"Kau tahu, dulu aku was-was masa nak mengorat Damia.  Aku takut korang berdua ada special relationship." Senyum tawar mengukir bibir.

Uzair senyum segaris.  "Korang main tipu.  Aku buta sekejap je, celik-celik korang dah bercinta. Patutlah asyik outstation je manjang." Uzair hulur tangan ke belakang menopang badan. Kejap-kejap pinjam rumah, kejap-kejap minta kunci rumah kat bandar, kejap-kejap nak pergi jenguk rumah kat bandar. Cishh! Naifnya aku boleh terpedaya.

Faizul senyum semeweh.  Tidak tahulah bila masa yang sebenarnya dia dan Damia saling mengorat satu sama lain. Yang jelas mereka hanya bertukar khabar secara diam-diam tentang kesihatan Uzair, dan tupp-tupp menjadi saling bertanya khabar antara satu sama lain. Sedar tak sedar tiba-tiba bercinta pula. Malah kalau disuruh dia susun sejarah pertemuan mereka sebelum berkahwin, ternyata dia gagal nak mendongengkan kembali.  Hatta Damia juga tidak mampu nak bercerita kembali apa yang terjadi sepanjang dari mereka berkenalan sampai sekarang sudah bergelar suami isteri.  Mungkin takdir Allah sudah tuliskan semua. Yang penting mereka bercinta dahulu sebelum berkahwin, tidaklah seindah Uzair yang jelas-jelas menyulam cinta selepas kahwin.

"Kadang-kadang apa yang terjadi ini Allah dah letak dah Zul di mana dan apa jalan ceritanya."  Kaki dilunjur ke depan.  Macam mana Allah pernah hantarkan Lena padanya dahulu untuk mematangkan dia. Jujur harus dia akui, Lena datang dan pergi dalam hidupnya banyak mengajar dia erti sabar dan redha. Walaupun pada mulanya retak juga ruas buku lima buat memukul dinding bodoh nak melempiaskan rasa amarah. Tapi lama-lama dia redha juga.  Mungkin dia hanya ditakdirkan untuk menjaga Lena buat seketika sementara menunggu Madihah dewasa.  Mungkin.

Bagaimana dia boleh tiba-tiba terkahwin dengan sepupu 'angkat' sendiri. Dalam planner hidupnya tak pernah dicatat nama Madihah sebagai suri hati. Malah pernah satu ketika dulu dia khilaf, memandang hina pada Madihah yang tanpa segan silu togak botol beer depan dia. Pernah dia kutuk caci maki Madihah dalam hati. Pernah juga dia kutuk Madihah perempuan jalang. Padahal besar sekali dosanya pada wanita naif itu yang hanya jadi mangsa keadaan. Wanita yang dia nampak kotor itu sebenarnya sesuci bidadari syurga. Dia mungkin liar, khilaf. Terpesong dari landasan hakiki. Tapi cucu kesayangan arwah Wan tu sangat pandai jaga diri. Jaga maruah. Dan satu masa dulu selepas dia kehilangan Hanif, pernah juga dia panjatkan pada Tuhan agar lembutkan hati wanita itu untuk kembali pada jalan yang Dia redhai. Tak lama selepas itu dia hilang info pasal Madihah. Hilang seperti disapu ombak. Dan kembalinya wanita itu dalam keadaan penuh maghfirah. Berubah 360 darjah. Sebab itu mungkin Wan tak teragak-agak suruh dia kahwin dengan Madihah. Wanita berhati lembut itu hanya perlukan bimbingan.

Dan bagaimana Allah mengajarnya erti kuat semangat dengan menghantar Fariha supaya menguji mana letak hatinya.  Sungguhlah dia cukup terkesan dengan balu beranak satu itu.  Hingga terus diambil langkah drastik, lari ke kampung berselindung menyorok dari semua kehidupan asalnya.  Cukuplah Fariha mengajarnya bahawa kadang-kadang kita perlu lari seketika dari sakit yang menimpa supaya bila datangnya masa, semua sudah sembuh seperti biasa.

Allah juga datangkan ibu dalam hidupnya.  Walaupun watak ibu mungkin kelihatan jahat dan tamakkan harta, tapi harus dia sedar bahawa buruk atau busuk bagaimanapun. Ibu adalah ibu. Yang membawa kita ke dunia ini. Yang membawa kita celik melihat dunia. Kalau diselam sebalik payahnya hidup ibu bersama anak-anak tiri dan suami baru, mungkin ada rasionalnya untuk dia tamak demi masa depannya yang tiada jaminan.

Suaminya mungkin tinggalkan dia tanpa satu sen pun simpanan jangka panjang untuk dia terus membina hidup.  Anak-anak tiri juga mungkin pergi dari hidupnya tanpa ada sekelumit pun rasa nak membalas budi.  Anak-anak di kampung juga mungkin sudah benci untuk melihat raut wajahnya yang pergi meninggalkan mereka. Jadi apa lagi yang tinggal selain dari rasa tamak menagih demi kepentingan masa depan sendiri? Malah ramai insan yang pernah hadir, datang dan pergi dalam mencipta memori dalam hidupnya dan sungguhlah dia terasa ralat bila terpaksa berpisah dengan mereka.

Seperti ralatnya dia berpisah dengan Hanif.  Bertemu Hanif ketika remaja itu terumbang-ambing dalam dunia bawah tanah.  Dan dia juga masih bertatih mencari jalan pulang.  Dia juga yang menarik Hanif naik semula ke atas supaya remaja itu tidak lupa akan sinar matahari yang pernah menerangi hidupnya.  Dia yang banyak bersama Hanif sepanjang masa remajanya.  Yang memperkenalkan kembali satu tempat yang bernama sekolah.  Tapi akhirnya Hanif pergi dek kerakusan dan kebodohan masyarakat bawah tanah yang lupa asal-usul mereka.  Sungguhlah dia ralat.  Teramat ralat.

"Uzair."

Hmm.

"Macam mana Damia boleh join group kau?"

Uzair senyum lebar.  Macam mana Damia boleh jadi ahli gengsi.  "Aku yang bawa dia."  Jahatnya Uzair. Bawa anak dara orang jadi kak long kawasan.  "Aku nak jaga dia Zul.  Aku tak ada niat pun nak suruh dia kotor tangan macam aku."  Kepala didongak ke atas memandang Faizul yang masam muka.  "Kau jangan risau, Damia tu mawar berduri."

Line BetweenWhere stories live. Discover now