"Dan mereka berdua ni juga ada di sana," sambung Hana, menunding ke arah dua lelaki itu. "Mereka yang hantar budak tu pergi hospital. Sayangnya, dia tak sempat diselamatkan."

Masing-masing hela nafas.

"O-key..." Salleh topang dagu. "Jadi... Straight to the point. Tujuan meeting ni adalah?"

Hana diam. Dia renung Syam yang menghirup air milo.

"Sekejap," kata Hana kemudian. Dia keluarkan buku nota dan pen, menulis sesuatu. Usai menulis, helaian kertas itu dikoyakkan dan dilipat dua. Dihulurkan kertas itu kepada Syam.

Hana membuat isyarat, menyuruh Syam membaca nota itu. Faham akan arahan Hana, dia buka nota berlipat itu.

Aron, saya tahu awak dengar.
Pergi main jauh-jauh.

Okey, fine~

Nada suara tidak puas hati yang bergema dalam minda Syam sebaik sahaja dia membaca nota itu buatkan Syam sengih sendiri.

"Okey. Kita mula meeting."

(...)

Suria menjenguk ke dalam bilik Laily, membawa segelas air dan satu bekas kecil berisi panadol. Dahinya berkerut seketika apabila menyedari wajah Laily berkerut, sebelah tangannya berada di dada, dan nafasnya tersekat-sekat. Dengan segera dia menghampiri remaja yang duduk di atas kerusi workstationnya itu.

"Laily, awak okey tak ni?"

Laily tidak menjawab, cuba seboleh mungkin bernafas. Nafasnya pendek-pendek, wajahnya pucat menahan perit.

Kedua-dua bahu Laily dipegang. "Laily, bawa bertenang. Ingat latihan Kak Su ajar dulu. Tiga, lima, tiga. Tarik, tahan, lepas guna mulut. Cuba pelan-pelan."

Laily menurut. Selepas hampir 10 minit, barulah dia dapat bernafas seperti biasa. Suria tarik nafas lega.

"Dah lama tak kena macam ni," kata Laily perlahan. "Kenapa, ya?"

"Kak Su rasa, awak kena serangan panik ni. Nak Kak Su ambilkan ubat penenang ke?"

Laily menggeleng. "Kalau tidur, boleh baik agaknya..."

Suria renung Laily. Lama.

"Kak Su tak percaya ke?"

"Tak."

Laily mencebik. "Yalah. Akak bagi la benda tu. Jangan esok saya bertukar jadi sloth, dahlah."

Suria sengih. Dia berjalan ke arah pintu.

"Kak Su, nak tanya."

Suria menoleh ke arah Laily. "Apa dia?"

"Kak Su cakap, saya kena serangan panik? Tadi tak rasa panik pun. Tiba-tiba je sesak nafas."

Suria diam seketika. "Mungkin sebab pagi tadi, agaknya. Kan pagi tadi..." Ayatnya tidak dihabiskan. Laily yang faham angguk sekali.

"Hm... Kalau awak masih risau, esok kita pergi hospital. Check jantung. Buat ECG sekali. Okey?"

Laily angguk. Suria terus keluar dari bilik itu.

(...)

Sebuah kereta yang nampak usang bergerak masuk je kawasan gudang itu. Si pemandu keluar dari kereta, menuju ke arah pejabat gudang itu.

Pintu pejabat dibuka. Ada beberapa orang di dalam pejabat itu. Peta yang menunjukkan seluruh bandar terbentang di atas meja kayu di tengah-tengah pejabat. Dua biji batu kerikil sebesar ibu jari diletakkan di atas peta itu.

"Assalamualaikum, saudara!" Lelaki yang meletakkan batu kerikil di atas peta itu mengangkat tangannya, tersenyum melihat kemunculan lelaki pemandu kereta usang itu. "Bagaimana?"

"Maaf, walid. Dapat satu sahaja," kata pemandu itu, tunduk merenung lantai.

Lama 'walid' itu diam. Dia kemudian berjalan menghampiri si pemandu, menepuk bahunya sambil senyum.

"Tak apa. Kamu sudah lakukan yang terbaik. Jadi... Kita jadikan rancangan ini... Satu permulaan yang terbaik, ya!"

Pemandu itu angguk.

"Jadi, kamu sanggup berjuang demi agama tercinta?"

"Tentulah!"

Bahu si pemandu itu ditepuk perlahan. Mereka berjalan ke arah meja. Peta yang terbentang direnung lama.

"Dua tempat?"

'Walid' mengangguk.

Si pemandu itu renung semula peta itu. Dua biji batu kerikil itu diletakkan di atas dua lokasi yang berhampiran antara satu sama lain.

Hotel Melati dan Dewan Persada.

Hubung : 2 + 1 + 1(?)Where stories live. Discover now