11 (2)

116 11 5
                                    

"Hmm... Cari lelaki tu?" Salleh tunding ke arah imej lelaki yang melarikan diri di dalam video yang dipause itu.

"Ya."

"Mana nak cari dia?"

Hana membisu. Ya tak ya. Mereka bukan tahu sangat selok belok kawasan ini. Sudahlah jalan di sini berselirat. Silap haribulan terbabas sampai tanah perkuburan lama, atau perkampungan orang asli.

"Oh? Selalu je jumpa pakcik ni dekat pasar malam. Muka ketat macam nak makan orang. Macam komando tentera."

Hana dan Zel terus menoleh ke belakang. Terkejut dengan teguran mendadak itu. Manakala, mereka yang lain kehairanan.

Seorang gadis berhoodie dan memakai selendang di kepala, kedua-duanya warna merah jambu, berdiri di belakang Zel, sedang melihat apa yang terpapar di skrin komputer riba itu. Topeng muka kain yang menutupi sebahagian wajahnya ditarik ke bawah.

"Nina!" Zel berkata, rasa terkejutnya masih belum reda.

"Bukan demam awak belum kebah ke?" Hana bertanya pula.

"Dah kebahlah. Cuma selsema saja yang belum hilang. Tu yang bertopeng. Tak nak jangkitan merebak. Kot ya pun meeting misi mustahak, buatlah tempat tersorok sikit," kata Nina sambil sengih.

Hana dan Zel saling berpandangan.

"Siapa tu?" Andi tanya.

"Em..."

Hana dan Zel pandang pula setiap orang di meja itu, sebelum pandang Nina yang masih sengih.

Sekarang, bagaimana?

(...)

Sebuah fail poket hitam yang diguna untuk menyimpan sijil itu ditarik keluar dari rak buku. Dibawa fail itu ke katil. Fail itu dibuka sebaik sahaja dia duduk di atas katil single itu.

Keratan-keratan akhbar yang bersusun secara kronologi itu dilihat satu-persatu. Bermula dengan kes penculikan yang berakhir dengan agak pelik, kematian seorang pengawal keselamatan sekolah disebabkan dilanggar lori sewaktu mengejar dua orang murid, kehilangan kapal terbang MH620 yang berada dalam perjalanan pulang ke tanah air dan masih kekal misteri hingga kini, kemalangan jalan raya yang mengorbankan sepasang suami isteri dan si anak cedera parah di kepala, kes homisid beberapa orang gadis, dan berakhir dengan berita kematian Johan Hariz.

Laporan berita terakhir itu direnung lama. Nafasnya dihela lemah.

"Kalaulah semuanya lancar pada masa itu, adakah jiwa yang rosak itu dapat pulih kembali?"

Fail itu ditutup dan diletakkan di tepi. Lalu dia berbaring, melelapkan matanya.

"Atau... Adakah jiwa itu akan jadi semakin rosak, dan gagal dikembalikan kepada fitrah asalnya?"

Dia letakkan lengan kirinya di atas dahi. Tidak lama kemudian, dia dibuai lena.

(...)

"Malam ni?"

Nina angguk. "Malam ni ada pasar malam. Tapi dia selalunya muncul waktu gerai tengah set-up. Dalam pukul 4 ke 5 macam tu. Lepas tu dia tinggalkan gerai itu, dan biarkan budak-budak tahfiz yang uruskan. Dalam pukul 8 malam nanti, dia mesti muncul semula, untuk kemas gerai."

"Mana awak tahu?" Salleh bertanya pula.

"Ayah saya berniaga air di pasar malam secara part time. Kadang-kadang saya ada sekali, tolong sikit-sikit. Hm... Sementara tunggu result STPM, apa salahnya cari duit lebih, kan."

"Ooh... Ingatkan kau buat STPM lain," kata Zel dengan nada bergurau.

"STPM lain?"

"Alah. 'Sijil Tunggu Pinang Meminang'. Bukan kau kata nak kahwin lepas STPM ke?"

