35

35 0 0
                                    

"Naik, mandi.  Terus tidur.  Jangan kacau along korang."  Uzair pandang Zaki dengan Amirul silih berganti.

Zaki angguk polos.  Dia kalau hadap Faizul memang terus jadi kucing parsi.  Takut.  Faizul ni garang.  Kalau Uzair tu sejuk segala malaikat.  Faizul ni panas segala bapa syaitan.  Gerun.

"Esok lepas subuh abang datang, kita pergi ambil kereta along.  Jangan lewat abang kena pergi hospital."  Faizul renung dalam-dalam mata Amirul.  Dengan Uzair dah hanyut dalam emosi macam ini, harapan nak waras sedikit hanya boleh diletak pada bahu Amirul.  Nak letak pada bahu Zaki, alamatnya hanyut karamlah semua orang.

Amirul hantar kereta Faizul dengan pandangan mata.  Pintu dikuak luas. Aroma minyak angin terus menusuk hidung. Uzair terbaring tanpa baju atas kerusi rotan panjang.  Tangan kanan berbalut bandage dengan cool fever setepek belakang tengkuk. Amirul pandang Zaki.

Pandangan Zaki jatuh pada Uzair yang berselimut paras dada dengan bahu luas terdedah.  Pulas tidurnya, lena tak berkutik.  Mata pula bengkak sembab dengan kesan menangis yang masih bersisa.  Langkah diatur perlahan nak merapati.  Lingkaran ubat nyamuk dalam loyang lama dialih ke tepi rak tv.  Suis lampu ruang tamu dipetik. Terus malap ruang hadapan rumah yang hanya dilimpahi cahaya dari dapur.

Amirul selak pintu rumah rapat-rapat.  Kaki dilangkah berhati-hati membawa tubuh melintasi kerusi tempat Uzair berbaring.  Aroma minyak angin makin bertambah kuat menusuk ke hidung.  Kaki dibawa ke dapur membontoti Zaki yang sudah hilang dari pandangan. Laju sungguh berjalan tak padan dengan pendek.

Zaki terus bersila depan peti ais dua pintu.  Mangkuk besar Wall's Vanilla diriba pada paha yang dilipat sila.  Sudu besi dibenam dalam aiskrim putih berkrim itu lalu dibawa ke mulut.  Sejuk cair mengisi mulut yang terasa kering.  Matanya singgah pada Amirul yang berdiri kejung atas tangga.  "Aku lapar."

Amirul tepuk dahi.  Masa-masa macam gini boleh pula dia lapar.  "Tadi bukan dah makan sandwich?"  Amirul susun langkah turun anak tangga simen tiga ketul.

"Tapi lapar lagi."  Zaki muncung bibir.  Dah lapar, nak buat macam mana.  Bukan boleh tahan-tahan.  Makan banyak pun dah rasa lapar tu tak hilang, kena makan lagilah jawapnya.

Amirul buka baju yang dah rasa berkeringat.  Disidai pada kerusi meja makan. Periuk kecil dibilas sekali lalu diletakkan ke atas dapur.  Dituang pula empat cawan air.  Ayam dikeluarkan dari peti ais.  Dada ayam seketul dibiar berendam dalam besen bagi cair air batu.  Betul kata Zaki, dalam keadaan Uzair lemah macam ini kita kena makan.  Kita kena ada tenaga.  Kena kuat nak tolong Uzair. Tolong kita tiga beradik. Ligat tangan cincang bawang putih dua ulas atas papan pemotong.  Lalu ditolak masuk dalam periuk. Sayur sawi, lobak putih, lobak merah dengan kobis bunga ikut dipotong berasingan lalu dibilas bawah air yang mengalir.  Ditoskan sekejap kemudian terus dimasukkan ke dalam air yang separa mendidih bersama bawang cincang yang berenang-renang. Telur ayam pula dipecahkan dua biji ke dalam periuk, terus dikacau laju hancur berketul-ketul.

Zaki cepat bangkit dari sila di lantai.  Panjang tangan cuba menarik dua paket mee segera dari kotak larangan bawah kabinet dapur.  Ni kotak plastik Uzair punya ni. Orang lain tak boleh sentuh.  Tapi sekarang Uzair kan tak tahu.  Zaki hulur paket mee segera pada Amirul dengan sengih lebar.

Amirul koyak plastik Maggie. Perencah masuk dulu.  Lepas itu baru letak mee.  Baru perasa sempat lekat pada mee.  Bak kata Uzair satu masa dahulu sebelum Maggie jadi makanan larangan mereka adik beradik.

Periuk ditutup, tombol api dapur dipulas perlahan.  Beralih pula pada ayam yang sudah cair ais elok pula berguling dalam sinki.  Dada ayam seketul itu dipotong dadu.  Dibasuh bersih sebelum ditoskan.  Tepung beras, tepung gandum dengan tepung jagung diayak sebati dalam tupperware.  Isi ayam yang sudah bersih digaul bersama dalam tepung yang dah elok disebatikan.  Pakaikan bedak pada ayam, lepas tu panaskan minyak dalam kuali.  Mata menjeling Zaki yang dah angkat periuk Maggie yang panas penuh berhati-hati lalu diletak pada pengalas sekeping di atas meja.  Disusun dua biji pinggan siap bersusun sudu garpu.  Air putih dituang dalam gelas.  Zaki ceduk mee masuk pinggan.  Cili flakes dan bawang goreng ditabur kemas nak menghias mee Maggie yang dah siap terhidang.

Amirul masukkan seketul daging ayam berbedak cantik ke dalam kuali berisi minyak.  Panas dah.  Daging ayam terus dimasukkan satu persatu dalam minyak panas.  Berdesir minyak bila isi ayam bersentuh dengan dasar kuali yang panas berbahang.

Zaki potong daun bawang dengan cili hijau.  Kata Maksu, nak makan ni kita kena buat gaya raja-raja walaupun makan cekodok je.  Baru berselera.  Daun bawang dengan cili hijau ikut ditabur dalam pinggan atas mee Maggie yang berlingkar dalam pinggan.
Amirul golek-golek isi ayam yang sudah bertukar warna keemasan.  Tunggu garing sikit je lagi.

"Lambat lagi ke?"  Zaki dah angkat sudu garpu tepi pinggan.  Tak sabar sangat dah.

"Okey dah."  Chicken pop diangkat masuk pinggan yang berlapik oil paper.

Zaki tepuk tangan kesukaan.  Makan Maggie dengan chicken pop baru kena dengan selera.  Berasap chicken pop dalam pinggan yang baru terhidang.  Tangan ditadah tinggi, doa makan lancar dibaca.  Kita kena makan.  Baru ada tenaga.  Kita kena kuat demi Uzair. Dan kuat juga untuk perut sendiri.

Line Betweenحيث تعيش القصص. اكتشف الآن