2 (2)

230 13 7
                                    

"Hana, akak cemburu dengan awak, tau."

Hana pandang Azlin, terkebil-kebil. "Kenapa pula, Kak Lin?"

"Yalah. Macam mana awak uli tepung tak melekit? Akak buat doh pastri selalu tak menjadi," kata Azlin sambil lihat adunan tepung dalam mangkuknya. Sudah macam tepung cucur rupanya.

"Akak sukat betul-betul tak?"

"Akak tengok resipilah ni. Selalu doh ni tak jadi."

Hana periksa adunan tepung dalam mangkuk itu. Diambil tepung gandum di sebelah lalu dimasukkan sedikit demi sedikit. Sesekali diuli doh itu supaya sekata. Sekejap sahaja doh pastri Azlin berjaya diselamatkan.

"Akak main tuang air ni. Patutnya letak sikit-sikit," kata Hana.

"Ooh..." Azlin mengangguk. "Akak yang belajar course kek dan pastri, tapi belajar uli doh dengan budak sekolah. Akak... Loser."

"Taklah. Akak bukan loser pun. Akak cuma..."

"Cuma apa?"

"Cuai." Hana sengih. Dicalit sedikit keju krim di hidung Azlin.

"HANA!"

(...)

"Nina!"

Nina pandang ke arah pintu pagar. Seorang wanita muda berdiri di pintu pagar. Di wajahnya terpamer rasa risau.

"Kak Suria, ada apa?" Nina bertanya. Zel dan Hana yang baru sahaja keluar rumah terus pasang telinga.

"Ada nampak Laily tak? Akak cari dia sejak pagi tadi, tak jumpa."

"Kat kubur tak ada ke?"

Suria menggeleng.

"Pelik. Kan dia selalu lepak sana?"

"Siapa Laily?" Hana tiba-tiba mencelah. Dia pandang mata Suria dalam-dalam. Terpapar imej seorang remaja perempuan serba hitam dengan selendang terlilit di leher dalam mindanya. Tidak banyak yang dapat dikorek. Mungkin minda Kak Suria hanya fokus untuk cari remaja itu saja agaknya.

"Oh. Dia adik kakak ni. Umurnya dua tahun muda dari kita. Perangai dia pelik sikit. Suka sangat lepak di tanah perkuburan dekat dengan jalan masuk sana," kata Nina.

Hana angguk.

Seorang lelaki separuh abad tiba-tiba muncul. "Suria, cari Laily, ya?"

"Che Lan! Terperanjat Su!" Suria urut dadanya dek terkejut dengan sapaan secara tiba-tiba itu.

"Mari. Che Lan dah jumpa dia. Dia stress sangat agaknya tu," kata Che Lan.

"Mana?"

(...)

Penutup keranda itu diangkat. Kelihatan seorang remaja perempuan serba hitam dengan selendang terlilit di leher sedang lena di dalamnya. Rahang Nina, Zel dan Hana jatuh. Suria dan Che Lan masih kekal selamba.

"Dia... Tidur dalam tu." Zel garu kepala, tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

"Macam mana dia masuk sini?" Suria bertanya Che Lan.

"Che Lan nak bersihkan van jenazah ni. Kotor. Agaknya dia masuk masa van ni tak dikunci tadi. Sedap pula dia tidur dalam tu ha."

Suria masuk ke dalam van, menggoyangkan badan remaja yang lena dalam keranda itu.

"Laily, bangun. Mari balik, tidur di rumah."

Laily terjaga dari lena, menggeliat sedikit lalu duduk. Dia pandang Suria, riak wajahnya kosong.

"Jom," ajak Suria. Laily menurut. Mereka berdua sama-sama keluar dari van jenazah itu.

"Er... Adik?" Hana menegur Laily. Laily terus pandang Hana. Lama.

"Kenapa?" Laily bertanya. Hana tersentak.

"Er... Tak ada apa-apa..." Hana tergagap-gagap. Suria dan Laily sama-sama berjalan pulang ke rumah.

Setelah dua gadis itu hilang dari pandangan, Hana terus kerut dahi. Zel merapati Hana, hairan dengan reaksi Hana itu.

"Hana, apa yang awak nampak?" Zel bertanya dengan nada berbisik.

"Pelik."

"Kenapa?"

"Saya..." Hana pandang Zel. "Saya tak boleh nampak fikiran budak tu."

"Eh?"

(...)

Hana pandang ke arah langit biru. Mindanya berputar ligat. Ini kali pertama dia gagal nampak fikiran orang lain. Rasa hairan semakin membuak dalam hatinya.

"Hana, awak okey?" Zel menegur Hana yang kekal begitu di halaman rumah sejak sejam lepas.

"Zel, pilih satu nombor," kata Hana tanpa memandang Zel.

"Ha?"

"Buat saja. Jangan beritahu saya apa nombor yang awak pilih tu."

Zel diam seketika. "Dah."

Hana pandang mata Zel. "3.142. Betul, kan?"

"Tepat," kata Zel sambil sengih.

"Hm... Jadi, bukan sayalah yang bermasalah sekarang ni..." Hana menggumam perlahan, kembali merenung langit.

"Awak pelik pasal budak Laily tu ke?" Zel tanya. Hana angguk.

"Dia orang pertama yang saya tak dapat nampak fikirannya. Tak ke pelik?"

"Hm... Mungkin wujud orang yang imun dengan mereka yang ada sixth sense macam awak, kot..." Zel menduga.

Hana pandang Zel. "Satu hal lagi. Kenapa 3.142? Nak minta saya buat pai keju blueberry ke apa?"

Zel sengih. "Pai besar sangat."

"Yalah, yalah. Esok, sebelum ke pameran buku dengan Nina, kita pergi beli bahan-bahan buat tart keju blueberry yang awak nak sangat tu. Kena juga tanya Mak Lang, oven dia elok lagi tak."

"Yeah! Bagus! Dah lama tak makan tart yang awak buat!" Kedua tangan Zel dijulang ke udara. Nampak benar dia teruja menunggu hari esok.

Hana hanya senyum melihat gelagat Zel itu.

(...)

Seorang lelaki berbangsa Cina sedang berdiri di hadapan sebuah banglo yang kelihatan tidak terurus. Anehnya, banglo itu berpenghuni. Kelihatan beberapa orang berjubah dan berserban berlegar-legar di tingkap. Ada sebiji van putih dengan tulisan 'Institut Tahfiz Nour Mina' di sisinya diletakkan di tempat letak kenderaan banglo itu.

Dia pandang ke hujung jalan itu. Kelihatan sebuah balai polis tersergam di situ. Dia pandang semula ke arah banglo itu.

"Kalau betullah maklumat yang aku dapat tu, ini..." Katanya perlahan, "...adalah benda paling ironi pernah aku nampak seumur hidup aku."

Lelaki itu kemudian berlalu pergi dari situ.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now