Nina mencebik tidak puas hati. Mereka yang mendengar hanya sengih mendengar lawak hambar Zel itu.

"Dah break up la."

"Eh? Bila?"

"Bulan lepas."

Zel sengih. "Biasalah. Lelaki. Bila couple, mereka pandang kita ni macam piala pusingan. Dapat yang baru, terus pass yang lama dekat orang lain."

Keempat-empat lelaki di meja itu terus tenung Zel, tidak puas hati.

"Hei! Kami putus bukan sebab dia jumpa orang lainlah! Awak nak tahu satu perkara? Ex-boyfriend saya terlantar di hospital sekarang ni, sebab makan jamu, tahu? Jamu tu budak-budak tahfiz yang dijaga pakcik ni la yang jual. Boleh rawat asma, sawan dengan penyakit kronik, katanya. Makin teruk, adalah! Rosak sebelah ginjal jadinya. Dan, kami break up pun, sebab ni la. Dia siap suruh saya cari orang lain lagi," kata Nina, sedikit emosional.

"Baguslah! Kuranglah dosa korang sebab dekati zina," kata Zel. Nina terus tepuk bahu Zel, geram.

"Oh, tu yang awak perhatikan dia ni ya?" Bray mencelah. Nina angguk.

Andi yang melihat skrin telefon bimbitnya tiba-tiba angkat kepala. "Tapi kan, saya tak rasa pakcik tu akan pergi ke sana malam ni."

Telefon bimbitnya dihulur kepada Hana. Hana dan Zel melihat apa yang terpapar di skrin.

'Institut tahfiz terbakar.' Itu yang terpapar di skrin telefon bimbit itu.

"Cis. Jalan mati lagi!"

(...)

Nero renung dua dari tiga skrin komputer yang diletakkan sebelah menyebelah. Di skrin pertama, terpapar peta yang ditunjukkannya kepada Tuan Alex tadi, manakala peta keseluruhan bandar di skrin kedua. Matanya ralit merenung enam bintik putih yang kesemuanya berada di koordinat yang sama. Skrin ketiga pula memaparkan menu desktop.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dari saku, lalu dia menaip sesuatu.

Saya tak faham. Kenapa Tuan Alex suruh saya stalk enam manusia ni secara maya? Awak ada idea? - F/N😼

Butang send ditekan. Nero sambung perhatikan apa yang terpapar di skrin itu. Tidak lama kemudian, mesej masuk.

Encik Alex perasan ada something wrong dalam kes Exotika. Rasanyalah. - Laily🌌

Something wrong? - F/N😼

Yep. Dia dulu ada tolong ASP Iskandar dalam kes itu. Dia rasa macam ada benda yang tertinggal. Ada mayat kena pancung dalam hutan tu. Dia syak itu kerja salah seorang dari mereka. - Laily🌌

Mayat dalam hutan? Pelayar internet dibuka, kes Exotika dicari menggunakan enjin carian Google. Dengan teliti dia baca artikel yang terpapar di skrin.

Awak rasa, antara enam orang ini, yang mana satu? -F/N😼

Saya tak tahu. Tapi... - Laily🌌

Tapi? - F/N😼

Saya rasa saya pernah jumpa dia. Rasa sajalah. Sebab saya tak cukup yakin lagi. - Laily🌌

Hm. 'Tak cukup yakin'. Ini ayat saya, bukan ayat awak. - F/N😼

Saya cuma katakan apa yang benar. - Laily🌌

Nero pandang semula skrin komputer. Kedua telapak tangannya dirapatkan ke dagu yang masih bertutup dengan baju sejuk. Berfikir.

Telefon Nero tiba-tiba berbunyi. Skrin dilihat. Ada mesej baru.

Makcik Sal tahu tak pasal apa yang awak buat ni? - Laily🌌

Syy. Diam-diam sudahlah. - F/N😼

Jadi, dia tak tahu, kan? - Laily🌌

😅 - F/N😼

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now