Johan Hafez tersentak dengan kata-kata Zel itu. Dia kemudian merenung tajam ke arah Zel.

"Saya jangka... Kamu yang halang orang saya hari itu. Bukan begitu?"

Zel membisu. Hana pula ketap gigi.

"Kenapa nak bom hotel tu? Juga Dewan Persada? Kan ramai orang awam di situ?" Hana bertanya pula.

"Hm? Orang yang menafikan kebenaran itu yang kalian bela?" Joham Hafez terus senyum. Senyuman yang mendatangkan rasa seram dek tenangnya senyuman yang dilemparkan itu.

"Mereka menafikan kebenaran. Tidak mahu menurut ajaran Islam yang sebenar. Jadi, mereka musuh agama. Mereka harus mati!"

"Walaupun ada staf, pengunjung dan pelanggan yang juga orang Islam di dalam hotel dan dewan itu?"

"Ya, kerana bersekongkol dengan musuh agama."

Hana dan Zel terkedu. Serius la logik mamat ni!

"Apa yang buat kau fikir kau tu betul sangat? Kau berpegang dengan apa? Rasanya dalam Al-Quran tak ada suruh bunuh golongan yang kau gelar 'musuh agama' ni!" Zel membidas.

"Al-Quran!"

"Penipu! Mana ada?"

"Ada! Surah At- Taubah, ayat kelima!"

Johan Hafez menarik nafas lalu membaca ayat tersebut.

"... Maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kau menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga kepunglah mereka, serta tunggulah mereka di tempat-tempat mengintipnya..."

Hana dan Zel terdiam.

"Maka, demi ALLAH, saya akan teruskan misi ini. 'Nour Iman' tak akan gagal! Dan kamu berdua," Johan Hafez menunding ke arah Hana dan Zel, "patut mati bersama mereka!"

Tiba-tiba, angin kuat berhembus ke arah Hana dan Zel. Kedua-dua mereka memejamkan mata, mengangkat tangan, menahan impak angin kuat tersebut.

Serentak dengan itu, Zel merasakan lengan kirinya pedih. Dia terkejut apabila menyedari ada luka yang panjang di bahagian atas lengan kirinya, lengan bajunya turut terkoyak.

"Bila masa..."

Hana turut menyedari yang bahagian bahu kanan bajunya ada kesan koyakan. Bagaikan dicantas pedang!

"Takkanlah dia..."

Hana tenung mata Johan Hafez. Dia tersentak.

"Masalah. Masalah besar!" Gumamnya perlahan. "Dia pun ada 'kelebihan' juga!"

"Hah?"

"Baru sedar?" Johan Hafez menggumam perlahan. "Ah, saya sangat-sangat jarang gunakannya. Nak kata tak pernah guna pun boleh juga."

Dia melihat tangan kanannya tanpa perasaan.

"Hm. Ini juga yang membezakan kami berdua. Abang bijak pandai, mulut manis, dan menjadi harapan keluarga. Saya pula... Si lembab yang dihantar ke sekolah pondok sebab memalukan keluarga. Atau menakutkan mereka?"

Pisau belati dikeluarkan dari sakunya.

"Rasanya, saya menakutkan mereka."

Pisau itu dibaling dengan selamba ke arah Zel. Zel cuba mengelak, namun bilah pisau itu mencalarkan lengannya. Senapang terus terlepas, jatuh ke atas lantai, dek terkejut dengan kepantasan balingan pisau itu.

"ARGH!"

Pandangan mereka berdua kembali fokus ke arah Johan Hafez. Ada sesuatu tercacak pada mata kanannya. Darah keluar dengan banyak. Johan Hafez terduduk sambil mengerang kesakitan.

"Pen? Pen siapa?"

Dalam kegelapan, muncul seorang lelaki, dengan hud hoodie ternaik, berjalan ke arah Johan Hafez dengan tenang.

"Aron?" Zel berbisik.

"Tak."

"Dah tu? Takkanlah Syam pula?"

"Masalahnya..." Hana pandang Zel, wajahnya pucat. "Itu memang dia..."

(...)

Kaki Laily menjejak bahagian bangunan gudang di mana bahagian rasuk dan kekuda bumbung bersambung. Nafasnya termengah-mengah. Penatnya masih belum hilang.

"Harapnya koordinat ni tak salah," gumam Laily perlahan, sebelah tangan memaut tiang gudang itu untuk menstabilkan diri. Sebelah tangannya lagi menyimpan sesuatu yang seakan sebuah yo-yo berwarna hitam dalam sakunya.

"Sekarang, di mana..."

"ARGH!"

Jeritan itu mengejutkannya. Dengan segera dan berhati-hati, dia berjalan ke arah suara itu. Dari tempat dia berada kini, kelihatan jelas Johan Hafez sedang duduk di atas lantai, mata kanannya ditusuk pen, darah membasahi wajahnya.

"Ya ALLAH!" Laily berbisik. Tangannya menggeletar. Nafasnya kencang. Sesuatu menerjah mindanya. Kakinya tiba-tiba terasa lemah. Dengan segera dia berpaut pada tiang, cuba seboleh mungkin untuk bertenang, menstabilkan diri.

Seorang lelaki berjalan menghampiri Johan Hafez. Langkahnya tampak tenang.

Orang yang sama dalam mimpinya itu.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now