urusannya, keluar dari tandas lalu merayau-rayau di koridor menghadap kafe di lobi hotel.

"Mana Salleh ni? Tadi dia ada. Dia tinggalkan kita sorang-sorang kat sini ke?" Putra mencebik. Tidak tahu mahu ke mana, dia terus pergi ke tengah-tengah lobi hotel.

Matanya menangkap sesuatu yang diletakkan di antara pasu yang tertanam pokok renek dan tong sampah besi. Sebuah beg kembara berwarna hitam terletak elok di situ. Kepalanya terus terteleng sedikit.

"Beg apa tu? Nampak baru je?"

Dia menghampiri beg itu lalu membuka zip. Ada satu kotak sebesar kotak kasut, di permukaannya berselirat wayar. Di tengah-tengahnya ada skrin LED yang memaparkan kiraan masa. 30 minit 15 saat. 30 minit 14 saat. 30 minit 13 saat.

"WAH! BOM?"

(...)

"Zel, tolong aku..."

Zel yang baru sahaja menghabiskan kek keju blueberry yang dibelinya terus pandang Salleh, hairan. Wajah Salleh bagaikan hendak menangis.

"Kau kata nak hantar nasi. Tak hantar pun," kata Zel. Dia masih belum terkesan dengan keadaan Salleh itu.

"Malapetaka. Malapetaka. Kau kena contact Hana, sekarang! Hana ada dengan Bray, kan?"

"Apahal ni?" Zel tanya pelik melihat Salleh panik tak ingat dunia.

Salleh kunci mulut, angkat tangan kanan, lipat jari manis dan kelingking, jari hantu dan telunjuk yang lurus dijarakkan, ibu jari diletakkan di antara jari telunjuk dan jari hantu. Dia letakkan seketika tangannya di dagu sebelum gerakkan tangannya ke hadapan. Bahasa isyarat untuk 'kuning'.

"Putra keluar?" Zel tanya. Salleh angguk laju.

"Aduh. Bala dah datang. Tapi, apahal kena telefon Hana pula?"

Salleh terus tunjuk dua jari, jari telunjuk dan jari hantunya rapat. Kod 'pedang'.

"Alamak. Betul malapetaka."

Zel segera keluarkan telefon bimbitnya, mencari nombor telefon Hana dari senarai panggilan.

"Salleh, kau pergi cari Putra. Biar aku cari Erzen. Gerak sekarang!" Zel mengarah, sambil menelefon Hana.

"Okey!"

Serentak dengan itu, kedengaran riuh rendah di lobi hotel. Ramai orang berlari keluar dari hotel tersebut. Bunyi itu menarik perhatian Zel dan Salleh. Segera mereka berlari ke arah lobi.

Putra mencangkung, nampak tidak terkesan dengan huru-hara di sekelilingnya, sedang merenung bom jangka di hadapannya. Diperhati wayar-wayar yang berselirat itu dengan rasa takjub.

"PUTRA! Pergi dari situ! BAHAYA!" Salleh menjerit, meluru ke arah Putra. Zel toleh sekeliling. Dia ternampak kelibat seseorang berkot labuh hitam di luar hotel, sedang berlari, bagaikan sedang mengejar seseorang. Seseorang yang Zel dapat cam siapa.

"Salleh, aku gerak dulu!" Zel terus mengejar lelaki itu. Salleh pula cuba menarik Putra supaya ikut keluar dari kawasan lobi itu.

(...)

Hana berpeluk tubuh melihat Bray yang kelihatan serba salah sejak tadi di reruai Novel A'm St Holding itu. Sejak mereka berdua bertemu, mulut masing-masing terkunci.

"Awak dah terbagi dia baca, kan?"

Bray tersentak. "Awak nampak fikiran saya?"

"Tak payah ability tengok fikiran kalau badan awak sendiri yang tunjukkan. Dari tadi awak mengelak saja dari jumpa saya."

Bray sengih. "Maaf... Saya tak tahu bila masa dia ada di belakang saya masa tu. Saya dah pergi masuk area tangga kecemasan lagi..." Bray berkata, serba salah.

"Hm..." Hana pandang Bray tajam, tidak puas hati dengan jawapan itu. Telefonnya tiba-tiba berdering. Lantas Hana melihat siapa pemanggilnya.

"Zel?" Hana kerut dahi. Panggilan diangkat.

"Hello assalammualaikum..."

"Hana! SOS! SOS!" Suara Zel kedengaran sangat kuat hingga Bray dapat mendengar dan Hana terpaksa jarakkan telefonnya dari telinga. Berdesing telinga dibuat Zel.

"Zel, tenang! Kenapa ni?"

"Kod kuning! Kod pedang!" Suara kuat Zel di hujung talian bersulam dengan suara riuh rendah manusia-manusia lain. "Diulang, kod kuning! Kod pedang!"

Hana dan Bray saling berpandangan.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now