1 (1)

589 22 12
                                    

Zel yang sedang duduk di atas katil tutup novel yang dipinjamkan Hana kepadanya - novel 'Kerana Aku Cinta Kamu' karya Syam Syahrul Azmi, yang dibeli sewaktu Expo Pustaka KST yang berlangsung bulan lepas. Wajahnya muram. Sesekali dia mengeluh lemah.

Hana yang baru sahaja selesai menyidai kain di ampaian hairan melihat Zel.

"Tu. Novel tu. Dah habis baca?"

Zel angguk perlahan. Dihulurkan novel itu kepada Hana. Hana meletakkan novel itu di atas mejanya.

"Awak simpan sajalah. Saya tak nak baca lagi."

"Hm. Awak masih teringat pasal hari tu, ya?" Hana bertanya. Masih segar di dalam memorinya peristiwa Zel terajang Aron Raiz sampai pengsan pada hari expo bulan lepas. Kasihan, tapi padan muka. Pergi kacau orang terdesak nak ke tandas, siapa suruh.

"Rasa bersalah pula bila dapat tahu hal sebenar. Nak minta maaf pada mamat tu, tapi entahlah..." Zel terus baring di atas katil.

"Awak terbayang dia sebagai 'orang tu', kan?" Hana berkata selamba. Baldi yang dibawa disimpan di bawah katil.

Zel angguk.

"Cuti mid-sem ni, ada kenduri tahlil arwah Atuk, Nenek dengan Kak Lin, kan?" Zel berkata perlahan, merenung siling.

"Yup. Takkan dah lupa yang mak ayah kita pesan tak payah beli tiket bas? Mereka kan kata, nak ambil kita di sini nanti. Sebab, rumah Mak Lang cuma sejam setengah saja dari sini. Sejalan pula tu KST ni dari rumah kita ke rumah Mak Lang."

Zel tersengih. Matanya masih merenung siling.

(...)

"Awak jemput kami berdua?" Salleh bertanya selepas tamat masa studio pada hari itu. Hana angguk.

"Alah. Kenduri tahlil je pun. Alang-alang kamu berdua stayback di asrama sepanjang cuti mid-sem ni. Boleh juga kalau nak tolong apa-apa yang patut."

"Awak serius ke jemput kami ni?" Andi tanya perlahan.

"Lah, kenapa? Bukan kenduri kahwin pun."

"Alah, buat-buat tak faham pula," kata Salleh. "Tak ingat apa Putra dah buat masa majlis kenduri abang awak enam bulan lepas?"

Semasa majlis kenduri kahwin Abang Farhan, abang Hana, Putra tiba-tiba terkeluar, bermain dengan unit audio sewaktu DJ majlis ke tandas, dan termainkan lagu 'bila Izrail datang memanggil' sewaktu pengantin berarak masuk ke dalam dewan. Sudahnya, sebaik sahaja majlis selesai, Abang Farhan masuk mod 'Hang Jebat mengamuk' dan pergi hambat Andi yang langsung tidak tahu apa-apa keliling dewan. Dengan keris kontot prop pengantin pula itu!

"Majlis tahlil, ya. Bukannya kenduri kahwin. Lain tu. Takkan la tak pernah pergi majlis tahlil?" Hana tanya sambil sengih. Apabila teringat peristiwa itu, rasa kelakar dan kasihan pada masa yang sama.

"Em... Tengoklah nanti," kata Andi perlahan.

(...)

Budak lelaki berjubah putih dan berserban itu menangis di tepi stesen minyak itu. Dia mencangkung, mengutip botol-botol kecil yang berterabur di atas jalan lalu memasukkannya ke dalam raga.

"Adik?"

Budak itu mendongak. Seorang lelaki berada di hadapannya, sedang memandangnya dengan wajah mesra.

"Mari, abang tolong," katanya lagi. Dia turut sama mengutip botol-botol yang berterabur itu. Sekejap sahaja semua botol-botol itu dikutip semula.

"Adik dah makan?"

Budak itu menggeleng. Lelaki itu mengeluarkan dompetnya lalu menghulurkan RM5 kepada budak itu.

"Ambil ni. Beli makanan. Ya?"

Budak itu terus senyum girang, lalu mengambil wang itu.

"Syam, buat apa tu? Jomlah. Nanti lambat pula nak check in," kata seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengisi minyak kereta.

"Okey, Papa," balas lelaki itu. Dia pandang semula ke arah budak lelaki itu. "Abang pergi dulu, ya."

"Abang, semoga hidup abang sentiasa dirahmati ALLAH," kata budak itu sambil senyum lebar. Lelaki itu senyum, terus berjalan masuk ke dalam kereta. Kereta itu kemudian keluar dari kawasan stesen minyak itu.

Budak itu melipat wang yang diberi tadi lalu memasukkannya ke dalam tabung yang terikat di pinggangnya.

"Kan dia suruh awak guna duit tu buat beli makanan?"

Budak itu terkejut mendengar suara itu. Matanya melilau ke sekitar stesen minyak itu. Seorang remaja perempuan bertudung dan berpakaian serba hitam dengan selendang terlilit di leher sedang berdiri di sebalik pokok-pokok renek berhampiran sambil berpeluk tubuh. Matanya tajam merenung budak itu.

"A... Akak... Bila masa..."

"Awak tak amanah. Orang yang tak amanah adalah orang munafik," kata remaja itu dengan nada mendatar. Dia berjalan menghampiri budak itu. Budak itu kaku di tempatnya.

Remaja itu keluarkan sebungkus coklat Cloud9 dari sakunya, membuka bungkusan sambil berjalan, lalu menyumbat seluruh coklat itu ke dalam mulut budak itu. Hampir tercekik budak itu dibuatnya.

"Dengar cakap akak. Cepat keluar dari 'situ'. Faham?"

Budak itu hanya membisu. Remaja itu sambung berjalan dan menghilang di sebalik pokok-pokok di tepi jalan.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now