7 (1)

119 9 9
                                    

"Di Hotel Melati tengah kecoh. Ada bom kat sana! Aku tengah kejar 'kod pedang'. Salleh pula dengan 'kod kuning!" Zel berlari sambil memberi lintas langsung kepada Hana melalui telefon berkenaan apa yang sedang terjadi sekarang ini. Tidak jauh di hadapannya, kelihatan seorang lelaki serba hitam sedang mengejar seorang lagi lelaki bertubuh gempal yang berpakaian sukan.

"Okey, noted. Saya gerak sekarang!" Hana berkata di hujung talian. Talian diputuskan. Zel terus simpan telefonnya di dalam beg silangnya sambil berlari.

Zel kembali fokus kepada apa yang sedang dilakukannya - mengejar Erzen, yang sedang mengejar seseorang bertubuh gempal dan berpakaian sukan. Lelaki berpakaian sukan itu pula, sejak tadi mencampakkan bermacam-macam benda ke belakang - tong sampah, tin-tin kosong dan botol-botol - untuk melengahkan si pengejarnya. Sebahagian dari barang-barang yang dicampak itu tepat mengenai Erzen.

"Cis!" Pedang di pinggang dihunus, lalu Erzen mencantas apa sahaja yang dicampakkan ke arahnya sambil berlari. Barang-barang yang dicantas itu pula melayang ke belakang, hampir terkena Zel.

"Woi!" Zel menjerit apabila sebiji botol plastik yang terbelah dua nyaris terkena kepalanya. "Kot ya pun tengok la orang belakang!"

(...)

"Putra, kita kena pergi! Se-Ka-Rang!"

Putra buat pekak dengan kata-kata Salleh itu. Bom jangka itu diangkat, dibelek-belek dengan penuh minat. Dahinya berkerut sedikit. Didekatkan bom itu ke telinganya, lalu dia menggoncangkannya.

"WAH!" Salleh menjarakkan diri, takut kalau-kalau bom itu meletup dek perbuatan Putra itu. Namun, tiada apa-apa berlaku.

Putra melihat sekeliling sambil memegang bom jangka itu, mencari sesuatu. Dia letakkan kembali bom jangka itu di atas lantai lalu berlari ke arah kaunter. Dicari-cari sesuatu di situ. Tiada.

Putra terus berlari keluar dari hotel, diikuti Salleh yang sudah lega kerana bom itu tidak meletup dan Putra sudah keluar dari lobi hotel. Dia berlari ke arah kedai jahit di hujung deretan kedai di hadapan hotel lalu masuk ke dalamnya.

"Yeah! Ada pun!"

Dia terus menyambar sebilah gunting jahit buatan Jepun di atas meja lebar, tidak jauh dari pintu masuk kedai.

"Kakak, pinjam ni, ya!"

Putra keluar dari kedai jahit itu dan sambung berlari, meninggalkan tukang jahit yang terkedu dek guntingnya dibawa lari. Dia memintas Salleh yang mengikutnya sejak tadi lalu masuk semula ke dalam hotel.

"Alahai! Kenapa kau masuk sana balik?" Salleh tepuk dahi, lalu berpatah balik ke hotel.

(...)

Lelaki bertubuh gempal itu termengah-mengah mengambil nafas. Di hadapannya jalan mati, ada satu tembok besar dan tinggi yang menghalang laluannya. Di kiri dan kanan ada deretan rumah kedai lama setinggi dua tingkat. Dia berpusing, mahu keluar, namun satu susuk serba hitam berdiri di jalan masuk. Pedang di tangannya terhunus.

"Ini semua kau punya angkara, kan?"

Lelaki itu membisu, tidak mahu menjawab soalan itu. Dia menoleh ke sekitarnya, mencari apa-apa yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri. Sebatang besi diambil di atas jalan, lalu diayun membabi buta ke arah Erzen sambil berjalan mengundur. Dengan selamba Erzen mengelak serangan itu.

Badan lelaki itu berlanggar dengan tembok di belakangnya. Batang besi yang diayunnya sejak tadi pula ditangkap Erzen. Direntap batang besi itu lalu dicampak jauh ke belakang. Wajah lelaki itu pucat.

"Cakap! Siapa hantar kau? Apa tujuan kau letak bom di lobi hotel tu?" Pedang di tangan dihunus, bersedia untuk mencantas leher lelaki itu. Zel yang baru sampai terus kaku, memekup mulutnya.

Lelaki itu ketawa. Semakin lama semakin kuat tawanya. Erzen kehairanan.

"Tiada yang benar melainkan yang benar belaka!"

Baju sukan yang dipakainya ditarik ke atas, mendedahkan deretan bom yang diikat di abdomennya.

"Kalau kau bunuh aku, kau juga akan mati!"

(...)

Putra sambung membelek-belek bom jangka di hadapannya. Masa yang terpapar di skrin LED direnung lama. 25 minit 25 saat.

"Hei, kau tahu ke apa yang kau nak buat ni?" Salleh bertanya dengan nada risau. Tiada sesiapa pun selain mereka berdua di lobi hotel sekarang ini.

"Macam pernah nampak..."

"Apa maksud kau?"

"Litar bom ni. Macam pernah nampak. Awak tengok ni," kata Putra, mengorek keluar skrin LED dari permukaan bom jangka itu menggunakan gunting yang diambil di kedai jahit tadi. Salleh berundur sedikit dek ketakutan.

Skrin LED berjaya dikorek keluar, mendedahkan papan litar di bawahnya yang bersambung dengan berbelas jalur wayar beraneka warna. Apa yang jelas, ada empat jalur wayar berwarna kelabu, digam rapat, bersambung dengan sebuah kotak kecil berwarna hitam, yang bersambung pula dengan tiga buah silinder berisi bahan peledak.

"Salleh, meh la sini," ajak Putra.

"Kau... Korek benda tu. Kalau meletup, macam mana?"

"Tak. Takkan meletup punya," kata Putra, yakin. "Tengok ni."

Salleh yang teragak-agak berjalan menghampiri bom jangka yang masih berfungsi walaupun sudah separuh barai dikerjakan Putra. Dahinya berkerut melihat litar bom itu.

"Eh? Kenapa macam pernah nampak?"

"Kita pernah buat yang ni dulu," kata Putra selamba. "Tapi kita punya letak campuran kalium nitrat dengan glukosa je dalam silinder ni. Dia letak... Apa benda ni?"

"Serius?"

Putra angguk. Dia cuba korek isi kandungan silinder itu.

"Ei, jangan korek benda tu!" Salleh kembali menjauhkan diri.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now