"Laily, kalau nak menangis, buat saja."

"Tapi... Menangis... Itu kerja sia-sia..."

"Tak. Tak sia-sia. Itu... Menunjukkan yang... Awak masih punya jiwa."

Laily diam. Kedua matanya terpejam. Dan, air matanya terus jatuh ke bumi dengan deras.

(...)

"Apa yang buatkan kamu fikir saya akan percaya dengan alasan kamu itu?"

Tuan Alex berpeluk tubuh, menghadap tiga belia di hadapannya. Tumpuannya kini terarah ke lelaki yang baru sahaja membersihkan pennya yang tercampak tadi.

"Betul, tuan. Kami nak selamatkan dia tu. Dia kena perangkap dengan mudir pusat tahfiz tu," kata Zel bersungguh-sungguh, sambil menunding je arah lelaki yang kini menyimpan pennya di sakunya - Syam, yang sejak tadi membisu. Masih terkejut sebab tiba-tiba kena lempang agaknya.

"Sambil angkut senapang?" Mata Tuan Alex kini berada di senapang yang diletakkan di dinding, betul-betul di belakang Zel.

"Er..." Zel sengih. "Itu untuk pertahanan diri. Takkanlah nak biar diri sendiri kena tembak, kan? Lagipun, bukan saya punya."

Tuan Alex hela nafas sambil menggeleng lemah.

"Kamu tahu tak, mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, menggunakan senjata api tanpa lesen boleh sebabkan kamu dipenjara sekurang-kurangnya lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat?"

Zel ternganga. "Seriuslah, tuan!"

"Serius. Tiada ikat jamin. Terus jatuh hukuman jika didapati bersalah."

Zel garu kepala, tiba-tiba terasa resah.

Hana sejak tadi memerhatikan Tuan Alex. Banyak juga maklumat yang dapat dikorek berkenaan apa yang sedang berlaku sekarang ini - 'Nour Iman'. Tetapi, semua itu masih tidak menjawab satu persoalan yang masih bermain di benaknya - berkenaan penglibatan Laily dalam hal ini.

"Tuan, boleh saya tanya?" Hana tiba-tiba bersuara. Tuan Alex terus pandang ke arah gadis bertudung itu.

"Kamu sememangnya sedang bertanya."

"Er... Ya..." Hana terus mengangguk. "Apa kaitan Laily dengan semua ni?"

Riak wajah Tuan Alex sedikit berubah.

"Macam mana kamu kenal dia?"

"Dia..." Hana terus terdiam. Maklumat baru diperolehi. Namun, maklumat itu tiada kaitan langsung dengan 'Nour Iman'. Sebaliknya...

"Kenapa dengan dia?"

Soalan Tuan Alex menyentap Hana dari fikirannya. "Er... Maaf, tuan. Laily tu jiran ibu saudara kami. Ada jugalah berbual dengan dia. Tak sangka dia pun terlibat dalam hal ni," kata Hana kemudiannya.

Tuan Alex mengangguk. Terlupa pula yang ibu saudara kedua-dua gadis itu berjiran dengan Laily. Sesekali dia melihat ke arah telefon bimbitnya. Sebelum dia menghadap tiga belia itu, dia cuba hubungi Laily namun tidak dijawab. Ada seculi rasa risau di hatinya.

Telefon Tuan Alex tiba-tiba berbunyi, lalu dia menjawabnya dengan segera. Usai bercakap di telefon, dia memanggil salah seorang pegawainya.

"Kamu berdua," kata Tuan Alex sambil menunding ke arah Hana dan Zel, "kamu ikut pegawai ini ke balai untuk diambil keterangan. Kamu pula..." Kali ini tangannya ditunding ke arah Syam. "Ikut saya. Sekarang."

Tuan Alex terus berjalan laju ke arah keretanya, diikuti Syam yang masih hairan.

"Er... Ke mana?"

"Hospital. Ini... Pasal ibu kamu. Mari."

"Ibu saya? Kenapa?"

Tuan Alex terus masuk ke dalam keretanya tanpa menjawab.

(...)

"Terima kasih, encik polis."

Pegawai polis itu hanya mengangguk sambil memerhatikan dua gadis itu berjalan keluar dari balai. Nina sudah menunggu di luar, badannya masih menggeletar. Hairan seketika mereka dibuatnya apabila mendapat tahu Nina turut berada di situ, kerana menjadi saksi kemalangan ngeri.

"Kau okey tak ni? Kalau tak, biar aku je bawa kereta," kata Zel.

Nina menyerahkan kunci kereta kepada Zel. Zel sentuh dahi Nina. Panas.

"Kau demam-demam ni keluar bawa kereta?"

Nina hanya senyum tawar.

"Zel, boleh tak singgah kedai kejap? Nak beli bahan buat kek non-bake pula kali ini," kata Hana tiba-tiba.

"Boleh je. Tapi kenapa tiba-tiba nak buat kek?" Zel bertanya, kehairanan. Mereka berdua nyaris mati ya! Boleh pula tiba-tiba nak buat kek.

"Sebab nak jadikan asbab nak jumpa Kak Suria."

"Kenapa dengan Kak Suria?" Nina tiba-tiba bertanya.

"Adalah. Nak periksa sesuatu kejap."

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now